Thursday, July 14, 2011

Fateen & Nazurah kekuatan Lufya



Lama tidak mendengar cerita Lufya. Selepas keluar AF 6, dia diburu pengarah drama kerana punya bakat besar dalam dunia lakonan. Ternyata benar, Lufya bukan hanya boleh menyanyi malah punyai bakat dalam bidang lakonan.

Antara drama lakonannya adalah seperti Awekku Cun, Banifsha dan Impian Sunsilk 2. Selepas itu nama ini seakan tenggelam. Namun kini Lufya muncul dengan single terbarunya berjudul Diam.

Namun, di sebalik populariti yang diraih, Lufya sebenarnya pernah mendapat halangan daripada keluarga untuk menyertai bidang seni. Dua adiknya, Fateen, 23 dan Nazurah, 19, membuka kisah awal pembabitan Lufya dalam bidang seni.

“Semua ahli keluarga tahu kakak memang suka menyanyi dan berlakon. Di rumah memang akan selalu dengar suaranya menyanyi. Tak perlu disuruh, dia sendiri akan menyanyi. Sedap tak sedap tu, tak siapa peduli, asalkan dia dapat menyanyi. Ibu bapa kami tak kisah minat dia dalam bidang seni, tapi pada mula-mula dulu, adalah halangan untuknya.

“Memandangkan dia anak sulung sudah pasti keluarga mahu dia jadi contoh terbaik, tambahan kakak sendiri pernah bercita-cita mahu menjadi doktor. Tapi lama-kelamaan, tidak ada siapa yang boleh melarang kerana menginjak usia remajanya, dia sudah tahu hala tuju hidupnya. Sebagai keluarga, kami hanya boleh menyokong dan selalu memberi kata-kata semangat untuknya,” cerita Fateen mewakili dua lagi adiknya yang tidak dapat hadir.



Miliki semangat kuat

Sementara, Nazurah, sangat mengagumi semangat Lufya yang tidak pernah berputus asa untuk menjadi penyanyi.

“Sebagai anak sulung, kakak telah dididik untuk menjadi seorang yang berdisiplin dan bertanggungjawab. Saya rasa kerana itu kami sekeluarga tidak menghalang minatnya untuk bergelar artis.

“Lagi pula, dia seorang yang bercita-cita tinggi. Jika dia mahukan sesuatu, pasti dia akan berusaha mendapatkannya,” katanya yang sering melakukan aktiviti bersama seperti memasak dan bermain badminton apabila ada kelapangan.

Mengimbau masa lalu Lufya, Nazurah berkata, Lufya terlalu minat menyanyi sehingga sanggup menyertai pelbagai pertandingan.

“Pernah suatu ketika dulu, kakak menyanyi dari siang hingga malam. Kami di rumah memang sakit telinga tepi itulah sikapnya. Dia berlatih menyanyi sebagai persiapan untuk memasuki pertandingan.

“Rasa kelakar pun ada kerana apa sahaja yang dibuat akan disertai dengan nyanyian. Bila dah habis nyanyi dia akan minta pendapat kami adik-beradik. Kami akan beritahu apa yang tidak ok apa yang ok. Nak kata pandai tu taklah,” katanya sambil ketawa kecil.

Namun keyakinan mereka mula bertambah setelah Lufya terpilih menyertai Akademi Fantasia musim keenam.

“Melihat kepada itulah, ibu dan ayah merasakan kakak tidak main-main dengan minatnya itu. Cuma, kami sebagai ahli keluarga boleh berpesan supaya bijak menjaga diri dan sentiasa mengingat pesanan kami.

“Apabila dia diterima memasuki AF6, kami tahu itulah permulaan yang ditunggu-tunggunya selama ini.

“Walaupun tak kekal sampai peringkat akhir, tapi kakak tidak pernah putus asa, tambahan dia boleh berlakon, jadi dia meneruskan kerjaya dalam bidang ini dengan begitu tekun sekali.

Menurut Faten, Lufya seorang yang tidak mudah melatah dengan apa tanggapan orang terhadapnya dan kerana itu dia mempercayainya.



Pertaruhan baru Lufya

Lufya yang baru muncul dengan 'single' sulungnya berserta klip video, Diam, berkata, apa yang membuatkan dia semakin selesa apabila mendapat sokongan sepenuhnya daripada keluarga.

“Lagu Diam sudah lapan tahun saya cipta. Mungkin dengan berkat izin daripada keluarga, saya tak putus asa dalam bidang ini.

Dia juga bercita-cita untuk mencipta lebih banyak lagu lagi pada masa akan datang.

“Saya berharap dapat cipta lebih banyak lagu yang lebih berkualiti. Selagi keluarga mendorong saya tidak akan berdiam diri dan meneruskan perjuangan dalam bidang seni,” katanya yang kini bangkit merencanakan karier seninya selepas berehat hampir dua tahun.

Mengakui dalam tempoh itu, Lufya banyak memberi fokus terhadap kerjaya nyanyiannya.

“Saya mengambil masa hampir dua tahun untuk menyiapkan projek lagu ini. Saya bangga kerana saya berjaya menghasilkan sebuah klip video terbaik buat diri saya. Saya akan terus berusaha untuk mencapai kejayaan yang lebih besar selepas ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: