|
|
KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sentiasa berusaha mempertingkatkan pendapatan golongan artis terutamanya yang membabitkan soal kutipan royalti penjualan lagu dan album.
Kementerian yang diterajui Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu kini sedang berusaha meminda Akta Hakcipta 1987 bagi memberi lebih banyak manfaat buat pemegang hakcipta sesebuah karya seni.
"Antaranya kalau boleh biarlah ada sebuah badan yang dipertanggungjawabkan bagi mengutip royalti golongan penyanyi, komposer dan penulis lirik. Setakat ini ada beberapa badan yang menjalankan tanggungjawab tersebut.
"Menerusi pindaan akta tersebut yang akan dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini, kalau boleh kita mahu semua badan pengutip royalti berdaftar dengan KPDNKK terlebih dahulu bagi mendapatkan lesen.
"Jika tidak hukuman penalti sebanyak RM50,000 akan dikenakan kepada pihak yang melanggar peraturan itu. Akta itu pula akan dipinda dan dikuatkuasakan selewat-lewatnya sebelum Jun tahun depan," katanya.
Beliau yang mengumumkan perkara itu pada Hari Himpunan Bintang 2010 anjuran akhbar Kosmo! baru-baru ini menjelaskan, pendekatan itu antara lain bertujuan bagi membolehkan syarikat pengutip royalti lebih telus dalam kerja mereka.
Ismail Sabri menambah, pihak yang mengutip royalti juga selepas ini diminta membuat perjanjian bertulis dengan artis-artis yang mereka wakili supaya sebarang tuntutan berkaitan pembayaran royalti lebih mudah diuruskan.
"Kita minta badan yang mengutip royalti membuat perjanjian dengan artis terbabit sebelum urusan pengutipan dan pembayaran royalti itu dibuat. Malah, kita juga meminta badan pengutip royalti menghantar laporan kepada KPDNKK.
"Pada masa sama, artis-artis terbabit juga mempunyai hak untuk meminta laporan secara terperinci tentang jumlah kutipan royalti yang telah dikutip dari semasa ke semasa. Kita mahukan ketelusan dalam isu ini," ujarnya.
Setakat ini beberapa badan pengutip royalti seperti Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP) dan Prism Sdn. Bhd. antara yang mewakili golongan penyanyi, komposer, penulis lirik dan penyanyi tanah air.
Selain merasmikan perhimpunan itu, bapa kepada penyanyi popular Dafi itu turut membuka peluang golongan karyawan seni seperti penyanyi, pelakon dan pemuzik mengemukakan pandangan mereka berhubung isu-isu berkaitan.
Penyanyi terkenal Jamal Abdillah contohnya, membangkitkan isu cetak rompak yang ujarnya masih belum berkesudahan di mana dia menggesa pihak kerajaan bertindak tegas terhadap lanun-lanun cetak rompak.
"Saya sudah berada dalam bidang nyanyian sejak 32 tahun lalu tetapi masalah cetak rompak masih juga belum selesai. Dalam hal ini, saya ingin menyarankan agar Akta Cetak Rompak sepatutnya diketatkan lagi hukumannya.
"Kalau boleh biarlah hukuman bagi pesalah cetak rompak sama seperti yang diperuntukkan dalam Akta Dadah Merbahaya supaya orang takut untuk menjalankan aktiviti cetak rompak. Sudah sampai masanya kerajaan bersikap tegas," ujarnya.
Himpunan yang berjaya menarik hampir 500 artis itu juga mengadakan forum membincangkan isu terbabit disertai oleh beberapa orang ahli panel seperti Amy Search, Diana Danielle, Aizat dan Ziana Zain itu berjaya menarik perhatian ramai.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: