Wednesday, July 13, 2011

Peminat anugerah Salih Yaacob


POPULAR... Gandingan Salih Yaacob, Raja Azura dan Khairil Rashid menerusi segmen Sinar Pagi di Sinar FM menjadi kegemaran peminat.


MESKIPUN sudah lebih tiga dekad bergelar penghibur, harus diakui, nama Salih Yaacob belum terpahat kemas dalam mana-mana acara anugerah yang berlandaskan kualiti bagi mengiktiraf hasil kerjanya.

Walhal, kalau disingkap diari seninya selama tempoh itu, Salih boleh dikategorikan sebagai anak seni yang memiliki bakat satu dalam sejuta.

Namakan apa sahaja. Semuanya mampu dilakukan Salih baik menyanyi, berlakon, mengacara mahupun berlawak yang sudah menjadi kekuatannya sejak menceburi bidang seni seawal tahun 80-an.

Kalau bakatnya diukur dari segi populariti, pernah sekali sahaja namanya dijulang sewaktu menerima gelaran Penghibur TV Lelaki Popular pada tahun 1992.

Bagi Salih, biarpun dirinya tidak pernah diiktiraf sebagai yang terbaik, namun itu bukan satu kudis baginya. Apa yang penting adalah penerimaan dan sokongan peminat yang tidak berbelah bagi dari dulu sehingga kini.

"Saya mencari rezeki dalam bidang ini bukanlah untuk mengejar anugerah atau mahu diri diiktiraf. Seandainya peminat menerima hasil kerja saya dengan baik dan terhibur dengan apa yang saya persembahkan, itu sudah mencukupi. Malah, ia lebih bernilai daripada mana-mana pengiktirafan.

"Bukanlah saya mengatakan anugerah itu tidak membawa sebarang makna. Kalau menang, ia adalah satu bonus. Tetapi, apakah makna kemenangan itu seandainya ia tidak mampu mengekalkan kedudukan kita dalam industri untuk tempoh yang lama?

"Apa yang saya katakan ini adalah pandangan peribadi saya. Disebabkan itu, saya menganggap peminat saya merupakan anugerah buat saya. Jika bukan kerana mereka, mustahil untuk saya terus kekal selama 30 tahun dalam industri," kata Salih.

Pelawak ternama negara itu yang kini mahu dikenali sebagai SY itu berkata demikian sewaktu pelancaran rancangan bual bicara terbaru kendaliannya, Salih Yaacob Show...I Follow (SYSIF) yang berlangsung di PJ Live Arts, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Menyambung bicara, Salih menegaskan matlamatnya menjadi seorang penghibur adalah untuk menghiburkan peminat yang tidak pernah putus mendambakan persembahannya waima apa jua cara sekalipun.

Sebagai contoh, selepas empat tahun berkhidmat sebagai penyampai radio di stesen radio nombor satu negara, Sinar FM, Salih mengakui peminatnya semakin bertambah dan dia berjaya mengumpul peminat baru.

"Tiada apa yang menggembirakan saya apabila mendapat maklum balas daripada mereka (peminat) yang mengatakan mereka terhibur mendengar celoteh saya di corong radio.

"Apatah lagi jika keletah saya itu dapat menggembirakan mereka sepanjang hari dan melupakan segala masalah serta kesedihan yang dialami.

"Sebagai contoh, ada seorang anak memberitahu saya bahawa ayahnya yang lumpuh separuh badan begitu teruja dan gembira apabila mendengar program saya setiap pagi. Jadi, apabila mendengar kisah-kisah begini, saya tumpang gembira kerana matlamat saya tercapai.

"Jika dulu, mereka boleh menonton saya di televisyen dan filem serta mendengar lagu-lagu nyanyian saya menerusi album, kini, semuanya sudah berubah.

"Bidang penyiaran radio merupakan anjakan baru dalam kerjaya saya sendiri," ujar Salih atau nama penuhnya, Mohd. Salih Yaacob yang memiliki empat orang isteri dan 11 anak itu lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: