Thursday, July 28, 2011

Erul yang manja...

Sporting! Gambaran tepat untuk semua ahli keluarga bintang kelahiran Akademi Fantasia 9 iaitu Erul.

Sesi fotografi begitu santai dengan keramahan mereka dan senda gurau Erul dan adik beradiknya, membuktikan Erul tidak berseorangan sebagai insan seni.

Keluarga bahagia ini sememangnya memberi sokongan penuh terhadap Erul. Selepas tamatnya kisah AF9, Erul kini menempuh alam sebenar sebagai insan seni.

Pastinya pelbagai liku ranjau yang terpaksa ditempuhi anak muda ini, namun ikatan kekeluargaan yang erat membuatkan Erul makin bersemangat.

Biarpun Erul tersingkir pada minggu separuh akhir AF, tetapi berbekal semangat, namanya disebut-sebut sebagai antara bintang paling menyerlah ketika ini.

Senyap-senyap sertai pertandingan bercerita mengenai penglibatan awal Erul dalam bidang muzik, ibunya Noorherwani A Wahit, 48, berkata, Erul sudah menunjukkan minat sejak di bangku sekolah rendah lagi.

“Saya lihat sejak kecil lagi Erul suka menyanyi. Dia akan menyanyi tak kira masa sama ada dalam bilik, ruang tamu atau di mana sahaja.

“Apa sahaja lagu, pasti dia akan cuba menyanyikannya. Melihat minatnya yang begitu mendalam, saya berikan dia pendedahan dengan masuk pertandingan menyanyi.

“Ketika itu Erul berumur 12 tahun. Pertandingan pertamanya adalah anjuran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“Saya tengok dia begitu bersemangat, walaupun ada rasa gugup dalam dirinya. Dia tak menghampakan dan dapat tempat kedua.

“Bagi saya, itu sudah memadai kerana dia masih baru. Bukan mahukan kemenangan tapi saya mahu Erul mengutip pengalaman sebanyak mungkin dalam bidang nyanyian ini.

“Ada juga pertandingan yang dia menang dan ada juga kalah,” katanya.

Tambah Noorherwani lagi, Erul juga suka menyendiri di dalam bilik untuk menyanyi.

“Apa sahaja aktiviti yang anak-anak saya suka, saya akan cuba realisasikan, asalkan mereka tidak abaikan pelajaran.

“Selain menyanyi Erul juga suka menonton cerita Korea. Dia akan melayan cerita Korea dalam bilik. Sehinggalah sekarang, saya tengok dia masih sama, meminati cerita Korea,” katanya.



Ayah sangat tegas

Ramai yang tidak tahu, minat Erul dalam bidang muzik pernah disangkal oleh bapanya, Abu Samah Yahya.

Bukan tidak bersetuju seratus peratus, cuma sebagai bapa, Abu samah sebenarnya pernah ada perancangan untuk anak-anaknya.

“Saya memang sangat tegas dalam mendidik anak-anak. Dulu, saya memang kurang setuju kalau Erul serius dalam bidang nyanyian.

“Saya risau pelajarannya akan terjejas sekiranya menyanyi. Bukan Erul sahaja, malah semua lima anak saya.

“Lagipun, masa tu, dia masih belajar dan tidak mahu kerana terlalu fokus kepada minat, tumpuan pelajaran pula berkurangan.

“Saya akui, pernah membuat perancangan untuk mereka. Saya tetapkan mereka perlu mengikuti kelas yang mereka tidak minat.

“Tapi, lama kelamaan, saya sedar mereka ada minat sendiri dan sebagai bapa saya perlu menyokong dan memantau aktiviti mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: