Tuesday, July 12, 2011

BMAM, Allianz meterai perjanjian

Persatuan Pengurusan Bangunan Malaysia (BMAM) menandatangani perjanjian persefahaman dengan Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad (AGIC) dalam menyediakan polisi komprehensif Insurans Liabiliti Pengurusan Bangunan.

Presiden BMAM, Datuk Teo Chiang Kok berkata, perjanjian persefahaman itu berkuat kuasa 1 Julai ini dan terbuka kepada 56 ahli serta pengurus bangunan berdaftar BMAM.

Menurutnya, polisi itu meliputi pelbagai risiko dan liabiliti yang selalunya dihadapi pengurus bangunan semasa menjalankan tugas dalam mempertahankan dan menguruskan bangunan perindustrian, komersial dan residensi.

“Perjanjian usaha sama ini bertujuan meningkatkan dasar profesionalisme dan kepakaran pengurus hartanah dalam menghadapi tugas mereka menguruskan bangunan.

“Ia sekali gus meyakinkan pemilik bangunan menjalinkan kerjasama dengan pengurus hartanah,” katanya.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif AGIC, Zakri Khir; Pengurus Cawangan AGIC, Fang Suat Lim dan Setiausaha Besar BMAM, S Venkateswaran.

Sementara itu, Zakri berkata, skim ditawarkan adalah polisi dibuat khusus untuk memenuhi keperluan liabiliti dan risiko ahli BMAM yang juga pengurus bangunan berdaftar, badan pengurusan bersatu dan pengurusan perbadanan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: