Thursday, July 14, 2011

Gabungan mantap baru dan lama


AKSI menarik M. Daud Kilau sewaktu membuat persembahan pada Festival Muzik Kuala Lumpur 2011 di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


SEJAK mula diperkenalkan pada 1 Julai 2005, Festival Muzik Kuala Lumpur (FMKL) tidak pernah terlepas daripada tumpuan ramai pihak khususnya pencinta muzik tempatan.

Diinisiatifkan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kebudayaan dan Komunikasi menerusi agensinya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), FMKL tidak pernah gagal memberikan persembahan terbaik setiap tahun.

Seperti mana tahun-tahun sebelum ini, JKKN terus mempamerkan kecemerlangan mereka apabila menganjurkan konsert utama selama tiga malam berturut-turut sejak 1 Julai lalu.

Dengan tema Kembara Muzik: Klasik Ke Kontemporari, FMKL 2011 dilihat berjaya melunaskan misi mereka yang mahu mengubah pandangan skeptikal yang merasakan sesetengah genre hanya mampu dinikmati oleh sekelompok peminat sahaja.

Buktinya, pada malam kedua FMKL 2011 lalu, konsert utama menyaksikan gandingan mantap artis baru dan lama yang telah mempamerkan kualiti persembahan yang cukup membanggakan.

Dibahagikan kepada tiga kategori iaitu klasik, sejagat dan kontemporari, konsert malam kedua itu telah dibuka dengan persembahan penuh warna-warni oleh kumpulan Babola yang mempersembahkan lagu Geradong.

Dengan diiringi Orkestra Tradisional Malaysia, persembahan itu diperindahkan lagi dengan permainan muzik kaum-kaum utama negara iaitu Melayu, Cina dan India.

Malam kedua konsert utama FMKL 2011 diteruskan dengan persembahan oleh kumpulan rap dan hip hop popular, One Nation Emcees yang mendapat tepukan gemuruh daripada audiens.

Sambutan yang diberikan itu sekali gus membuktikan bahawa sebenarnya kumpulan itu mempunyai pengikut mereka sendiri.

Malah, terdengar juga bisikan daripada penonton yang mengakui tidak pernah mendengar atau mengikuti perkembangan One Nation Emcees sebelum ini.

Tetapi, menerusi FMKL 2011, mereka mula membuka mata dan memuji kumpulan yang menempa nama selepas menjuarai pertandingan realiti Gang Starz itu sambil menyifatkan mereka wajar diketengahkan lagi.

Terkenal dengan persembahan penuh energetik dan bertenaga setiap kali beraksi di atas pentas, One Nation Emcees telah berjaya menghiburkan audiens dengan rangkaian lagu popular mereka seperti Raja Gelek, Gelora dan Psiko.

Namun, mungkin kerana gugup dan gementar apabila pertama kali membuat persembahan di pentas bertaraf dunia itu, ada kalanya gerak tari One Nation Emcees kelihatan tersekat-sekat seperti ada yang menghalang pergerakan mereka.

Cuma, kumpulan yang dianggotai oleh Mimi, Jojoe dan Zydee itu perlu mempertingkatkan lagi skil komunikasi mereka dengan penonton.

Percaya atau tidak, kemunculan seniman yang seorang ini merupakan yang paling ditunggu-tunggu pada malam itu sehinggakan sewaktu pengacara majlis membacakan pengenalan tentang Datuk M. Daud Kilau, ramai yang sudah bersorak dan bersiul.

Sebaik sahaja beliau muncul dengan pakaian berwarna terang yang sarat dengan perincian labuci yang menjadi identitinya sejak sekian lama, seluruh Panggung Sari menjadi gegak-gempita dengan tepukan gemuruh daripada audiens.

Menariknya, rata-rata audiens yang hadir pada malam itu bukan hanya golongan senior malah, generasi muda yang nampaknya cukup kenal dengan muzik M. Daud.

Walaupun memilih sebuah lagu asli berjudul Laksamana Raja Di Laut sebagai lagu pembukaan, nampaknya ia tidak berupaya meninggalkan kesan besar seperti mana dua lagu yang dipersembahkan selepas itu.

Seperti yang dijangkakan, dua lagu popularnya iaitu Cek Mek Molek dan Gila Judi sememangnya pertaruhan terbaik untuk terus mengekalkan momentum audiens di dalam panggung.

Lebih gamat apabila untuk setiap lagu, M. Daud menukar busana di atas pentas sehingga sorakan yang diberikan bagaikan memberi semangat kepada seniman kelahiran Bagan Datoh, Perak itu untuk terus ligat di atas pentas.

“Saya bersyukur dalam usia saya 73 tahun, saya masih lagi diberi peluang untuk mencari rezeki dalam bidang ini.

“Sesungguhnya peluang membuat persembahan di panggung ini benar-benar membuatkan saya terharu,” kata penghibur itu dalam nada terharu.

Selepas beberapa lama mendiamkan diri daripada sebarang publisiti, juara sulung One In A Million, Suki Low tampil mengubat kerinduan peminat yang ternyata merindui alunan vokalnya.

Ternyata, Suki telah menunjukkan peningkatan ketara dan kematangan terutama aspek vokal serta gaya persembahannya.

Lebih-lebih lagi sewaktu pelantun lagu Berdiri dan Usah itu menyampaikan lagu Melayu terbarunya, Terlalu Mencintaimu dengan penuh penghayatan.

Tidak keterlaluan dikatakan, jika kena pada promosinya, lagu balada yang cukup indah itu mampu mengembalikan nama Suki di arena seni suara.

Diiringi oleh Malaysian All Star Band yang diketuai oleh Aubrey Suwito, Suki yang mewakili segmen sejagat itu turut mempersembahkan sebuah lagu Mandarin, Qiao Qiao Hua dan lagu popular Katy Perry, Firework.

Bagi melengkapkan FMKL 2011, penyanyi dan komposer wanita berbakat besar, Najwa Mahiaddin dipilih bagi menyempurnakan segmen kontemporari.

Setidak-tidaknya dengan pentas yang disediakan oleh JKKN menerusi FMKL 2011, ia dapat memperkenalkan nama Najwa kepada khalayak yang mungkin begitu asing dengan muziknya.

Memilih lagu Go ‘Head sebagai pembuka selera persembahannya, Najwa berjaya memukau audiens dengan lontaran vokal yang cukup bertenaga.

Tetapi, momentum itu dilihat sedikit menurun sewaktu dia menyampaikan lagu How Long Must I Wait yang dilihat membuatkan penonton berasa resah sehingga mahu dia menghabiskan persembahannya dengan segera.

Namun, momentum itu kembali meningkat apabila Najwa memilih lagu klasik, Getaran Jiwa yang diberi susunan muzik yang lebih kontemporari dan sesuai dengan imejnya sebagai penyanyi soul.

Kelihatan Najwa sedikit gugup di atas pentas dan mungkin ada kaitan dengan kehadiran kedua ibu bapanya iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Puan Sri Norainee Abdul Rahman.

Mengakhiri persembahan, Najwa memilih lagu popularnya yang menjadi siulan anak muda masa kini, Got To Go.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: