Suatu ketika dulu penyanyi ini cukup popular dengan lagu-lagu pop dan balada. Namun kini, seiring dengan penghijrahannya, Nora Ariffin atau nama barunya, Nora J, memilih konsep keagamaan untuk ‘buah tangan’ terbarunya.
Bukan sekadar mengisi ‘trend’ di pasaran, penyanyi yang pernah popular dengan lagu, Di Persimpangan Di Lema dan Naluri , sudah lama berhasrat untuk menghasilkan album santapan rohani kepada masyarakat, khasnya untuk institusi keluarga.
“Sebagai ibu, saya dapat rasakan kita kekurangan lagu untuk anak-anak. Jadi kerana itulah saya dan suami ingin menghasilkan album ini.
“Ia juga sempena Nora yang baru dan saya percaya album ini akan mendapat sambutan yang baik,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album barunya, Voices Of Ummi (VOU)-Erti Al-Fatihah, di Saloma Bistro, Kuala Lumpur.
Sementara suaminya, Johan Nawawi merangkap penerbit dan komposer keseluruhan album itu berkata, lirik-lirik lagu yang dihasilkan dapat memberikan mesej serta didikan berguna buat anak-anak muda khasnya.
“Sekarang anak-anak kita selalu terdedah dengan lagu-lagu pop yang boleh mengundang kelalaian. Jadi dengan adanya album ini, ia dapat mengisi kerohanian dan jiwa mereka.
“Lagu Erti Al-Fatihah misalnya, liriknya adalah sepenuhnya daripada terjemahan ayat suci itu, dan mudah dihafal,” katanya yang memuatkan 13 lagu dalam album itu.
Antaranya, Ummi, Indahnya Pelangi, Bismillah-Alhamdulillah dan Ramadan. Tidak terkecuali lagu raya, Ahai Riangnya Hari Raya yang dijangka bakal hit menjelang Ramadan dan Syawal ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: