Saturday, July 9, 2011

Ebru - Seni hiasan kertas marmar Turki


Seorang kanak-kanak mencuba lukisan Ebru di Festival Seni Islam Kuwait 2009.


MARMAR ialah sejenis batu kapur yang mempunyai corak dan warna semulajadi yang sangat menarik. Keunikan corak marmar menjadikan ia pilihan untuk digunakan di bahagian lantai, dinding dan tiang dalam sesebuah bangunan.

Dalam kesenian Islam terdapat sejenis teknik hiasan kertas yang dikenali sebagai marmar. Teknik kertas marmar dipercayai bermula di China.

China yang mempunyai sejarah penulisan yang panjang telah menghasilkan hiasan kertas marmar bagi mempelbagaikan bahan yang diperlukan dalam bidang tersebut.

Antara kertas marmar tertua yang dihasilkan di China ialah yang digunakan dalam manuskrip dihasilkan seawal abad ke 10 Masihi.

Dalam dunia Islam, terdapat beberapa wilayah yang mempunyai kepakaran dalam penghasilan seni hiasan kertas ini seperti Asia Tengah, Iran dan Turki.

Kesemua wilayah ini mempunyai sejarah sebagai tempat penyebaran ilmu pengetahuan dan merupakan pusat penghasilan manuskrip kajian dan karya sastera Islam yang ulung.

Dalam kesenian Islam terdapat sejenis seni hiasan kertas yang dikenali sebagai kertas marmar atau ebru dalam bahasa Turki yang bermaksud berwarna-warni manakala dalam bahasa Parsi ia dipanggil abru-bad yang bermaksud awan dan angin.

Turki yang merupakan pusat pemerintahan empayar Islam yang terakhir iaitu Uthmaniyah telah menghasilkan teknik hiasan kertas marmar yang dikagumi di Barat.

Orang Eropah mula mengenali seni hiasan kertas ini apabila mereka datang ke Asia Tengah khususnya Turki pada abad ke 17 Masihi.

Contoh kertas hiasan ini telah dibawa pulang ke Eropah dan diberi nama sebagai marbled paper atau kertas marmar.

Sejak dari itu, teknik hiasan kertas ini telah digunakan sebagai hiasan barangan kraf seperti kulit buku dan kertas hiasan untuk mengalas rak atau laci.

Berlainan pula dengan penggunaan kertas marmar ini diwilayah Islam. Seperti di China, kertas berhias ini digunakan dalam penulisan kata-kata hikmah dan puisi Islam. Keindahan tulisan kaligrafi Islam terserlah dengan berlatarkan corak marmar.

Seorang seniman Perancis, Francis Bacon menjelaskan tentang teknik hiasan ini seperti berikut: "Orang Turki mempunyai sejenis hiasan kertas marmar yang cantik yang tidak kita perolehi.

"Mereka meletakkan warna di dalam minyak berulang kali dan menitikkannya di dalam air. Kemudian ia dikacau perlahan-lahan dan ahkir sekali melembapkan kertas dan diletakkan di atas air dan seterusnya mengangkat kertas tersebut bersama corak yang terdapat di dalam air."

Proses penghasilan corak marmar sebenarnya berlaku sewaktu proses meletakkan warna dan mengacau warna di dalam air.

Kekreatifan seniman terserlah dengan gerakan tangan yang mencampurkan warna di dalam air. Warna tidak mudah bercampur di antara satu dengan yang lain kerana terdapatnya minyak di dalam air.

Terdapat pelbagai corak yang boleh dihasilkan menggunakan teknik ebru. Antara corak yang selalu dihasilkan ialah seperti tompokan minyak di atas air, bunga tulip, bunga teluki, kipas dan sebagainya.

Teknik hiasan kertas ini telah berkembang dengan cepat di Turki dan ia masih dihasilkan oleh seniman di sana. Sekarang teknik ebru bukan sahaja menjadi penghias manuskrip malah ia turut dikagumi sebagai karya seni tersendiri dalam kelasnya.

Di Muzium Kesenian Islam Malaysia, teknik hiasan kertas marmar ini boleh dilihat pada manuskrip yang berasal dari Turki dan Iran di dalam galeri manuskrip dan al-Quran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: