![]() |
| KREW dan barisan pelakon teater Sri Mersing 2 diberikan kata-kata semangat sebelum memulakan latihan di Stadium Tertutup Bandaraya Johor Bahru, Johor. |
Kajang Pak Malau kajang berlipat,
Kajang hamba mengkuang layu,
Dagang Pak Malau dagang bertempat,
Dagang hamba musafir lalu...
Tentu ramai yang masih ingat bait pantun penuh puitis yang dituturkan oleh pelakon hebat Nordin Ahmad dalam filem Melayu klasik, Sri Mersing.
Dialog popular itu diucapkan oleh Nordin yang mendukung watak Damak dan Allahyarham Sharif Medan yang berlakon sebagai Pak Malau di penghujung cerita tersebut.
Filem terbitan Cathay Keris pada tahun 1961 arahan Allahyarham Salleh Ghani masih memberi kesan sehingga ke hari ini dan dianggap antara filem Melayu terbaik yang pernah dihasilkan.
Hampir 50 tahun berlalu, nostalgia kehebatan filem Sri Mersing akan dibangkitkan semula melalui anak pengarah tersohor itu, Megat Mohd. Noor Salleh atau lebih dikenali dengan panggilan Keno melalui pementasan teater.
Melalui Keno Productions, teater Sri Mersing 2 akan dipentaskan mulai esok, 15 Julai di Stadium Tertutup Bandaraya Johor Bahru, Johor selama tiga hari berturut-turut.
Selaku penerbit teater Sri Mersing 2, Keno memberitahu, kira-kira 70
peratus jalan cerita Sri Mersing 2 diadaptasi dari filem itu manakala selebihnya dari drama Anak Damak.
Menurut Keno lagi, filem Sri Mersing mempunyai keistimewaannya yang tersendiri sehingga merasa terpanggil untuk mengadaptasi karya asal filem ini ke teater.
"Daripada pengucapan dialog pelakon-pelakon asalnya sehingga kepada cara pengarahan, filem ini merupakan sebuah filem klasik Melayu terhebat sepanjang zaman.
"Sayang jika filem sehebat Sri Mersing tidak diangkat menjadi naskhah teater. Dengan kehendak pasaran yang mahukan sebuah karya yang diadaptasi dari filem, saya percaya teater Sri Mersing yang paling dinanti-nantikan oleh khalayak," katanya kepada Hits ketika ditemui baru-baru ini.
Teater Sri Mersing katanya, pertama kali dipentaskan selama dua hari di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada tahun lalu dan berjaya menarik lebih 7,000 penonton untuk menontonnya.
Bagi pementasan di Johor Bahru, dianggarkan kira-kira 10,000 akan menyaksikannya kerana barisan pelakon yang terlibat dalam pementasan kali ini dikenali peminat.
Antaranya Zul Huzaimy sebagai Damak, Elly Mazlein (Sri Mersing), A. Galak (Pak Malau), Rozie Othman (Mak Sri) dan Zulkifli Zain (Pak Sireh).
Istimewanya Sri Mersing 2, ujar Keno, turut menampilkan Yus Jambu, peserta Maharaja Lawak selaku Awang Sulong dan Leez Rosli, bintang kelahiran Akademi Fantasia musim keempat (AF4) sebagai Sri Melati.
"Zul Huzaimy adalah seorang pelakon yang punya karakter tersendiri dan pemilihannya untuk memegang watak utama adalah tepat sekali. Dia menjiwai watak Damak dapat membawakannya dengan baik.
"Begitu juga dengan pelakon lama, A. Galak yang sinonim dengan drama Melayu bercorak kepolisian.
"Kehadiran Yus Jambu dengan komedinya, menghidupkan lagi teater Sri Mersing 2," katanya.
Teater Sri Mersing 2 mempertaruhkan Rosdeen Suboh sebagai pengarah dan Hairul Anuar Harun selaku pengadaptasi skrip.
Sri Mersing 2 merupakan pementasan terbesar pernah diadakan di luar Kuala Lumpur dan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah sebagai penaung.
Sebelum Sri Mersing dipentaskan untuk khalayak ramai, hari ini, teater tersebut akan dipentaskan di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan kerabat diraja.
Pementasan untuk umum esok akan bermula pada pukul 8.30 malam manakala untuk hari kedua dan terakhir, diadakan pada pukul 3 petang dan 8.30 malam.
Tiket-tiket berharga RM25 dan RM50 dijual dan untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 03-78807999 atau layari www.tiketpro.com.my.
Teater tersebut mendapat kerjasama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) dan Yayasan Warisan Johor.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: