Saturday, July 9, 2011

Perkim latih pendakwah


Barisan peserta Program Metodologi Dakwah Saudara Muslim India Peringkat Kebangsaan 2011 di Pulau Pangkor, Perak baru-baru ini.


BAGI memantapkan lagi pengetahuan agama Islam dan uslub dakwah untuk melahirkan saudara Muslim yang berkualiti dan cemerlang, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan menganjurkan Program Metodologi Dakwah Saudara Muslim India Peringkat Kebangsaan 2011 di Pulau Pangkor, Perak pada 24 hingga 26 Jun lalu.

Program tersebut menghimpunkan 86 saudara Muslim India dari seluruh negara termasuk Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP) dan Pusat Bimbingan dan Latihan Saudara Baru (Pusba) serta mendapat kerjasama dari Perkim Bahagian Negeri Perak.

Penyelaras Program, Amran Abdullah berkata, program itu untuk membina sahsiah mukmin dan melahirkan para pendakwah yang sanggup menghadapi rintangan perjuangan dalam kehidupan.

“Program tersebut dilihat sebagai satu medan utama yang dapat mengumpulkan saudara Muslim dari pelbagai peringkat dengan objektif mewujudkan ukhuwah silaturahim dan juga perkongsian ilmu di kalangan peserta,” katanya.

Ia dirasmikan oleh Pengerusi Perkim Bahagian Negeri Perak merangkap Pengerusi Tetap Perkim, Datuk Dr. Abu Bakar Shaari.

Amran yang juga Penolong Pegawai Dakwah dan Kebajikan Hal Ehwal Sosial Perkim berkata, program itu juga menyediakan ruang untuk peserta mendalami Islam secara lebih berkesan.

Katanya, ia melalui pendekatan dan penggunaan bahasa ibunda mereka sendiri iaitu bahasa Tamil bagi melancarkan komunikasi dan kefahaman.

“Ia bukan sahaja memupuk semangat kekeluargaan antara peserta malah berpeluang memperkemaskan keimanan dan keperibadian Muslim dalam semua aktiviti sekali gus melahirkan pendakwah profesional dan serba boleh,” kata beliau.

Antara objektif program adalah melahirkan fikrah Islamiah peserta dengan mempertingkatkan kefahaman serta kesedaran mengenai Islam, selain memantapkan keimanan dan mewujudkan pendekatan dakwah yang berkesan, aktif serta lebih bersistematik.

Secara tidak langsung, program ini dapat mengenal pasti permasalahan besar oleh pendakwah dalam menangani masalah di kalangan saudara Muslim India yang lain.

Sebanyak empat kertas kerja dibentangkan pada program itu iaitu Teknik-Teknik Dakwah Yang Berkesan oleh Pengasas Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI), Kamaruddin Abdullah.

Satu lagi kertas kerja bertajuk Kebesaran Hati Seorang Pendakwah disampaikan oleh penceramah bebas, Abdul Raof Abdullah.

Mohd. Zulkarnain Abdullah dari Pusat Dakwah Islamiah Paroi, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan pula menyampaikan kertas kerja bertajuk Sifat Rasulullah SAW.

Kertas kerja keempat disampaikan oleh Mohd. Zainuddin Abdullah dari Perkim cawangan Kolej Islam Malaya dengan tajuk Kami Dengar Kami Taat.

Turut diadakan, forum perdana bertajuk Penyampaian Dakwah Di Kalangan Masyarakat India, Persepsi dan Realiti.

Ia dibincangkan oleh Abdul Latif Satharan Abdullah yang merupakan Pengerusi Persatuan Dakwah Kebajikan Saudara Baru India Se-Malaysia (Al-Hidayah) dan Muhammad Naim Islam Abdullah dari Pusba. Ia dipengerusikan oleh Abdul Rahman Siva Abdullah dari Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Peserta kumpulan turut bersama-sama membuat persembahan dalam pertandingan sketsa yang bertajuk mualaf murtad, samseng jalanan, keluarga bukan Islam, sahabat pelbagai kaum dan poligami tauhid.

Selain itu, turut diadakan persembahan pertandingan pidato dengan tajuk Adab Kepada Bukan Islam, Peranan Seorang Pendakwah, Halangan dan Cabaran Pendakwah, Rasulullah SAW Model Pendakwah Terbaik dan Kerohanian Pendakwah.

Majlis penutup disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Razali Shahabudin.

Dalam ucapannya, beliau berkata, bukan mudah untuk menjadi pendakwah yang berjaya jika ia tidak bermula daripada diri sendiri yang menjadi perangsang bagi memantap dan memperkasakan imej pendakwah Islamiah.

“Seorang pendakwah mestilah mempunyai kekuatan ilmu yang tinggi untuk berhujah dan menghadapi golongan sasar dengan menanamkan cintai ilmu agama, memupuk semangat membaca dan mengikuti isu-isu semasa serta global,” katanya.

Pada majlis itu, Razali turut menyampaikan sijil penghargaan dan hamper beserta piala kepada pemenang sketsa, pidato dan tilawah al-Quran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: