Saturday, July 2, 2011

Kehijauan yang mendamaikan


DARI kiri; Siti Aziz, Amran, Fyza Gadih dan Elmy Moin mencari kedamaian di hutan simpan Bukit Nanas, Kuala Lumpur.


MELARIKAN diri daripada kebingitan kota yang tidak pernah sunyi sememangnya sesuatu yang mendamaikan.

Lantas hutan-hutan lipur di pinggir ibu kota menjadi pilihan warga kota untuk beriadah menghilangkan segala tekanan yang menghimpit diri.

S3 baru-baru ini sempat meluangkan masa mengikut empat wajah baru MIG Talent beriadah mendaki puncak Bukit Nanas, Kuala Lumpur.

Mungkin ramai yang tidak tahu, di sebalik hutan konkrit kota raya kebanggaan kita ini, tersimpannya satu khazanah yang tidak ternilai.

Bermula dari pintu masuk Jalan Raja Chulan hutan simpan berkenaan, Amran, Elmy, Fyza dan Siti Aziz meneroka menuju puncak hutan simpan yang pernah menjadi kubu pertahanan orang Mendailing dalam perang saudara dahulu.

Nyata keseronokan jelas terpancar di wajah keempat-empat pendatang baru industri hiburan ini biar pun kunjungan mereka ke Bukit Nanas merupakan yang pertama kali.

“Ini kali pertama saya datang ke sini. Macam tidak percaya masih ada kawasan hijau di tengah-tengah Kuala Lumpur.

“Lepas ini sudah tentu Bukit Nanas menjadi tempat untuk saya melakukan aktiviti jungle tracking,” jelas Amran yang membintangi drama Jamilah...I love You itu.

Selain Amran atau nama sebenarnya Md. Amran Ismail, 26, pengalaman pertama kali mendaki Bukit Nanas itu turut dikongsi oleh tiga lagi rakan-rakannya itu.

Bagi aktor baru dari Kota Bahru, Kelantan, Elmy Moin atau nama sebenarnya Abdullah Helmy Abdul Moin, 21, dia memang sudah biasa dengan kawasan hutan.

“Saya memang sudah biasa melakukan aktiviti hutan seperti berkhemah dan mendaki.

“Sebelum ini hutan yang pernah saya pergi adalah Bukit Bekelah dan Gunung Nuang di Pahang tetapi ini kali pertama memasuki hutan di tengah bandar besar.

“Terkesima saya seketika apabila menikmati pemandangan hutan di sini. Siapa sangka di kaki Menara Kuala Lumpur ini tersimpan banyak khazanah yang semakin pupus,” ujarnya yang mula didedahkan dengan kawasan hutan melalui kelab teater.

Sementara itu, bagi Siti Nurzakiah Abdul Aziz atau nama pentasnya Siti Aziz berkata, aktiviti beriadah seperti itu merupakan rutin biasa keluarganya.

Jelasnya, sejak kecil, ayahnya sering membawa dia dan ahli keluarga lain untuk bersama menikmati pemandangan dan kehijauan hutan.

“Itu merupakan antara terapi dalam keluarga kami selain merapatkan hubungan sesama kami.

“Jadi bermula dari situ, saya mula mencintai kehijauan kerana ia memberikan ketenangan pada saya.

“Jika di sekolah dahulu saya aktif mengikuti program perkemahan dan pantang ada peluang berkemah di hutan saya tidak tunggu lama untuk memberi nama,” ujar pelakon berusia 22 tahun itu.

Pendakian yang memakan masa hampir satu jam setengah pagi itu berjaya membuka hati bakat baru, Fyza atau Nor Hafiezzah A. Gadih mencintai alam semula jadi.

“Sebenarnya, sebelum ini saya tidak pernah masuk hutan malah tidak terlintas untuk mencuba jungle tracking.

“Namun setelah diajak dan dipujuk saya turutkan juga walaupun pada mulanya hati ini berat untuk mengikut mereka.

“Kini setelah meredah Bukit Nanas, saya mula minat dengan aktiviti ini. Biarpun panas dan letih saya rasa puas apabila berjaya menghabiskan trek Bukit Nanas,” jelas pelakon yang berasal dari Skudai, Johor itu.

Baginya percubaan pertama memasuki hutan memberi satu kelainan padanya dalam mengisi masa lapang.

“Lepas ini saya ingin mengulangi lagi aktiviti sebegini. Rasa tenang apabila meredah hutan apalagi dapat menghirup udara segar,” kongsi pelakon berusia 26 tahun itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: