Saturday, July 9, 2011

Keluarga dunia Ayati Tasrip


AYATI Tasrip bukan sahaja berbakat dalam bidang seni malah dia juga pandai memasak dan mengambil tempahan daripada mereka yang berminat.


Kehadiran Ayati sebagai penyanyi di era 1980-an yang pernah mengecap kehidupan penuh glamor kini sudah berlalu.

Setelah mendirikan rumah tangga dengan Zulkifly Halim, 52, mereka dikurniakan dengan empat orang cahaya mata.

Dua daripada empat orang anaknya, Mohd. Fazli, 26 dan Mohd. Faizal, 24, sudahpun mendirikan rumah tangga.

Hanya Siti Nurfazlina, 22 dan yang bongsu, Siti Nurdalila, 16 sahaja yang belum berkahwin.

Hari ini, Ayati sudah bergelar opah (nenek) dengan kehadiran dua orang cucu.

Justeru, kata Ayati, kebanyakan masanya banyak dihabiskan bersama keluarga di rumah.

S3 berkesempatan menyusuri kehidupan Ayati yang kini menetap di Bukit Sungai Putih, Lembah Jaya, Ampang, Selangor.

"Inilah kehidupan saya yang lebih tertumpu kepada keluarga. Namun jika ada undangan menyanyi, saya tidak tolak.

"Lazimnya undangan adalah secara solo untuk menjayakan makan malam tetapi kalau ada undangan ghazal, kami anak beranak akan menjayakannya.

"Lagipun, darah seni itu memang mengalir dalam diri saya dan keluarga saya pula adalah sebuah keluarga seni.

"Kalau persembahan ghazal, nama kumpulan kami ialah Bakawali," kata bekas penyanyi Orkestra Tentera Darat atau Badan Kesenian Tentera Darat (BKTD) bersama Salih Yaccob, Norsheila Amin dan Sharifah Mona.

Ayati berbangga apabila bercerita tentang kebolehan anak-anaknya bermain alat muzik.

Katanya, anak sulungnya bermain akordian dan double bass, anak keduanya pula boleh bermain biola dan menyanyi, sementara anak ketiga pula bermain cello, gendang, tamborin dan gong manakala yang bongsu, boleh bermain biola.

"Daripada bapa sampai ke anak-anak, mereka semua boleh bermain alat muzik. Hanya saya seorang sahaja yang tidak cenderung untuk bermain alat muzik.

"Semasa awal perkahwinan, pernahlah saya cuba belajar bermain piano daripada suami tetapi dia garang sangat.

"Saya terus jadi malas hendak belajar. Lagipun, biarlah saya sekadar jadi penyanyi dalam Bakawali," katanya sambil ketawa.

Melihatkan kepada keluarga seninya, Ayati berkata, adalah satu kelebihan apabila mereka sekeluarga boleh membuat latihan di rumah sebelum tampil membuat persembahan.

"Lebih mudah begini dan anak-anak juga tidak membantah apabila bapa mereka mendesak agar mereka membuat persembahan ghazal.

"Anak-anak pernah menyertai pertandingan muzik asli pada tahun 2007 anjuran Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan (KeKKWa) dan mereka berjaya mendapat tempat kedua.

"Kalau nak ikutkan kehendak anak-anak, mereka lebih cenderung ke arah genre pop tetapi biarlah disuntik semangat muzik asli atau tradisional dalam diri mereka.

"Lagipun, ghazal adalah warisan Melayu kita dan janganlah ia mati begitu sahaja tanpa kesinambungan oleh generasi muda hari ini," katanya.

Sambil tangannya rancak menyenduk kuah bihun sup untuk dijamu kepada wartawan dan jurufoto bertugas, Ayati memberitahu, anak-anak perempuannya merupakan anggota Orkestra Remaja Istana Budaya.

"Memang kami menggalakkan anak-anak bermain muzik. Bahkan dua anak lelaki saya juga menganggotai Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (Orkestra DBKL).

"Lagipun, lebih mudah apabila anak beranak bermain muzik kerana jika perlu buat latihan, kita boleh adakan pada sebelah malam dan masing-masing sudah tahu peranan sendiri," katanya.

Ayati yang turut menjalankan perniagaan katering berkata, dia masih berhubungan dengan rakan artis seangkatan seperti Zur Eda, Rohana Jali, Salwa Abdul Rahman, Nassier Wahab dan Azizul Khamis.

Katanya, jika ada masa terluang, rakan-rakannya akan berkunjung ke rumahnya untuk berbual-bual sambil menikmati apa sahaja juadah yang dihidangkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: