Thursday, July 14, 2011

UK dijemput labur di Malaysia: Najib



LONDON- Datuk Seri Najib Tun Razak jemput pelabur British meneroka peluang pelaburan di Malaysia sambil menyatakan keazamannya untuk pastikan Malaysia kekal jadi destinasi menguntungkan bagi syarikat asing.

Perdana Menteri berkata, Malaysia terus mengalu-alukan pelaburan United Kingdom (UK) yang lebih meluas, khususnya di dalam sektor berteknologi tinggi dan aktiviti bernilai tambah dan berasaskan pengetahuan.

Beliau bayangkan peningkatan peluang di bawah Model Baru Ekonomi (MBE), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Rancangan Malaysia ke-sepuluh (RKM10).

Banyak projek dikongsi syarikat UK dengan syarikat Malaysia untuk meneroka pelbagai bidang seperti perkhidmatan perniagaan, pendidikan, penjagaan kesihatan, elektrik dan elektronik, teknologi hijau dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Beliau berkata demikian pada mesyuarat meja bulat dengan peneraju industri di sini semasa memulakan lawatan rasmi ke UK.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia yang ada persekitaran perniagaan yang cergas dan struktur industri dan infrastruktur yang sudah maju, akan terus dipertingkatkan bagi memastikan ia kekal menjadi lokasi kompetitif bagi pelabur asing.

“Hubungan dua hala kedua-dua negara perlu terus memberi fokus pada usaha memacu dan memberikan insentif terhadap perkongsian sektor swasta Malaysia-UK serta mengukuhkan hubungan kukuh sedia ada antara kedua-dua negara,” katanya

Najib, yang sedang melakukan lawatan rasmi pertamanya ke UK atas jemputan Perdana Menteri British David Cameron, tiba di sini pada Selasa lalu selepas memuktamadkan lawatannya ke Turkmenistan.

Beliau juga mengemaskinikan peserta mesyuarat di ibu negara British itu mengenai kedudukan ekonomi semasa Malaysia, yang kini mengalami proses transformasi dari ekonomi berpendapatan sederhana kepada ekonomi berpendapatan tinggi, sebagai satu destinasi pelaburan.

“Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan keutamaan bagi pelabur asing. Pada 2010, aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia meningkat lebih 540 peratus kepada ASD9 bilion, berbanding ASD1.4 bilion pada 2009,” katanya.

Pada akhir 2010, Perdana Menteri berkata, UK adalah sumber FDI ke-11 terbesar di Malaysia, dengan pelaburan ASD1.7 bilion (RM5.1 bilion) dengan 394 projek perkilangan.

“Syarikat itu terlibat di dalam kimia dan produk kimia, produk petroleum, petrokimia, produk elektrik dan elektronik serta produk getah dan plastik,” katanya.

Najib berkata, perdagangan Malaysia dengan UK berjumlah ASD4.1 bilion (RM12.3 bilion) pada tahun lepas dengan eksport ke UK berjumlah ASD2.3 bilion (RM6.9 bilion) yang merupakan peningkatan 1.6 peratus berbanding dengan 2009.

Ia menyaksikan UK menjadi rakan perdagangan ke-18 terbesar Malaysia.

Produk Malaysia yang dieksport ke UK termasuk produk elektrik dan elektronik, kayu, peralatan pengangkutan, getah, tekstil, pakaian, peralatan dan alat ganti kejenteraan.

Import Malaysia dari UK pada tahun lepas bernilai ASD1.8 bilion (RM5.4 bilion), yang merupakan kemerosotan 2.7 peratus berbanding 2009.

Import terdiri daripada barangan yang di kilang seperti produk elektrik dan elektronik, jentera, peralatan dan alat ganti, kimia dan produk kimia, peralatan pengangkutan, produk besi dan keluli, pengilangan logam dan peralatan optik dan saintifik.

Najib memberitahu para peneraju perniagaan itu bahawa pada 2010, Malaysia mencapai pertumbuhan kukuh 7.2 peratus selepas menguncup 1.7 peratus pada 2009.

“Ini adalah pertumbuhan tertinggi dicapai sejak 2000, dengan kebanyakan sektor mengembang dan eksport meningkat,” katanya.

Perdana Menteri berkata, ekonomi Malaysia dijangka berkembang 5.0 ke 6.0 peratus tahun ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: