Saturday, July 9, 2011

Masyarakat islam terus dibela?


Masjid Jamek Pattani yang menjadi tumpuan umat Islam beribadat.


PILIHAN raya Thailand yang lalu menyaksikan kemenangan besar parti Pheu Thai di bawah pimpinan adik perempuan Thaksin Shinatwatra, Yingluck selepas mengalahkan Parti Demokrat pimpinan Abhisit Vejjajiva.

Kemenangan Yingluck sudah diramalkan dan sedikit sebanyak menimbulkan kebimbangan mahupun kerisauan dalam kalangan penduduk Islam di selatan Thailand mengenai masa depan mereka.

Persoalannya, adakah nasib mereka terus dibela dengan perubahan kepimpinan negara? Mereka sebenarnya mengharapkan perubahan dasar yang lebih drastik dengan tidak meminggirkan mereka daripada arus pembangunan.

Semuanya bakal terjawab nanti. Diharapkan umat seagama ini mendapat pembelaan sewajarnya dan seterusnya mewarnai kehidupan dengan lebih selesa lagi sejahtera.

"Luka dalam hati masyarakat Islam di selatan Thailand masih belum terubat sepenuhnya. Luka ini mengambil masa yang agak lama untuk sembuh.

"Perhatian kerajaan dan bantuan yang dihulurkan kepada kami akan mengubati luka ini," demikian luahan rasa kecewa diucapkan oleh Imam Masjid Sultan Ismail Shah Kampung Parit Mukim Barahoum di Pattani, Mohamad Wan Idris, 60,yang menjentik emosi penulis dalam pertemuan sempena lawatan tersebut.

Daripada riak wajah yang agak sayu mengenangkan nasib lebih lima juta umat Islam meliputi wilayah Pattani, Yala, Narathiwat, Satun dan Songkhla di selatan negara gajah putih itu, mereka mengharapkan sinar kedamaian. Juga hak kesamarataan dalam pelbagai bidang termasuk sosioekonomi dan pendidikan.

Umat Islam di wilayah berkenaan tidak pernah melupakan peristiwa berdarah yang berlaku di Masjid Krue Se, Pattani pada 28 April 2004 menyebabkan 32 orang yang didakwa pemberontak, terbunuh selepas pihak berkuasa menyerbu masjid berusia 300 tahun itu.

Enam bulan kemudian, ketika umat Islam melaksanakan ibadat puasa Ramadan, berlaku pula peristiwa Tak Bai, Narathiwat pada 24 Oktober 2004. Seramai 85 orang terbunuh akibat sesak nafas kerana ditindih beramai-ramai di dalam trak askar.

Peristiwa pahit itu sememangnya tidak dapat dilupakan mereka yang ketika itu di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra.

Mereka berasa agak tersisih sebelum ini tetapi segala-galanya kian berubah sejak dua tahun lalu atas keprihatinan kerajaan di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva yang mahukan pembangunan ekonomi seimbang.

Memberi kebebasan pendidikan agama di selatan Thai dan bantuan kepada pengetua sekolah pondok dan sekolah aliran agama swasta serta masjid sedikit sebanyak telah menjelmakan 'ubat' bagi mengubati luka tersebut.

Apa yang terbuku di hati dinyatakan dengan ikhlas kepada rombongan 16 wakil media dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Bangladesh, Pakistan dan India yang menyertai program tersebut bagi mendapatkan gambaran sebenar masyarakat di wilayah terbabit.

Ketua Kampung Peret Sultan Ismail Shah, Pattani, Nik Razali Nik Mat Amin, 50, pula memberitahu, masyarakat Islam di kampung itu terus dibela dengan adanya program pembangunan ekonomi untuk meningkatkan taraf hidup mereka seperti bercucuk tanam dan ternakan.

"Kebanyakan keganasan dan tindakan agresif seperti pembunuhan lebih kepada bersifat peribadi berkaitan dengan dadah dan urusan perniagaan," katanya.

Sambil menegaskan, masyarakat Islam di Pattani khususnya percaya perjuangan secara kekerasan bukanlah jalan penyelesaian konflik yang berlarutan berpuluh-puluh tahun lamanya, malah mengambil pendekatan perbuatan membunuh sesama manusia bukanlah dituntut oleh agama.

Kata Nik Razali, setakat ini umat Islam bebas beribadat, belajar agama dan itu sepatutnya berlaku seperti mana termaktub dalam perlembagaan Thailand yang memberi kebebasan beragama.

Pendekatan berlembut kerajaan sedia ada sedikit sebanyak membalut 'luka' yang terpahat dalam roh dan jiwa mereka. Sekali gus menjadikan keadaan suasana kehidupan yang lebih aman serta sejahtera.

Lebih 4,000 orang termasuk 400 pegawai kerajaan terbunuh sejak kempen menuntut pemerintahan sendiri (autonomi) dilancarkan di wilayah Selatan sejak kira-kira tujuh tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: