|
|
PERCINTAAN mereka tidak sehebat pasangan lain. Pasangan ini tidak pernah ‘bergayut’ berjam-jam di telefon, apatah lagi keluar menghabiskan masa bersama.
Bagi Datuk Paduka Dr. Siti Aminah Ramli, 46, dan Wan Azwan Shah Wan Zaki, 32, walaupun mereka tidak mengalami detik-detik kemanisan bercinta sebelum diijab kabul, kehidupan mereka kini tetap bahagia seperti pasangan lain.
Menurut Siti Aminah yang merupakan pengasas produk penjagaan kulit dan muka Reena’s Cosmetics, beliau tidak menyangka dipertemukan jodoh lagi, memandangkan dia sebelum ini berstatus ibu tunggal.
Mungkin sudah tertulis, jodohnya kali ini dengan seorang jejaka lebih muda.
“Saya tidak terfikir untuk mendirikan rumah tangga lagi. Yalah, saya sibuk menguruskan perniagaan.Tetapi sudah jodoh, saya terima,” ujarnya ketika ditemui S2 di kediamannya di Shah Alam, baru-baru ini.
Bercerita mengenai pertemuan dengan suaminya, jelas ibu dua cahaya mata ini, ia terjadi ketika berada di Holiday Villa, London.
Suaminya yang ketika itu menetap di England terserempak dengannya di hotel tersebut tetapi Siti Aminah tidak perasan kehadiran suaminya.
Selepas kejadian itu, suaminya berusaha mendapatkan nombor telefonnya. Suaminya sanggup menyamar hendak menjadi stokis produknya semata-mata hendak berbual dengannya.
Bermula dari situlah, mereka kerap berhubung walaupun setelah Siti Aminah kembali ke tanah air.
Bukan mudah untuk mendekati Siti Aminah kerana menurut anak kelahiran Sekinchan, Selangor ini, pada mulanya dia tidak sukakan suaminya apatah lagi menjawab panggilan dianggap tidak penting.
“Suami saya tidak berputus asa menelefon saya. Di awal perkenalan, saya terus terang tidak begitu menggemari perangainya, apatah lagi anggapan saya ketika itu dia masih kebudak-budakan.
“Bagaimanapun, setelah melihat kesungguhannya, saya terima lamarannya,” katanya ketawa.
Suaminya, Wan Azwan ketika diminta mengulas kisah mereka, katanya,dia sememangnya suka kepada wanita yang berusia.
Ini kerana kebanyakan semua teman perempuannya berumur lebih tua daripada dirinya.
“Hendak berkawan dengan Siti Aminah bukanlah satu perkara yang mudah. Pada awalnya dia tidak mahu melayan saya, tetapi saya terus menelefonnya.
“Tetapi bagi saya, ia merupakan satu cabaran selain saya betul-betul suka padanya.
“Bayangkan, perhubungan kami pernah terputus dua tahun tetapi dalam masa yang sama, saya tidak pernah melupakannya,” katanya.
Akhirnya setelah pelbagai halangan dan rintangan dihadapi, penghujung tahun lalu pasangan ini mengambil keputusan untuk bernikah.
Mereka telah dinikahkan pada 1 Januari lalu dan Siti Aminah menganggap keputusannya tepat. Turut merestui adalah kedua-dua anak Siti Aminah. Ketika membuat keputusan itu, dia tidak pernah terfikir dirinya lebih berkuasa walaupun umurnya lebih tua daripada suaminya.
Malah, ulas Siti Aminah, dia tetap menghormati suaminya seperti pasangan lain, malah turut berbincang bersama sekiranya masing-masing mempunyai masalah.
Bagi Siti Aminah dan Wan Azwan, mereka cuba melengkapi antara satu sama lain di samping memahami perwatakan masing-masing.
Pasangan ini tidak menafikan kebenaran pepatah, ‘sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri’.
Bagaimanapun bagi pasangan ini jika timbul salah faham, ia akan ditangani dengan cara profesional melalui perbincangan suami isteri.
a marriage of convenience if ever there was one. Good luck Reena. hope ur cosmetics cover bruises, they will need to.
ReplyDelete