![]() |
| Syazwan Hashim memegang watak Ripin manakala Faizatul Akmal membawakan watak Mariam dalam teater Gelanggang Tok Wali. |
MEDIUM drama dan filem yang diceburi oleh aktor Aeril Zafrel, 23, masih belum mencukupi untuk dimasukkan dalam profil lakonan Aeril.
Bagi diri anak muda ini, langkahnya untuk memahat nama sebagai aktor disegani ramai seolah-olah tidak lengkap sekiranya dia tidak berada di pentas teater.
Sekalipun orang baru dalam dunia pementasan, pemilik nama sebenar, Suhairil Sunari, merasakan adalah suatu penghargaan apabila dia turut diundang untuk menjayakan teater Gelanggang Tok Wali.
Teater Gelanggang Tok Wali akan dipentaskan selama tiga hari berturut-turut, mulai 28 sehingga 30 Julai ini di Lambang Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur.
Sebagai teater sulung lakonannya, Aeril bangga kerana dapat menjayakan pementasan tersebut demi memantapkan mutu lakonannya.
“Ini satu pengalaman dan pendedahan yang baru bagi diri saya kerana sebelum ini, saya memulakan langkah dalam bidang seni lakon menerusi drama dan filem.
“Bagi saya, peluang muncul di pentas teater amat bermakna kerana ia bukan suatu perkara yang mudah,” kata Aeril yang pernah membintangi drama Durja Ningsun terbitan Excellent Pictures dan juga filem Aku Tak Bodoh terbitan Primeworks Studio.
Menurut Aeril, teater menuntut dirinya agar lebih bijak mengawal ekspresi atau mimik muka dan mempertingkatkan keyakinan kerana itulah antara faktor yang menentukan sama ada lakonannya ‘sampai’ atau tidak kepada penonton.
“Terus terang saya nyatakan berlakon drama atau filem agak lebih mudah jika dibandingkan dengan teater.
“Mengapa saya kata begini kerana jika saya melakukan kesilapan ketika penggambaran drama atau filem, pengarah boleh cut dan saya boleh mengulang semula babak berkenaan.
“Tetapi, apabila beraksi di pentas teater, jika saya melakukan kesilapan, tidak ada istilah cut dan penonton akan tahu kesilapan yang saya lakukan.
“Jadi, saya perlu perfect dan pandai menutup kesilapan. Tidak boleh gugup dan yang paling penting lakonan saya mesti konsisten sepanjang pementasan itu.
“Itulah sebenarnya cabaran yang saya inginkan kerana dalam meniti perjalanan sebagai aktor, saya perlu belajar dan terus belajar,” katanya secara jujur.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: