![]() |
| SELEBRITI-selebriti popular Indonesia, Alvin Adam (kiri), Acha Septriasa (kanan) dan Leny Marlina (duduk) hadir memeriahkan majlis. |
BAGI memenuhi selera penonton yang menggemari drama Indonesia, Astro tampil dengan pakej Indo Pek mulai Sabtu ini.
Dengan harga langganan sebanyak RM12 sebulan, Astro baru-baru ini melancarkan pek tersebut yang membawakan saluran Bintang (Saluran 141, Astro) dan Pelangi (Saluran 142, Astro) khusus untuk pengikut setia drama Indonesia.
Bagaimanapun sebagai saluran pengenalan, Astro yang bekerjasama dengan Broadway Media Sdn. Bhd., sebagai pembekal, memberikannya secara percuma selama sebulan sehingga 14 Ogos dan hanya akan mengenakan bayaran mulai 15 Ogos ini.
Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata, Indo Pek diwujudkan atas dasar prihatin terhadap cita rasa pelanggan Astro yang menggemari sajian program dari negara jiran itu.
Bagaimanapun, Khairul menambah, Indo Pek bukan sahaja menyajikan drama (sinetron) popular negara jiran, bahkan menawarkan program-program TV terbaik dari Indonesia seperti filem serta pelbagai genre hiburan dan informasi.
“Bermacam-macam program yang berlainan konsep akan disiarkan di kedua-dua saluran tersebut bagi memenuhi cita rasa penonton tempatan,” katanya pada majlis pelancaran saluran tersebut di Hotel Legend baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi Broadway Media, Datuk Syed Ahmad Khalid Syed Mohammed, Pengurus Saluran Bintang dan Saluran Pelangi, Namanzee Harris dan artis popular Indonesia, Acha Septriasa, Lenny Marlina serta Alvin Adam.
Pada sidang akhbar selepas majlis itu, selaku pembekal program, Syed Ahmad yang ditanya relevannya drama-drama negara jiran di tayangkan di sini berkata;
“Melalui tinjauan dan kajian yang dilakukan, pihak kami mendapati permintaan daripada penonton golongan tertentu terhadap drama dari negara jiran amat tinggi.
“Selaku orang bisnes, saya membuat kajian terlebih dahulu supaya segala tindak-tanduk tidak mendatangkan kerugian kepada syarikat.
“Justeru, apabila ada permintaan yang dijangka mampu membuat keuntungan, apa salahnya saya mencuba. Berjaya atau tidak, itu risiko yang perlu ditanggung,” jelasnya.
Bagaimanpun kata Khairul, siaran sinetron yang disiarkan di Astro Ria (Saluran 104, Astro) masih dikekalkan.
“Relevannya, kami mahu memberi pilihan kepada penonton. Jika mereka mahukan siaran 24 jam tanpa henti, mereka boleh melanggan Indo Pek,” jelas Khairul.
Menyentuh mengenai kewujudan semula saluran khas drama Indonesia memandangkan suatu ketika dahulu Astro Aruna pernah menyiarkan produk yang sama, Khairul berkata;
“Astro Aruna hanya menyiarkan drama sahaja tanpa adanya program lain. Justeru, dua saluran baru ini mengandungi pelbagai program selain drama.
“Selain drama, Astro Bintang turut menyajikan program realiti, bual bicara hiburan dan gameshow. Manakala, Astro Pelangi menayangkan filem-filem Indonesia,” jelas Khairul.
Khairul yakin kedua-dua saluran itu akan mendapat sambutan kerana pengisian rancangan yang memenuhi kehendak setiap lapisan umur.
"Perhubungan rangkaian yang kukuh dan kolaborasi dengan Broadway Media selaku pembekal telah menguatkan lagi aspirasi Astro dalam memberikan nilai pulangan yang berbaloi kepada para pelanggan,” kata Khairul dengan penuh yakin.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: