Thursday, July 28, 2011

Budak Nakal’ Bollywood

Salman Khan kembali dengan ‘Bodyguard’, saat ini, seluruh peminat di Bollywood bagaikan tidak sabar menantikan tayangan filem ‘Bodyguard’ arahan Siddique.

Masakan tidak, filem asal tersebut yang diterbitkan dalam versi Malayalam pada tahun lalu, berjaya mendapat sambutan mengagumkan.

Selain itu, faktor utama yang dianggap sebagai pelaris filem remake ini adalah lakonan aktor handalan, Salman Khan bergandingan dengan Kareena Kapoor.

Dalam filem tersebut, peminat dapat menyaksikan Salman membawakan watak sebagai Lovely Singh, iaitu pengawal peribadi kepada Kareena.

Filem itu juga sudah mendapat pandangan baik dalam kalangan orang industri, walaupun hanya akan ditayangkan 31 Ogos ini.

Nama Salman sebenarnya bukanlah baru dalam industri perfileman Bollywood, tetapi sejak kebelakangan ini dia meraih perhatian yang luar biasa.

Semuanya gara-gara kejayaan beberapa siri filem lakonannya iaitu Wanted (2009) dan Dabangg (2010) dan Ready (2011).

Malah, Dabangg berjaya mencatat rekod sebagai filem yang mendapat kutipan kedua tertinggi dalam sejarah perfileman Bollywood.



Sikap buruk makan diri

Perhatian yang diberikan kepada Salman umpama sinar baru buat kerjaya pelakon yang mesra dipanggil Sallu itu.

Sebelum kejayaan filem Wanted, Salman terpaksa mengharungi zaman kegelapannya hampir lima tahun.

Karier lakonan yang dibina dengan cemerlang sejak 1988, jatuh merudum akibat sikap buruknya sendiri, iaitu panas baran dan kaki pukul.

Salman juga dikatakan sering menimbulkan masalah di lokasi, selain mempunyai hubungan buruk dengan pengarah dan beberapa pelakon seperti Shah Rukh Khan.

Sebagai hukuman, aktor yang terkenal dengan susuk tubuh sasa itu terpaksa merangkak semula dalam dunia lakonan, termasuk bersaing dengan lambakan pelakon baru yang jauh lebih muda.



Peluang kedua

Namun, bakat besar yang dimiliki Salman berjaya menyelamatkan nasibnya yang hampir malap apabila dia diberi peluang kedua oleh peminat.

Sejak itu, Salman mula membina kembali karier lakonannya dan menjadi antara aktor pilihan pengarah ketika ini.

Khabarnya, Salman terpaksa menolak beberapa tawaran daripada pengarah terkenal seperti Farhan Akhtar kerana jadual penuh hingga 2012.

Dalam pada itu, beberapa pemerhati industri hiburan Bolywood risau apabila Salman dilihat kembali ke perangai lama.

Ketika penggambaran Bodyguard, Salman bersikap malas dan tidak profesional menyebabkan filem itu mengambil masa lama untuk disiapkan.

Dia juga dikatakan gemar berparti dan mabuk hingga mencetuskan pergaduhan dengan beberapa individu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: