Tuesday, July 12, 2011

Amylea tunggu pinangan Farouk Flava




Dua tahun menjalin percintaan masih belum meyakinkan pasangan merpati dua sejoli, Amylea Azizan, 25, dan Farouk Flava, 21, untuk melangkah ke gerbang perkahwinan.

Walaupun Amylea dan Farouk telah berkawan selama empat tahun namun kedua-duanya masih dalam proses memahami dan mengenali hati budi masing-masing.

"Hubungan kami bukan rahsia kerana keluarga masing-masing mengetahuinya.

"Bagi saya, restu keluarga itu amat penting dan alhamdulillah, kami mendapat restu dalam menjalin hubungan ini," kata Amylea.

Baru-baru ini, tercetus khabar angin yang mengatakan kononnya bekas pelajar program realiti televisyen Akademi Fantasia musim ketiga (2005) itu telah berkahwin.

"Saya belum lagi berkahwin. Khabar angin itu mengatakan dengan siapa agaknya saya berkahwin?

"Kalau dengan kekasih saya (Farouk), tak mengapalah. Jangan pula saya dikatakan berkahwin dengan orang lain.

"Kalau benar saya sudah berkahwin, pastinya saya mahu berkongsi berita gembira ini dengan semua orang dan tidak mahu menyembunyikannya.

"Apa yang saya nyatakan ini adalah benar walaupun ia soal peribadi. Lain kali, kalau ada terdengar berita seperti ini, eloklah bertanya terus kepada saya," katanya tenang.

Amylea yang pernah menjadi peserta One In A Million (OIAM) musim ketiga pada tahun 2009 tidak melenting ditebak dengan soalan berbaur peribadi itu beranggapan, khabar angin itu merupakan doa yang baik ke atas dirinya.

"Itu adalah satu doa yang baik ke atas diri saya. Jadi, saya tidak marah cuma jika masih ada lagi pihak yang enggan percaya dengan penjelasan saya ini, bolehlah bertanya kepada ibubapa saya," katanya.

Sementara itu, Farouk atau nama sebenarnya, Mohd. Farouk Abdul Razak, peserta pertandingan Gangstarz musim pertama (2007) yang berdiam diri sepanjang mendengar jawapan daripada Amylea berhubung gosip perkahwinan, tersenyum apabila diminta bercerita tentang hubungan cintanya dengan kekasihnya itu.

"Saya sebenarnya ingin membawa hubungan kami ini ke satu peringkat lagi iaitu ke arah perkahwinan tetapi ia bukan semudah itu.

"Jujurnya saya beritahu di sini bahawa saya masih mengumpul duit kerana hasrat di hati memang ingin menghantar rombongan peminangan pada tahun hadapan.

"Sama ada awal, pertengahan atau pun hujung tahun, masih belum dapat ditentukan," kata Farouk dalam nada tenang.

Bercinta dengan Amylea, akui Farouk, mengajarnya erti kematangan dalam menjalani kehidupan.

Ini kerana, katanya, walau pun Amylea empat tahun lebih tua daripada usianya, dia tidak pernah terasa kekasihnya itu bersikap dominasi.

"Dia matang dalam membuat keputusan. Dia juga tidak pernah membuatkan saya terasa rendah diri.

"Hubungan dengannya seimbang dan bersamanya, saya merasa diri ini lengkap," katanya sambil memandang ke arah Amylea yang duduk di sebelahnya.

Katanya lagi, dia dan Amylea adalah pasangan yang serasi dan hubungan mereka diketahui keluarga masing-masing.

"Apabila hubungan yang dijalin ini mendapat restu daripada orang tua kami, itu adalah satu petanda yang baik.

"Jadi, dari sekarang kami belajar erti susah senang bersama dan kami lebih mengenali hati budi masing-masing," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: