Saturday, July 9, 2011

Bistro Qaseh satukan hati


Pelbagai hidangan menyelerakan dihidangkan di Bistro Qaseh.


SEBAIK sahaja anda melangkah ke dalam restoran ini, anda pastinya terliur melihat pelbagai hidangan yang disajikan untuk dinikmati.

Begitupun, apa yang menarik untuk dikongsi bersama mengenai restoran ini ialah, selain menampilkan konsep kontemporari, dekorasi restorannya berbentuk hati bersesuaian sekali dengan namanya Bistro Qaseh.

Dekorasi berbentuk hati tersebut dapat dilihat pada lapik pinggan, cermin, kertas dinding serta lapik gelas.

Menurut pemilik restoran tersebut, Kemalawati Yahaya, 41, ciri-ciri kasih sayang amat ditekankan bagi menampilkan sesuatu keunikan agar lebih segar untuk dijadikan kenangan bagi setiap pengunjung.

Dalam pada itu, Kemalawati tidak berseorangan mengurus restoran tersebut malah dia berganding tenaga bersama Azhar Zainal, 30, yang mempunyai pengalaman dalam bidang makanan.

"Alhamdulillah, walaupun saya tidak punya sebarang pengalaman dalam bidang ini tetapi pengalaman terlibat dalam perniagaan francais 1901 sebelum ini sedikit sebanyak turut membantu.

"Memandangkan saya juga merupakan seorang individu yang tidak pandai memasak, sebab itulah rakan kongsi saya merupakan seorang tukang masak yang berpengalaman.

"Dengan ini secara tidak langsung saya dapat mempelajari selok belok bidang ini sedikit demi sedikit," ujarnya ketika ditemui di premisnya di No. 2, Jalan Boling Padang F, 13/F, Seksyen 13, Shah Alam, Selangor.

Dibuka pada 11 Jun 2008, Bistro Qaseh menawarkan pelbagai masakan yang bersesuaian dengan cita rasa pengunjung yang mahukan pelbagai masakan yang berbeza.

Masakan ala kampung merupakan keistimewaan di restoran ini selain beberapa lagi masakan Melayu seperti patin tempoyak, asam pedas parang, lemak udang galah, lemak siput sedut, kerabu pucuk paku, pajeri jantung dan pelbagai lagi.

Terdapat juga promosi masakan yang dibuat secara bulanan yang berbeza misalnya menu ekor lado dan ketam bercili sepanjang Julai ini.

Selain itu, bagi peminat-peminat ikan bakar serta masakan barat, Bistro Qaseh tidak ketinggalan menawarkan gerai ikan bakar, masakan barat, char kuetiau dan sate di bahagian luar premis itu.

Kemalawati juga memberitahu bahawa menu di Bistro Qaseh sentiasa berubah mengikut selera pelanggan.

Untuk itu para pelanggan yang datang menikmati masakan di Bistro Qaseh tidak akan 'menjumpai' menu yang serupa setiap hari.

Katanya lagi, bahan-bahan yang digunakan juga merupakan bahan segar yang dihantar oleh pembekal setiap hari malah segala jenis sayur dan ulam-ulaman dibeli sendiri di pasar borong yang berhampiran.

Ini kerana, selain ingin memberi kepuasan kepada para pelanggan, Kemalawati juga ingin memberikan masakan yang terbaik agar ia sentiasa diingati.

Bagaimanapun, ia dibuka mengikut masa yang ditetapkan seperti makan pagi, tengah hari, malam dan minum petang dengan memulakan operasi bermula 7.30 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari.

Sempena bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi, Bistro Qaseh turut menawarkan bufet Ramadan yang akan bermula 1 Ogos ini.

Sebanyak 50 jenis hidangan yang berkonsepkan gerai akan disediakan.

Bistro Qaseh sedia menerima sebarang tempahan makanan di talian 019-2172737.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: