
SEJAK hampir sedekad lalu, bisnes spa atau pusat rawatan kesihatan dan kecantikan berkembang bak cendawan tumbuh selepas hujan di negara ini. Hujung minggu ataupun pada sebelah petang antara waktu puncak yang menjadi pilihan individu mengunjungi spa untuk mendapatkan rawatan dan merehatkan minda.
Kesibukan menguruskan hal-hal di pejabat, keluarga dan urusan peribadi apatah lagi, menjalani kehidupan dalam era serba moden dan ingin lari seketika daripada hiruk-pikuk kota raya antara faktor yang mendorong individu menenangkan fikiran di spa.
Namun, dalam keghairahan masyarakat berkunjung ke spa masih ramai yang alpa dan mengambil ringan etika penting saat berkunjung ke sana. Walaupun, beberapa etika kelihatan sangat mudah dan ringkas, namun ia boleh memberi kesan kepada rawatan kecantikan yang diambil.
"Hari ini kebanyakan individu sama ada golongan wanita atau jejaka memilih spa untuk menenangkan minda dan meregang badan. Soal harga rawatan yang mahal ataupun murah, biasanya tidak menjadi masalah kerana rata-rata pengunjung lebih menitikberatkan tentang rawatan ideal.
"Namun kadangkala kami kesal kerana wang dibelanjakan untuk sebarang rawatan bagaikan sia-sia. Mengapa? Ini disebabkan pelanggan tempatan masih kurang peka pada etika ketika berada di spa. Situasi ini benar-benar merugikan diri," jelas Pengurus Taman Sari Royal Heritage Spa, Orni Yusniza Othman ketika ditemui Stailo di Wisma Mustika Ratu, Taman Shamelin Perkasa, Kuala Lumpur.

Bicara wanita yang mesra disapa Orni itu, salah satu kesalahan yang kerap dilakukan pelanggan contohnya tidak menjamah makanan sebelum menjalani rawatan. Biasanya ia berlaku dalam kalangan pelanggan yang memilih khidmat rawatan pelangsingan badan. Mereka menyifatkan sajian yang dinikmati membuatkan berat badan semakin bertambah dan akan menjejaskan hasil rawatan.
"Ia persepsi yang salah. Sepatutnya antara dua atau tiga jam sebelum rawatan pelanggan wajar mengisi perut dengan makanan yang sihat dan membekalkan tenaga roti, buah-buahan ataupun bijirin. Amalan ini penting bagi mengelakkan pelanggan keletihan dan tidak bermaya ketika menjalani rawatan.
"Saya pernah berhadapan dengan insiden pelanggan pengsan sewaktu melakukan rawatan. Selepas diselidik dia mengalami kekurangan air dan perut kosong. Padahal, dalam borang soal jawab pelanggan berkenaan memberi jawapan, dia sudah menikmati sajian dan sebagainya," terang Orni yang turut menegaskan supaya pelanggan sentiasa memberi jawapan jujur sewaktu menjalani sesi rundingan bersama ahli terapi.
Tambah Orni yang merupakan anak didik pengasas Mustika Ratu, Ibu Mooryati Soedibyo, berbual telefon dengan nada suara yang kuat dan membalas Sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS), dalam tempoh rawatan antara tindakan pelanggan yang tidak beretika. Tabiat berkenaan bukan sahaja mengganggu konsentrasi ahli terapi malah, ia menjejaskan sesi rawatan.
Seharusnya sebaik saja melangkahkan kaki ke dalam spa, pelanggan perlu segera mematikan telefon bimbit atau meletakkannya dalam mod senyap.
Selain itu, etika di spa juga meletakkan garis panduan kepada pasangan suami isteri yang menjalani rawatan kecantikan di spa yang sama.

"Nasihat saya, suami dan isteri yang berkunjung ke spa supaya menjaga tingkah laku dan berkelakuan sopan. Bergelar pasangan yang sah daripada sisi hukum agama tidak bermakna mereka bebas melakukan perkara seperti bercium, berpeluk atau bersentuhan di dalam bilik rawatan.
"Jaga batas masing-masing. Jangan lakukan perkara yang boleh memberikan situasi kurang menyenangkan kepada ahli terapi dan pelanggan yang lain," kata Orni yang turut menghalang keras pelanggan yang ingin menghisap rokok dan meminum minuman keras di dalam spa.
Disiplin tentang masa
Sementara itu, Pengurus Edz Enterprise yang mengendalikan Edzscape Spa di Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor, Edzrina Esa menjelaskan, segelintir pelanggan sanggup membawa anak-anak kecil khususnya ke spa. Alasan mereka, tiada penjaga untuk menguruskan anak-anak.
"Tidak salah untuk membawa anak-anak tetapi ibu atau bapa harus melatih dan mendisiplinkan mereka supaya menjaga tingkah laku. Tabiat kanak-kanak mereka suka bermain, ketawa dan menangis sehingga situasi ini mengganggu suasana damai di spa.
![]() |
| |
"Sebab itu, di Edzscape Spa kami bertanggungjawab menyediakan satu ruang yang luas untuk ahli keluarga menunggu si ibu menjalani rawatan. Enggan membiarkan suara bising kanak-kanak ketika bermain mengganggu pelanggan lain maka kami memisahkan ruang tersebut dengan pintu kedap bunyi," ujar Edzrina yang turut menitikberatkan aspek janji temu.
Lazimnya, bagi kebanyakan spa mereka menyarankan agar pelanggan membuat janji temu dua hari sebelum rawatan bagi mengelakkan pertindihan jadual dengan pelanggan lain.
Jelas wanita berusia 24 tahun tersebut selain melakukan tempahan temu janji terlebih dahulu, pelanggan juga dinasihatkan supaya menepati masa yang telah ditetapkan. Sekiranya, pelanggan berhadapan masalah dan lewat tiba di spa, mereka wajar menghubungi pihak spa supaya waktu yang terluang itu diisi dengan pelanggan lain.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: