Thursday, July 28, 2011

Awas! Heliza palsu

Penyanyi bermata bundar, Heliza Helmi merayu agar peminat tidak tertipu dengan kewujudan individu yang menyamar sebagai dirinya bagi tujuan melakukan jenayah.

Menurut Heliza, perkara itu disedarinya minggu lalu, apabila ramai peminat yang menghubungi pihak pengurusannya memberitahu mengenai hal tersebut.

“Modus operandi penyamar itu ialah dia menggunakan nama saya dan menghubungi peminat untuk meminta bantuan.

“Penyamar itu mereka pelbagai cerita bagi meraih simpati seperti kononnya saya dipaksa kahwin dan emak saya sakit, sebelum meminta peminat memasukkan duit ke dalam sebuah akaun,” katanya kepada Zass.

Berikutan itu, Heliza berkata, dia membuat laporan polis bagi mengelakkan perkara tersebut semakin berleluasa.

“Kes ini akan lebih mudah diselesaikan sekiranya mangsa yang terpedaya membuat laporan sendiri.

“Oleh itu, saya berharap lebih ramai peminat yang menjadi mangsa atau pernah dihubungi penyamar itu agar tampil melaporkannya kepada polis,” katanya.

Dalam pada itu, Heliza berkata, semua urusan berkaitan dirinya dilakukan melalui pengurus peribadi dan bapanya sendiri.

“Jika peminat mendapat panggilan dari individu yang mendakwa dirinya sebagai Heliza, itu adalah palsu.

“Saya hanya risaukan kesannya kepada peminat, maka saya sangat berharap mereka tidak sewenang-wenangnya percaya,” katanya.

Menurut bekas pelajar Akademi Fantasia 5 itu, kejadian tersebut juga membuatkannya semakin berhati-hati berkaitan hal privasi.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, saya akan membuat pengumuman dari semasa ke semasa melalui laman Facebook yang asli.

“Saya juga akan meminta bantuan mereka untuk melaporkan kepada admin Facebook tentang kewujudan Facebook palsu yang mengelirukan peminat,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: