Saturday, July 2, 2011

Golf uji kesabaran Betty


Memulakan pukulan pertama dengan penuh semangat.


APABILA ditanya kepada pelakon Betty Benafe, 32, apakah aktiviti yang sering dilakukannya jika tidak sibuk di lokasi penggambaran, Betty memberitahu, dia suka bermain golf di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Lalu S3 pun mengatur temu janji dengan Betty yang mula bermain sukan golf sejak tahun 2000.

Sebelum memulakan pukulan pertamanya di lapang sasar padang golf (driving range), Betty yang mengenakan pakaian serba putih itu memulakan hari indahnya dengan menikmati sarapan pagi di coffee house kelab tersebut terlebih dahulu.

“Kena isi perut dulu, nanti tidak larat membuat pukulan. Lagipun memukul bola golf ini memerlukan tenaga kuat terutama di bahagian tangan. Kalau pukul perlahan, bola tidak pergi jauh,” katanya tersenyum.

Kata Betty, sesiapa yang tidak menggemari golf pasti menganggap ia satu permainan yang tidak merangsangkan minda.

Sebenarnya sukan yang dikategorikan sebagai sukan elit itu bukan sahaja dapat meregangkan otot, malah banyak menguji kesabaran pemain.

“Golf ini sebenarnya menguji kesabaran dan membuatkan kita banyak berfikir bagaimana caranya untuk memasukkan bola dalam lubang.

“Sukan ini bukan sekadar pukul sahaja tapi perlu tumpuan sebab kita harus merancang strategi untuk memastikan bola menuju ke sasaran,” jelasnya yang memulakan kelas pembelajaran di Glenmarie Golf & Country Club.

Betty memberitahu S3 yang setiap pemain perlu menjalani satu ujian kekuatan pukulan sebelum membeli jenis kayu golf.

Katanya, selalunya di tingkat atas kedai yang menjual peralatan golf tersedia ruangan memukul bola golf untuk melihat kekuatan si pemukul.

“Tujuan ujian itu dibuat untuk melihat tahap kekuatan kita memukul agar setanding dengan kayu golf kerana setiap kayu disediakan mengikut keupayaan pemain.

“Mula-mula main golf, kita akan terasa sakit di bahagian bahu dan pinggang. Bahu terasa sakit sebab apabila memukul bola secara tidak langsung kita akan kilas bahu dan disertai bahagian pinggang,” ceritanya.

Pelakon yang pernah menghasilkan album berjudul Ibtisam konsep pop campuran elemen Authentic Fusion pada tahun 2007 itu berkata, selalunya dia akan memukul bola di lapang sasar padang golf sebelum turun ke padang.

Selalunya, kata Betty, dia akan membiasakan diri memukul kira-kira 200 biji bola golf di lapang sasar sebelum turun ke padang golf.

“Apabila kita sudah ada skil memukul di lapang sasar ia akan memudahkan kita apabila berada di padang. Di padang kita kena beri tumpuan untuk memukul bola agar masuk ke lubang.

“Semasa di lapang sasar, pukulan kita untuk lihat betapa jauh boleh pergi. Apa-apa pun kalau kita memberi tumpuan, bola yang dipukul boleh pergi jauh atau akan masuk lubang,” jelasnya secara terperinci.

Kata Betty, sejak sering berkunjung ke KLGCC, dia sudah bertemu dengan ramai orang kenamaan dan secara tidak langsung menjadi teman bermain golf.

Dia yang cepat mesra dengan sesiapa sahaja itu turut menjalin persahabatan dengan Ben, lelaki dari England yang ketika itu sedang leka bermain golf di KLGCC.

Betty yang sering diberi watak antagonis berkata, selain golf, dia juga meminati sukan ekstrem yang lain.

Antara sukan lasak yang pernah dijayakan oleh Betty adalah bungee jumping di Bali, scuba diving (layak menjadi jurulatih), jet ski, luncur udara (paragliding) dan sukan berkuda.

“Saya ini adalah jenis orang yang suka mencuba. Kalau berkuda, kita mesti sentiasa berjaga-jaga sebab kuda ada mood. Sebab itu, sebelum menaikinya, kita perlu bercakap-cakap dengan kuda agar dia selesa dengan si penunggang.

“Walaupun sukan yang saya ceburi itu kelihatan berbahaya tapi sedikit sebanyak ia membantu saya mengatasi perasaan takut. Bagi saya setelah membuat bungee jumping, saya tidak ada perasaan takut lagi tetapi mula-mula terjun terasa jantung nak tercabut,” ceritanya.

Betty yang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Cut Amira berkata, Julai ini dia akan memasuki studio untuk rakaman single terbaru yang berkonsep muzik dunia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: