Saturday, July 23, 2011

Ronda SRS tengah malam


BERTUGAS sebagai anggota SRS seperti di Taman Teluk Villa, Putatan ini tidak semudah disangka kerana ia memerlukan semangat kesukarelaan yang tinggi dan kesanggupan bersengkang mata pada waktu tengah malam dan dinihari.


SELALUNYA menjelang tengah malam pasti merupakan noktah kepada rutin harian seseorang individu mencari rezeki.

Pada waktu inilah semua ahli keluarga berkumpul dan berehat di rumah masing-masing sebelum menyambung semula tugas dan aktiviti keesokan harinya.

Namun bagi sesetengah individu, detik 12 malam menandakan bermulanya ‘kerja’ mereka.

Malah ‘kerja sukarela’ yang dilakukan bukan saja memaksa mereka mengorbankan waktu rehat tetapi mendedahkan kepada pelbagai risiko dan bahaya.

Namun, itulah hakikatnya tugas ahli Skim Rondaan Sukarela (SRS) Taman Teluk Villa, Putatan, Kota Kinabalu. Tujuan mereka hanya satu iaitu memastikan keselamatan dan keamanan penduduk setempat.

Ahli SRS yang juga Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Teluk Villa, Ahmad Mahmod berkata, skim rondaan itu dilakukan dengan kerjasama pihak polis dan juga Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

“Ini bagi memastikan keamanan kawasan yang sebelum ini terdedah kepada pelbagai anasir jahat dan kegiatan jenayah.

“Alhamdulillah kewujudannya dapat mengurangkan kadar jenayah khususnya kes-kes pecah rumah di kawasan ini,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Pada masa ini, terdapat 22 penduduk di kawasan itu yang secara sukarela menjadi ahli SRS, dengan dibekalkan pelbagai kemudahan seperti kad kuasa, pakaian seragam, lampu picit dan sebagainya.

Rondaan dilakukan secara berkumpulan mengandungi lima orang, dengan ditempatkan di beberapa kawasan strategik sehingga awal pagi.

Semua ahli akan berkumpul di pondok SRS yang disediakan sebelum dan selepas melakukan rondaan untuk berbincang bagi memastikan rondaan dapat dijalankan dengan lebih lancar.

Seorang ahli SRS, Arinin Panding yang juga bekas pegawai polis berkata, selain melakukan rondaan, pihaknya juga akan melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan yang memasuki kawasan berkenaan selepas pukul 12 tengah malam.

Tambahnya, pihaknya juga tidak membenarkan mana-mana individu berada di taman permainan dan memancing di kawasan perumahan melebihi waktu itu.

Dalam pada itu, Sumira Hassan, 38, yang juga seorang ahli Rela berkata, selepas melakukan rondaan, mereka juga akan menulis laporan di kotak aduan polis yang diletakkan di pintu pagar rumah salah seorang penduduk.

Laporan berkenaan penting bagi memastikan pihak polis dapat melakukan pemantauan terhadap tahap keselamatan di kawasan itu dari semasa ke semasa.

Mengenai kebarangkalian risiko tinggi yang bakal dihadapi, beliau berkata, pihaknya menyedari pelbagai bahaya termasuk kemungkinan diserang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Bagaimanapun ini tidak mematahkan semangat kami untuk terus melakukan rondaan, malah saya yakin dengan latihan yang diberi oleh Rela, dapat memastikan kami melaksanakan tugas dengan baik,” katanya.

Sementara itu seorang guru, Abdul Malik Abdul Rauf, 45, berkata, pekerjaan hariannya sebagai seorang pendidik tidak menghalangnya untuk sama-sama melakukan rondaan.

“Meskipun bekerja pada siang hari, ia tidak mematahkan semangat saya untuk meronda kerana merasakannya adalah satu tanggungjawab menjaga keamanan kawasan ini,”katanya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: