![]() |
| NORDIN Abdul Malek dan Pengerusi Institut Skill Tech, Sharimah Hussain bersama piala-piala pertandingan Anugerah Agro Remaja@Sekolah 2010 di Melaka, semalam. |
MELAKA 14 Julai – Sebanyak 15 buah sekolah menengah dari seluruh negara disenarai pendek untuk menerima Anugerah Agro Remaja@Sekolah 2010 yang menawarkan hadiah wang tunai RM10,000.
Pengerusi Eksekutif Institut Skill-Tech, Nordin Abdul Malek berkata, selain hadiah utama untuk juara keseluruhan, empat kategori lain yang turut dipertandingkan adalah tanaman landskap hiasan, seni landskap, penternakan dan pemerosesan makanan.
‘‘Juara bagi setiap kategori akan menerima hadiah wang tunai RM2,000, naib juara, RM1,500 dan ketiga, RM1,000.
‘‘Sebanyak 15 daripada 100 sekolah menengah yang menghantar pencalonan berbentuk kertas kerja projek telah disenarai pendek untuk memenangi anugerah yang disediakan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Majlis Anugerah Agro Remaja@Sekolah dianjurkan Institut Skill-Tech (Skill-Tech) dengan kerjasama akhbar Utusan Malaysia.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi dijadual menyampaikan hadiah kepada pemenang di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Isnin ini.
Nordin berkata, penghakiman di peringkat sekolah dijalankan sepanjang Mac lalu.
Beliau berkata, penghakiman tertumpu kepada aspek pembelajaran dan pengajaran (P&P), penglibatan pelajar dalam setiap sudut seperti penyediaan dan pembentangan kertas kerja.
‘‘Soal jawab dan penerangan semasa lawatan ke tapak oleh panel hakim menjadi antara kriteria bagi menentukan sekolah terbaik bakal dinobatkan untuk menerima Anugerah Agro Remaja@Sekolah,” katanya.
Antara sekolah yang telah disenarai pendek adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Long, Kajang dan SMK Kampung Jawa, Klang (Selangor), SMK Raja Abdullah (Kuala Lumpur), SMK Dato Abdul Rahman Yaakob, Bota (Perak), SMK Sri Muda, Seberang Prai Utara (P.Pinang) dan SMK Kuala Ketil (Kedah).
Turut tersenarai SMK Syed Hussain, Arau (Perlis), SMK Dato Mahmud Paduka Raja (2) Tanah Merah (Kelantan), SMK PPP Tun Razak, Jerantut (Pahang), SMK Sri Kukup, Pontian (Johor) dan SMK Jasin (Melaka).
Beberapa sekolah lain terdiri daripada SMK Jelai (F) Gemas dan SMK Yam Tuan Radin, Port Dickson (N.Sembilan), SM St. Michael, Penampang (Sabah) dan SMK Lundu, Kuching (Sarawak).

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: