|
|
KEPUTUSAN yang diambil oleh pelakon hebat ini untuk bersara dari dunia lakonan sejak dua tahun lalu memang mengejutkan ramai pihak.
Ketika namanya berada di puncak dan belum puas menikmati kehidupan sebagai seorang aktor ternama, secara tiba-tiba Que Haidar mengambil keputusan drastik seperti itu.
Pelbagai tanggapan negatif mula timbul dan sudah pasti salah satunya apabila nama isterinya, Linda Jasmine Hashim dikaitkan sebagai punca segala-galanya.
Secara tidak langsung, ramai menganggap Linda telah mengongkong Que selepas mereka mendirikan rumah tangga pada 14 Februari 2009.
Apabila dapat bertemu dengan Que sewaktu menghadiri majlis pelancaran dan meninjau lokasi penggambaran filem Rock Ooo... di Ipoh, Perak, minggu lalu, peluang itu diambil untuk bertanyakan perihal sebenar kepadanya.
"Ingin saya jelaskan di sini, Linda tidak pernah mengongkong mahupun mempengaruhi setiap keputusan yang saya buat. Malah, dia sendiri yang menyokong dan menyuruh saya membintangi filem Rock Ooo... ini.
"Semua keputusan yang saya ambil adalah daripada diri saya sendiri dan untuk menjawab persoalan anda (pihak media) mengapa saya mahu bersara, ia adalah sesuatu yang sukar dijawab.
"Barangkali ia ada kaitan dengan kehidupan saya sendiri yang sudah dewasa dan matang. Saya kira waktu ini adalah masa untuk bersama dengan keluarga dan menumpukan perhatian kepada mereka," katanya membuka bicara.
Namun, jawapan yang diberikan bagaikan tidak memberi kepuasan keada pihak media.
Sehinggalah, pengarah filem Rock Ooo..., Mamat Khalid yang turut berada pada sesi temu bual itu 'terlepas cakap' mengatakan Que sebenarnya merajuk dengan beberapa individu yang terlibat dalam dunia seni.
Sukar untuk menolak
Dek kerana kata-kata pedas yang dilemparkan kepadanya telah membuatkan Que jauh hati lantas mengambil keputusan untuk bersara.
Agak terkejut dengan cerita itu, Que terus diasak untuk menceritakan perkara sebenar. Namun, anak kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor, itu hanya mampu ketawa sahaja tanpa mahu mengulas lanjut.
"Biarlah apa yang berlaku hanya saya sahaja yang tahu. Saya sendiri tidak mahu memanjangkan isu ini. Buat masa ini, saya masih berpegang teguh kepada prinsip saya untuk bersara.
"Saya lebih selesa untuk membiarkan takdir yang menentukan bilakah saya akan kembali aktif sebagai pelakon sepenuh masa. Ketika ini, saya gembira dengan kehidupan saya bersama keluarga tersayang," kata pemilik nama penuh Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar ini sambil menutup cerita itu.
Jika benar pelakon berusia 32 tahun ini sudah mahu melupakan terus dunia lakonan yang telah mempopularkan namanya itu, apakah menyebabkan Que mengubah pendiriannya apabila mengambil keputusan bersetuju untuk membintangi filem Rock Ooo...?
Sambil menghela nafas panjang, Que mengakui skrip filem itu terlalu kuat untuk dia menolaknya selain barisan pelakon dan Mamat sendiri yang membuat Que mengubah keputusannya.
"Apabila diberikan skrip, helaian demi helaian saya selak dan merasakan filem ini memiliki jiwa yang sangat besar. Ceritanya adalah tentang naik turun seorang insan yang melalui laluan yang cukup mencabar untuk mencapai cita-citanya sebagai seorang penyanyi.
"Tidak cukup dengan itu, Rock Ooo... mempunyai pengakhiran yang cukup menyentuh jiwa apabila Mamat cuba merangkumi nasib yang perlu dihadapi oleh industri muzik rock pada ketika itu.
"Cerita ini bukan hanya sekadar komedi semata-mata tetapi ia mempunyai semangat dan keikhlasan yang cukup murni sehinggakan saya fikir saya perlu berlakon dalam filem ini," jelas aktor yang pernah dijulang sebagai Pelakon Harapan Lelaki Festival Filem Malaysia Ke-19 (2006) menerusi filem Castello ini penuh bersungguh.
Tidak dirancang
Menceritakan detik-detik bagaimana dia 'terjebak' semula ke dunia lakonan untuk filem Rock Ooo..., cerita Que semuanya tidak dirancang.
Semuanya bermula sewaktu dia bertemu dengan Mamat di sebuah pusat membeli-belah dan dalam masa yang singkat itu, pengarah kreatif itu sempat menceritakan sinopsis filem terbarunya itu.
Kemudian, Que 'diperdaya' pula oleh sahabatnya, Khir Rahman yang mengajaknya untuk berbual santai di sebuah kedai mamak tanpa disedari Que, ia sebenarnya adalah perjumpaan untuk filem Rock Ooo....
"Bayangkan ketika itu, saya seram sejuk dan gementar kerana sudah dua tahun saya tinggalkan dunia glamor ini. Jadi, apabila kembali semula dengan melakukan proses yang pernah saya lalui dulu sebelum berlakon sesebuah filem, saya menjadi kaku (ketawa).
"Selepas berbincang, saya tidak boleh lagi berkata tidak dan akhirnya saya bersetuju. Sukar untuk menolak pelawaan Mamat yang sudah saya kenali begitu lama iaitu sebelum saya bergelar pelakon lagi.
"Begitu juga dengan aktor lain seperti Khir Rahman dan Shoffi Jikan yang telah saya anggap sebagai saudara saya sendiri. Jadi, kerana mereka jugalah, saya kembali berlakon," kata Que yang begitu galak bercerita sehingga terpancar jelas keseronokan dan kegembiraan yang bukan kepalang di wajahnya.
Menangis di lokasi
Menyambung bicara, Que yang pernah dua kali dicalonkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik FFM menerusi filem Maut dan KL Menjerit 1 itu memberitahu dia kekok apabila kali pertama menjejakkan kaki ke set penggambaran filem Rock Ooo....
Que merasakan dirinya seperti orang yang baru kali pertama berlakon sehinggakan dia begitu sukar untuk mencari rentak seperti mana yang dimahukan oleh Mamat dalam menjayakan watak Amy Mat Piah dalam filem itu.
Que mengakui dia menangis di hari kedua kerana terasa bagai hilang arah dan gagal mencari jiwa lakonan yang sebelum ini umpama begitu mudah dilakukannya.
"Kerana itu jugalah, kami memulakan penggambaran dengan adegan yang mudah terlebih dahulu sebelum sampai ke babak yang sukar dan menuntut permainan jiwa serta emosi," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: