|
|
PAHLAWAN Melayu terkenal dengan kegagahan mereka di seluruh dunia. Dalam sejarah, keberanian mereka telah dibuktikan sehingga kebanyakan daripada mereka sanggup mengadaikan titisan darah terakhir demi melihat bangsa Melayu hidup tanpa dijajah.
Tanpa meminta apa jua balasan, semangat juang mereka wajar diingati agar ia dijadikan semangat buat hari yang mendatang.
Pahlawan Melayu bukannya ayam jantan yang hanya tahu berkokok ataupun bermegah-megah dengan kekuatan mahupun kekayaan yang dimiliki sebaliknya mereka telah menjelajah dunia suatu ketika dahulu.
Walaupun demikian, hanya segelintir pahlawan sahaja yang diberi penghormatan tertinggi contohnya Hang Tuah yang telah mendapat penghormatan dari Maharaja Cina.
Malangnya, biarpun pengorbanan mereka tidak ternilai demi mempertahankan kedaulatan negara, kisah sejarah di sebalik pengorbanan mereka amat sedikit.
Bagaimanapun, buat Bayu Utomo Radjikin, karya-karya yang dihasilkan beliau banyak merekodkan figura pahlawan Melayu yang kini semakin dilupai.
Menyentuh mengenai figura tersebut, kerja terbarunya, ‘Face With Out Name’ itu turut diberi pendedahan mengenai kegagahan pahlawan Melayu.
Bayu Utomo nyata bijak dengan kombinasi lukisan wajah-wajah pahlawan Melayu dengan juruterbang-juruterbang jet pejuang.
Secara tidak langsung, beliau berjaya mencipta satu siri kerja berdasarkan identitinya sebelum ini dalam siri kerja Hiroshima Never Again, One World – No War, Mencari Pahlawan dan Tuboh.
Bayu Utomo berkata, subjek lukisan terbarunya itu tidak asing lagi kerana beliau pernah menghasilkan beberapa lukisan yang menceritakan mengenai Perang Teluk pada tahun 1990.
“Kali ini saya hasilkan lukisan berdasarkan apa yang sedang berlaku di Asia Barat.
“Dalam persembahan kesenian yang diadakan di Singapura baru-baru ini, saya hasilkan 11 karya dan ia mengambil masa selama tiga bulan,” katanya ketika ditemui di House of Mata Hati (HOM) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ketelitian dan kedalaman makna yang tersirat dalam kandungan karya tersebut membawa maksud yang tersendiri bergantung kepada mereka yang melihatnya.
Bagi penulis, pahlawan Melayu kini semakin dilupai jika dibandingkan dengan juruterbang jet pejuang pada masa kini.
Peliknya, mengapa Bayu Utomo menjadikan pahlawan Melayu sebagai sumber inspirasi yang dilukis dalam kebanyakan karyanya.
Ketika ditanya mengenainya, jawapan yang diberi oleh Bayu Utomo amat mudah iaitu kerana faktor beliau syok sendiri.
“Saya tidak terlalu sentimental dalam menghasilkan sesuatu karya. Jika saya tidak syok sendiri sudah tentu saya tidak akan menghasilkannya.
“Bagi saya, persepsi syok sendiri tidak jadi masalah. Lagipun kalau kita terlalu meuar-uarkan karya kita pun untuk menjualnya ia berada di luar bidang kuasa pelukis itu sendiri,” jelasnya.
Boleh dikatakan hampir 80 peratus karya pelukis yang berasal dari Tawau, Sabah ini dihasilkan berdasarkan warna hitam dan putih.
Selebihnya hanya sedikit calitan warna yang menonjolkan lagi pemilihan warna tersebut di atas kanvas.
“Dalam seni, lukisan hitam dan putih dipanggil sebagai lukisan asas. Zaman dahulu kala, manusia melukis menggunakan arang dan teknik itulah yang saya gunakan.
“Teknik tersebut memberi kesan yang tersendiri malah kebanyakan orang juga berpendapat sedemikian,” ujarnya.
Menurutnya, elemen kebudayaan yang diselitkan dalam karyanya itu sering kali dijadikan pilihan berdasarkan persepsi masyarakat di negara itu sendiri.
“Bezanya saya beri idea dan ruang kepada penonton untuk berfikir. Lukisan itu seolah-olah memberi sumber inspirasi selepas mereka melihatnya.
“Ada penonton suka berfikir dan apabila mereka melihat lukisan saya pelbagai mesej boleh disampaikan.
“Sebagai pelukis, saya tidak sempitkan bidang ini dengan bidang lain kerana seni tidak sama dengan sains dan saya akan berpuas hati apabila orang lain suka melihat gambaran saya,” katanya.
Berpengalaman selama 20 tahun dalam bidang ini, Bayu Utomo kini mengambil langkah berani untuk melebarkan sayapnya.
Katanya, beliau kini sedang giat mengadakan pameran kesenian di luar negara antaranya seperti Singapura, Indonesia, Vietnam, India, Amerika Syarikat dan United Kingdom.
“Buat masa ini, saya berhenti sementara untuk mengadakan pameran lukisan di Malaysia kerana saya rasa tidak ada apa yang ingin dibuktikan lagi.
“Saya sudah tunjukkan semuanya di Malaysia dan sekarang merupakan masa yang sesuai untuk kami mengadakan persembahan di luar negara.
“Semua pelukis sudah tentu inginkan kepuasan lebih-lebih lagi apabila orang asing melihat karya kita dan saya gembira dengan perkembangan ini,” jelasnya.
Tambahnya, faktor utama mengapa beliau mengadakan pameran di luar negara ialah kerana peminat seni dan kolektor kesenian di negara ini lebih tertarik dengan karya antarabangsa.
“Pameran di luar negara merupakan salah satu cara untuk menaikkan nilai lukisan itu sendiri disamping menambah kenalan dan bekerjasama dengan pelukis yang lain,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: