Thursday, July 28, 2011

Dunia sains untuk insan istimewa


SEBAHAGIAN daripada kanak-kanak istimewa yang menyertai program sempena Hari Sains Istimewa di Pusat Sains Negara baru-baru ini.


DUNIA sains tidak terhad kepada mereka yang normal sahaja. Keajaiban sains boleh dinikmati dan dirasai oleh sesiapa sahaja.

Itu yang cuba ditonjolkan oleh Pusat Sains Negara (PSN) melalui penganjuran Hari Sains Istimewa untuk golongan kelainan upaya (OKU) dan yang kurang bernasib baik.

Program itu bukan sesuatu yang baru kerana PSN telah melaksanakannya sejak 1999. Penyertaan yang diterima pula cukup memberangsangkan terutama daripada badan-badan kebajikan dan sekolah pendidikan khas.

Tahun ini PSN sekali lagi tampil dengan program istimewa itu yang membabitkan penyertaan 4,558 peserta termasuk guru pengiring.

Hari Sains Istimewa yang berlangsung dari 25 hingga 28 Julai itu bertujuan memberi pendedahan kepada golongan tersebut dan memberi peluang kepada mereka mendekati dan mengenali dunia sains.

Dengan cara itu mereka juga dapat merasai pengalaman dan keseronokan alam sains selain mampu memberi kegembiraan kepada golongan itu.

Para peserta yang terlibat dalam program itu dibahagikan kepada enam kumpulan iaitu OKU (penglihatan), OKU (pendengaran), sindrom down, autisme dan disleksia.

Selain itu terdapat juga kumpulan yang terdiri daripada kanak-kanak hiperaktif dan anak-anak yatim serta miskin.

Sepanjang program itu, pelbagai aktiviti menarik dirancang untuk mereka. Antaranya mengecat muka, helikopter kertas, dan busking sains.

Mereka juga turut menyertai beberapa aktiviti berjadual lain selain persembahan pentas.

Apa yang menarik setiap peserta berpeluang mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang diadakan.

Dengan cara itu mereka akan mendapat pendedahan secara langsung mengenai keajaiban sains mengikut tahap keupayaan masing-masing.

Turut diadakan ialah ceramah motivasi bertujuan memberi inspirasi dan semangat kepada golongan terbabit.

Usaha PSN itu merupakan sumbangan ilmiah bagi memastikan setiap peringkat masyarakat di negara ini turut mendapat faedah dan dapat merasai setiap perkembangan dalam dunia sains.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: