|
|
Kali pertama berjumpa dengan calon Gaya Polis kali ini pada satu sidang akhbar berkaitan kejayaan pasukan itu menumpaskan sindiket pengedaran antarabangsa warga Nigeria di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Umpama kawan lama, penulis bertegur sapa dan berborak dengan Inspektor Mohd. Faizal Amir berusia 25 tahun.
Selepas itu, penulis kerap menemui beliau dalam beberapa sidang akhbar di IPD Petaling Jaya dan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Tidak keterlaluan dikatakan bahawa beliau antara pegawai penyiasat (IO) muda IPD PJ yang mempunyai semangat kental dan berdedikasi.
Baru-baru ini, setelah beberapa minggu mengatur temu janji, akhirnya penulis dan Faizal bertemu di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD PJ di Menara Choy Fook On di Petaling Jaya.
Jelas Faizal, dalam menjalankan siasatan sesuatu kes, seorang pegawai perlu berfikiran ke hadapan selain sentiasa menyediakan bukti barang kes yang mencukupi.
Jelas anak ke-dua dari empat beradik itu, sepanjang menjadi IO Bahagian BSJN di IPD PJ, rata-rata dia telah diberi tanggungjawab untuk menyiasat kira-kira 300 kertas siasatan.
"Separuh daripada kertas siasatan itu telah berjaya dibawa ke muka pengadilan dan suspek telah dihukum mengikut kesalahan masing-masing.
"Sebagai seorang IO, apabila sesuatu kertas siasatan diberikan kepada mereka, ketepatan siasatan dan bukti perlu seiring bagi menentukan pelaku terbabit benar-benar bersalah," katanya yang menanam minat sejak kecil untuk menyertai pasukan polis.
Tambah Faizal, tugas selaku IO adalah tidak sama dengan anggota atau pegawai yang menjalankan operasi tangkapan.
Jelas anak kelahiran Pulau Pinang itu lagi, selaku IO, beliau akan menjalankan siasatan kes berkenaan dari awal hingga ke akhir.
"Kalau sesuatu operasi dilakukan, IO di BSJN terbabit tidak terlibat secara langsung dalam serbuan tersebut.
"Namun, mereka bertanggungjawab untuk menjalankan siasatan tempat kejadian, tempoh aktiviti, menemuramah saksi-saksi dan sebagainya," katanya yang gemar meluangkan masa berkaraoke ketika masa lapang.
Cabaran
Sepanjang dua tahun menjadi IO di IPD PJ, terdapat beberapa kekangan yang dihadapi Faizal dalam menjalankan siasatan sesuatu kes.
Jelas beliau, antaranya melibatkan tangkapan warga asing iaitu Nigeria, Iran dan Myanmar yang sinonim dengan sindiket pengedaran dadah di negara ini.
Faizal berkata, kekangan bahasa untuk tujuan soal siasat adalah perkara utama yang dihadapi beliau dan beberapa rakan IO yang lain.
"Siasatan perlu diteruskan dan selalunya tempoh tahanan reman akan diminta empat ke tujuh hari dari tempoh tangkapan.
"Oleh itu, selaku IO, kami perlu melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada DPP untuk tindakan selanjutnya.
"Bagi kes-kes sedemikian, saya akan menggunakan khidmat jurubahasa dalam menyoal siasat kesemua suspek warga asing ini," katanya meneruskan bicara.
Selain kekangan masalah bahasa, Faizal memberitahu, kerjasama yang diberikan oleh warga asing tidak memuaskan.
Katanya, ini kerana penglibatan mereka dengan sindiket antarabangsa hingga menyukarkan mereka memberi kerjasama kepada pihak polis.
Jelas Faizal, mereka seolah-olah ingin melindungi ketua sindiket yang 'membiayai' kehidupan mewah di negara ini.
"Jika dilihat kebanyakan mereka akan tinggal di pangsapuri mewah yang dilengkapi dengan sistem keselamatan canggih bagi mengaburi pihak berkuasa. Bagaimanapun, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga," katanya.
Dalam pada itu, Faizal memberitahu, sejak menyarung pakaian Polis Diraja Malaysia (PDRM) beliau sudah bersedia dengan risiko yang bakal dihadapi.
Menceritakan lanjut, Faizal berkata, beliau pernah menerima ugutan dari beberapa ah long dan ketua sindiket pengedaran dadah tempatan ketika beliau melakukan siasatan kes berkenaan.
"Satu tangkapan dibuat awal tahun ini ke atas dua adik beradik di Petaling Jaya, Ketika melakukan soal siasat ke atas jirannya, saya ada dihubungi oleh nombor yang tidak dikenali supaya tidak meneruskan siasatan kes berkenaan.
"Bukan setakat itu, jiran yang saya soal siasat itu juga ada menghubungi saya dan memberitahu terdapat sekumpulan individu datang ke rumahnya memberi amaran agar dia tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kepada pihak polis.
"Namun, saya anggap semua ini sebagai cabaran dan risiko menjadi warga PDRM," katanya yang menggemari sukan bola sepak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: