Saturday, July 2, 2011

Dari kelab malam ke lagu dakwah


FARIHIN bersyukur kerana pembabitannya dalam penerbitan lagu-lagu nasyid memberi impak besar dalam dirinya.


NAMA Farihin Abdul Fatah melonjak seiring dengan populariti kumpulan nasyid Raihan pada tahun 1997. Ini kerana, dia yang merupakan penerbit album sulung Raihan berjudul Puji-Pujian mencetuskan fenomena tersendiri ketika itu.

Album yang diedarkan pada bulan Ramadan 1997 itu mendapat sambutan luar biasa apabila jualannya melebihi 750,000 unit. Ia merupakan album tempatan paling laris. Sehingga kini rekod itu belum dipecahkan penyanyi lain di negara ini.

Ekoran kejayaan itu, Farihin dan Raihan semakin galak merakamkan album kumpulan nasyid tersebut. Namun, ramai yang tidak mengetahui komposer dan penerbit album itu sebenarnya tidak memulakan kariernya dengan genre nasyid.

Sebaliknya, komposer yang dilahirkan di Hospital Kandang Kerbau, Singapura itu memulakan kerjaya seninya sebagai penyanyi dan pemuzik di kelab-kelab di negara jiran itu dengan lagu-lagu rock bersama kumpulan Plastic Surgery.

Menurut komposer berusia 46 tahun ini, selepas dua tahun bermain di kelab-kelab malam pada awal tahun 1980-an, dia kemudiannya berhijrah ke Kuala Lumpur. Sewaktu berada di ibu negara itulah dia menyertai kumpulan Al-Arqam yang kini diharamkan.

“Semuanya bermula apabila saya menyertai pergerakan itu dari tahun 1987 sehingga 1994. Selepas menyertai pergerakan itu, hidup saya mula berubah. Saya lebih banyak ke arah dakwah termasuklah menerbitkan album nasyid.

“Paling meninggalkan kesan apabila saya pertama kalinya merakamkan lagu Asmaul Husna yang mengandungi 99 nama Allah. Lagu itu dirakamkan pada tahun 1988 oleh ramai penyanyi antaranya Allahyarham Asri Ibrahim (Rabbani).

“Lagu itu dirakamkan untuk album kumpulan Nada Murni. Itu adalah permulaan saya dalam bidang ini secara serius. Lagu itu meninggalkan kesan mendalam kerana ia pertama kalinya dinyanyikan dalam nada berharmoni,” katanya kepada S3.

Pada pertemuan di Bukit Kiara, Kuala Lumpur itu, bapa kepada lima anak berusia dari 15 tahun hingga 21 tahun ini berkata, bidang muzik sukar dipisahkan daripada dirinya. Cuma genre muzik sahaja yang membezakannya dulu dan kini.

Namun, Farihin menjelaskan perubahan dan kecenderungannya kini daripada pemuzik kelab malam ke arah lagu-lagu dakwah banyak dipengaruhi oleh latar zaman kanak-kanaknya yang sering ke masjid.

“Sejak zaman kanak-kanak lagi, saya memang aktif dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan di Masjid Mujahidin, Queenstown, Singapura. Jadi, apabila dewasa saya senang mengikuti aktiviti-aktiviti berkaitan keagamaan.

“Apabila menyertai pergerakan itu, saya menggunakan bakat dan pengalaman dalam bidang muzik bagi menerbitkan album-album dakwah dalam kumpulan itu. Bagaimanapun, usaha saya ketika itu tetap berdepan dengan pelbagai tohmahan.

“Misalnya, ada yang kata saya cuba menyebarkan pengaruh gaya nyanyian dalam gereja apabila menyerapkannya dalam gaya nyanyian berharmoni menerusi lagu Asmaul Husna dan juga dalam album-album Raihan,” jelasnya.

Farihin yang merupakan penerbit tujuh album Raihan dari tahun 1995 sehingga 2001 tidak menafikan jiwanya yang lebih cenderung ke arah lagu-lagu mengesakan Allah SWT telah membawanya mengembara ke seluruh dunia.

Pencipta lagu Raihan antaranya berjudul Bismillah, Kembali dan Puji-Pujian ini menambah, ekoran penghijrahannya daripada genre muzik rock ke nasyid banyak memberi ketenangan jiwa dan rezeki yang murah buatnya.

“Sebenarnya, saya lebih puas mencipta lagu dan menerbitkan album lagu-lagu nasyid. Mungkin daripada situ Allah bukakan jalan untuk saya. Peluang dan rezeki saya bersama Raihan ketika itu amat baik sekali.

“Daripada situ jugalah saya banyak bertemu dan berurusan dengan pelbagai jenis orang, sekali gus mematangkan saya. Saya anggap semua pengalaman itu sebagai sebuah ‘universiti tanpa bumbung’ yang banyak mengajar saya,” tuturnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: