Wednesday, July 20, 2011

350 mahasiswa tunjuk bakat di Feskom


Sebahagian penuntut semester 1 yang menyertai program induksi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Cawangan Melaka, baru-baru ini.


ALOR GAJAH 19 Julai - Program Festival Komunikasi (Feskom) berjaya menyemai sikap kerjasama di samping menonjolkan bakat mahasiswa Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Lendu.

Bertemakan Lendu in 3D - Now Showing program itu berjaya memperlihatkan kebolehan mahasiswa fakulti itu menerusi aktiviti seperti majlis suai kenal antara kumpulan (berdasarkan tajuk-tajuk filem), tele-match, kreativiti dan flash-mob.

Koordinator program itu, Shahril Anuar Abdul Ghalim berkata, objektif utama program itu bertujuan memberi pendedahan mengenai pengenalan bidang media di samping merapatkan hubungan antara mahasiswa baru dan lama dalam fakulti tersebut.

''Lebih penting ia dapat memperkasakan perkembangan dunia media bukan sahaja dari sudut praktikal tetapi juga dalam bidang akademik," katanya ketika merasmikan program itu baru-baru ini.

Seramai 350 mahasiswa menyertai program tersebut.

Menurutnya, program induksi penting dalam membentuk jati diri dan memberi kesedaran kepada mahasiswa bagi memupuk semangat kerja berpasukan dalam menjayakan sebarang tugasan yang diberikan pensyarah.

"Program induksi sudah menjadi tradisi fakulti ini untuk merapatkan hubungan antara mahasiswa baru dan lama," ujarnya lagi.

Shahril Anuar menambah, program itu juga mampu melahirkan graduan yang lebih mantap apabila mereka sudah menamatkan pengajian.

Beliau bangga melihat kesungguhan mahasiswa sepanjang program itu diadakan walaupun hujan lebat dalam memastikan program berjalan lancar.

Program tersebut katanya, berjaya menyuntik semangat baru dalam membentuk gandingan mantap kumpulan Gelombang Merah yang telah menaikkan imej serta identiti UiTM di peringkat negeri dan kebangsaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: