ASSALAMUALAIKUM! Penganjuran Minggu Setiausaha sepanjang April ini begitu ketara tidak serancak yang diadakan pada tahun-tahun sebelumnya. Saya pernah menulis artikel mengenai penganjuran ini yang boleh dianggap perlahan di Selebriti, Metro Ahad baru-baru ini. |
Kalau dulu, teman-teman media saya bagaikan tak menang tangan memenuhi undangan kerana sana sini, sehingga ada penganjur melajakkan acara ke sebelah malam. Minggu Setiausaha yang biasa dengan menu tengah hari bertukar kepada makan malam.
Tahun ini memang perlahan. Mungkin ramai penganjur yang terlalu berhati-hati dengan situasi ekonomi global dan negara kita, bimbang untuk mengambil risiko yang dianggap tinggi itu.
Perlahan atas faktor semasa, tetapi bagi saya, Minggu Setiausaha tahun ini belum hilang sendunya dengan persembahan yang bagus dan berkualiti. Nama yang dipilih bukan calang-calang – Datuk Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Anita Sarawak, Faizal Tahir dan Krisdayanti yang sentiasa menjadi ‘crowd puller’ untuk program ini.
Kalau sebelum ini, terlalu ramai artis yang menjayakan acara ini sehingga saya samar melihat di mana letaknya eksklusiviti Minggu Setiausaha yang mengenakan harga ratusan ringgit untuk satu kepala. Kadang-kadang ada juga artis yang mengambil undangan dua tiga tempat untuk acara yang dianjurkan sebulan sepanjang April.
Teringat dua tiga belas tahun lalu ketika saya masih hingusan dalam dunia kewartawanan ini, Anita Sarawak (Kak Nita) setiap tahun diterbangkan dari Las Vegas ke PJ Hilton untuk Minggu Setiausaha. Benar-benar nampak impak eksklusifnya sehingga hotel itu sentiasa penuh dengan peminat superstar itu.
Teringin sangat untuk menyaksikan persembahan anak Melayu antarabangsa ini, tambahan dengan hebahan media yang meluap-luap memuji Kak Nita.
Rezeki saya, dapat tengoklah sekali apabila diajak teman senior ketika itu. Memang benar apa yang ditulis dalam akhbar dan majalah, malah saya terasa bangga berada di dalam dewan Minggu Setiausaha itu.
Sekarang lain. Terlalu ramai yang menaiki pentas sehingga saya terpaksa memilih. Cuma dengan situasi ekonomi dunia yang kurang selesa ini ada impak baiknya dalam saya memperkatakan mengenai penganjuran Minggu Setiausaha. Lebih memilih!
Sebab itu juga saya katakan Minggu Setiausaha ini tidak sendu kerana hanya yang terbukti bagus di atas pentas saja yang bertahan untuk diulang panggil penganjur seperti nama yang saya sebutkan di atas.
|
Kelmarin saya berkesempatan memenuhi undangan Sime Darby untuk menyaksikan Anuar Zain. Seperti biasa, dewan Pusat Konvensyen Sime Darby di Bukit Kiara itu penuh dengan peminat Lelaki Ini. Ya, Anuar ada auranya kerana saya melihat Ketulusan Hatinya menghiburkan peminat yang rata-rata wanita.
|
Tidak perlu saya ulas mengenai persembahan Anuar yang saban tahun saya perkatakan di dalam Zon Abie kerana kepuasan yang sukar digambarkan. Cuma momentum persembahan kali turun sedikit, mungkin kerana kesihatan Anuar yang sedikit terjejas tetapi semangatnya tinggi. Bagaimanapun kelasnya masih tersendiri.
Kadang-kadang hiburan bagi saya bukan datangnya daripada nyanyian cinta Anuar saja, malah gelagat peminatnya termasuk yang berpangkat ibu, menjerit-jerit keseronokan apabila didekati Anuar turut membuatkan ia bagaikan sebahagian pakej hiburan.
Sayangnya saya tak berkesempatan menyaksikan sekali lagi tenaga Kak Nita di atas pentas awal minggu ini, tetapi melalui rakan-rakan, wanita itu tidak pernah putus tenaga. Tenaga seorang penghibur!
Apa yang ingin saya simpulkan di sini, Minggu Setiausaha tahun ini nampaknya lebih berprestij dengan pemilihan artis-artis eksklusif saja.
Bukan menidakkan mereka yang lain yang pernah membuat persembahan Minggu Setiausaha malah bagus kerana berpeluang menunjukkan kebolehan menghibur peminat secara ‘live’.
Bagaimanapun, menghibur secara kasarnya bukan sekadar menyanyi atas pentas, tunjuk muka cantik saja, ya! Ia bukan acara Zoom In di RTM atau rakaman Muzik Muzik!
Malam esok juga, insya-Allah saya akan menyaksikan eksklusifnya persembahan artis yang menjayakan kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 di Genting Highlands. Kepada yang tersenarai dalam Top 5, selamat berjaya! Siapa nak ke Genting untuk tangan kosong saja, dik?
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: