|
|
Pada minggu ini, Gaya Chef membawa pembaca ke dapur Tanzini yang terletak di Hotel G-Tower, Kuala Lumpur.
Dapur tersebut diketuai oleh Chef Eksekutif, Johnny Fua Chia Tau yang merupakan salah seorang individu yang menjadikan hobi atau memasak sebagai kerjaya tetap.
Chef Johnny berkata, dalam sesebuah jurusan pengajian, para graduan perlu melihat peluang dan nilai-nilai komersial yang terdapat padanya.
"Tidak semua hobi memberi keuntungan dari segi kewangan tetapi hobi yang menjadi kerjaya merupakan sesuatu yang boleh menjadi sumber pendapatan kepada kita," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mendengar kisahnya bermula sebagai tukang masak biasa sehingga mencapai ke tahap Chef Eksekutif katanya, untuk mencapai kejayaan melalui hobi seperti mana yang dilakukannya memang agak mudah tetapi untuk mengaplikasikan dalam kehidupan seharian tidak semudah yang disangkakan.
"Kita perlu ada sasaran untuk berjaya. Kalau kita ikut sasaran tersebut dari mula hingga ke akhir sudah tentu kita boleh dapatkan apa yang kita mahukan.
"Contohnya selepas saya menamatkan pengajian, saya letakkan sasaran untuk menjadi seorang chef kerana minat terhadap kerjaya tersebut. Jika saya berhenti separuh jalan, sudah tentu saya tidak dapat mengecapi kejayaan seperti hari ini.
"Setelah 15 tahun berada dalam bidang ini, hasilnya sasaran saya berjaya ditepati berkat kesabaran dan pengorbanan," jelasnya yang merupakan pakar kepada masakan kontemporari moden Itali dan Perancis.
Beliau berkata, memasak merupakan sesuatu yang menyeronokkan dan banyak yang perlu dipelajari.
"Kerja saya seumpama hobi yang saya gemari. Sebab itu saya seronok bekerja dalam bidang perhotelan.
"Dalam waktu bekerja, pelbagai pengalaman saya pelajari dan antaranya ialah untuk menerokai kebolehan diri sendiri dan cara-cara untuk bergaul dengan orang ramai.
"Bekerja sebagai chef tidak semestinya kita hanya memasak tapi kadang kala saya pun kena bermesra dengan pelanggan," ujarnya.
Menurutnya, gabungan dua kebolehan yang pernah dipelajarinya di peringkat universiti iaitu bidang arkitek dan kulinari banyak membantu tugas-tugas hariannya.
"Sebelum bekerja dalam bidang ini, saya belajar dalam jurusan Seni Reka Bina.
"Bagi saya, cara terbaik buat seorang chef ialah untuk mencari identiti sendiri dan saya menggabungkan kebolehan mereka dalam bidang masakan.
"Masakan yang enak datangnya dari hati yang ikhlas. Jika chef itu masak mengikut perasaan, sudah tentu masakan itu akan gagal menambat hati pelanggan," katanya.
Baginya, seni kulinari dalam bidang masakan amat berkait rapat dan tidak boleh dipisahkan lagi.
"Sebab itu, saya sangat mengutamakan dari segi penyampaian kerana ia mainkan peranan yang sangat penting.
"Apabila sesuatu makanan dihidangkan, mata pengunjung akan menyukai masakan itu jika mereka berminat dengan penyampaian tersebut.
"Dalam bidang masakan, jika pelanggan menyukai rupa bentuk masakan itu maknanya sebanyak 50 peratus chef itu telah berjaya menambat hati pelanggan dari segi pemahaman diet yang menyihatkan," jelasnya.
Tambahnya, oleh sebab itu, sebelum beliau menyediakan sesuatu menu masakan, Chef Johnny akan melakarkan terlebih dahulu rupa bentuk penyampaian yang akan dihidangkan bersama keenakan resipi tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: