Wednesday, July 6, 2011

Nurul pontianak paling seksi?

JELITA...Nurul mahu fokus lebih kepada nyanyian dan lakonan.
JELITA...Nurul mahu fokus lebih kepada nyanyian dan lakonan.
MENDEBARKAN...babak menarik dari filem Tolong! Awekku Pontianak.
MENDEBARKAN...babak menarik dari filem Tolong! Awekku Pontianak.

BANYAK sebab kenapa penyanyi seksi ini tidak ingin lagi menjaja kisah cintanya. Kata Nurul Wahab semua ini gara-gara dia terlalu jujur bercerita mengenai hal peribadi sehingga ada segelintir pihak mula salah tafsir kenyataannya.

Kini, anak kelahiran Tasek Gelugor, Pulau Pinang ini berkata, dia mula serik untuk berkongsi cerita sebegitu lagi kepada pihak media.

“Secara ikhlas, saya sedar bukan semua orang kenal diri saya dengan sebenar-benarnya. Saya bercerita sebab orang bertanya - bukan sebab untuk menunjuk-nunjuk. Kesannya orang terus buat tanggapan bukan-bukan.

“Mungkin dulu, saya seorang yang lurus dan suka bercerita apa saja kisah peribadi saya hingga orang serang saya semula pula dengan cerita berunsur mengaibkan. Namun saya bukannya tidak boleh ditegur tapi teguran itu biarlah berpada-pada dan kena etikanya,” katanya.


Terus terang, kata Nurul, dia juga tidak mahu hidup dalam belenggu kisah silamnya.


“Pelik juga, setiap kali saya sampaikan lagu Kerna Terluka di pentas, suasana majlis pasti bertukar menjadi ‘down’. Mungkin agaknya orang tahu sejarah hidup saya dulu. Bagi saya itu semua cerita lama dan saya sendiri mahu pandang ke depan. Lagu tetap lagu dan kadangkala ia hanya kebetulan.

“Saya mahu bangkit dengan segar untuk menempuh hari esok. Sudah sampai masanya, saya mengunci mulut daripada bercerita kisah peribadi kerana tidak mahu orang terlupa kepada perkembangan karier seni yang menjadi tujuan utama saya masuk ke dalam dunia hiburan ini,” ujarnya kepada Rap, baru-baru ini.

Buat masa ini, fokus ibu tunggal kepada Ayu Nazirah, 13, ini adalah pada cabang seni diminati iaitu nyanyian dan lakonan. Selepas lima tahun bergerak sendiri, Nurul kini tidak lagi terkejar-kejar kerana sudahpun ada pengurus baru, Badrul Hisyam yang mengendalikan karier seninya, sejak enam bulan lalu. Terbaru, Nurul membintangi filem genre komedi seram, Tolong! Awek Aku Pontianak arahan James Lee di samping Zahiril Adzim, Sazzy Falak dan Liyana Jasmay.

“Selepas berbelas tahun berlalu, ini filem ketiga saya selepas Sate dan Kapaww. Selama ini ada juga tawaran berlakon diterima daripada pelbagai produksi namun keutamaan saya tetap pada bidang nyanyian yang sudah menjadi darah daging. Saya akui berlakon adalah sesuatu yang sangat mencabar kerana kita kena menjiwai karakter orang lain.

“Saya tidak mahu bekerja dengan produksi yang bermasalah kerana tidak selesa suasana yang tertekan. Semua orang inginkan suasana yang seronok ketika bekerja. Saya juga tidak berdepan sebarang masalah langsung ketika bekerja dengan Tayangan Unggul,” katanya lagi.

Nurul akui berdepan dengan cabaran tersendiri ketika menjiwai watak Nadia yang juga pontianak jahat dalam filem terbarunya itu.

“Nadia ada tiga beradik dan dia pontianak paling jahat yang sudah hidup beratus tahun lalu. Dia hidup dalam dunia manusia dan mangsanya semuanya lelaki. Penggambaran filem ini berlangsung pada tahun lalu di sekitar Kuala Lumpur, Sungai Penchala dan Kelana Jaya.

“Saya seronok berlakon filem ini. Saya juga buat aksi lagak ngeri sendiri tanpa bantuan pelakon lagak ngeri termasuk aksi ‘terbang’ di udara,” katanya yang membuat aksi lasak itu kira-kira jam 4 pagi di Sungai Penchala.

“Ia memang satu cabaran apabila kita buat lagak ngeri sendiri. Sebenarnya, saya gayat dengan tinggi tapi syukurlah saya berjaya menjiwai watak itu dengan sebaik daya.

“Saya juga tidak ada masalah bekerja dengan James Lee kerana dia seorang yang ‘simple’ dan apa yang penting, dia dapat apa yang dia mahu daripada kami (pelakon),” katanya yang turut berlakon dalam drama bersiri Kau dan Aku, Rahsia Hati dan E-Toyol.com.

Sebelum ini, Nurul berlakon dalam drama bersiri 26 episod, Kau Dan Aku bersama bekas peserta Akademi Fantasia (AF), Mila, Airil, Akim dan Noni.
Bercerita perkembangan nyanyiannya pula, kata Nurul yang juga duta produk Glow & Glamour dan kanta lekap, ColourVue bersyukur kerana rezekinya tetap melimpah dalam bidang nyanyian.

“Saya juga sibuk mencari bahan lagu baru. Pada masa sama tunggu lagu daripada komposer Audi Mok. Saya harap orang boleh terima Nurul yang baru. Konsep lagu masih lagi pop dan saya serahkan pada Audi untuk buat lagu yang sesuai dengan imej baru saya ini,” katanya.

Sebelum ini, Nurul sempat menghasilkan album Tika Cinta dengan kolaborasi bersama komposer, Sharon Paul dan Tam Spider ketika bersama Metadome Sdn Bhd (Alibi Music) . Album itu turut memuatkan lagu Sepenuh Jiwa, Kala Hati, Jadikan Aku Bintang, Tertutup Hati, Tangis Syukur dan Bukan Cermin Di Hati.

Dalam perkembangan lain, Nurul yang juga pemilik syarikat NHW Productions sibuk menjayakan bisnes secara sambilan diceburinya, Wellness Coach, sejak lima bulan lalu.

“Saya berminat buat
bisnes ini kerana ia mengajak kita menjadi seorang yang positif dan mengisi masa lapang dengan lebih berkualiti. Setakat ini, saya sudah mempunyai seramai 35 ahli di bawah saya termasuk kalangan artis, pengurus artis dan peminat saya. Apa salahnya, saya berkongsi dengan orang ramai sesuatu produk yang bagus untuk kesihatan kita,” katanya.


PROFIL:

NAMA SEBENAR:
Noorul Huda Abdul Wahab
ASAL: Tasek Gelugor, Seberang Prai, Pulau Pinang
TARIKH LAHIR: 27 Julai 1977
UMUR: 33 tahun
STATUS: Ibu tunggal
ANAK: Ayu Nazirah, 13
KERJAYA: Penyanyi, pelakon dan duta produk
ALBUM SOLO: Nurul (1995), Ikhlasnya Cinta Ku (1996), Kini Dan Selamanya (1998), Cita Dan Cinta (2000) dan Tika Cinta (2009)
DRAMA: Siri 26 episod, Kau dan Aku, Rahsia Hati, E-Toyol.com
FILEM: Sate, Kapaww, Tolong Awek Aku Pontianak
DUTA PRODUK: Glow & Glamour, kanta lekap ColourVue
PENCAPAIAN: Artis Baru Terbaik AIM 1997, Lagu Paling Popular Pujaan 10 Nescafe 1995 (Kerana Terluka) dan Lagu Terbaik AIM 2004 (Selagi Ada Cinta)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: