SEDANG asyik Papa bersama teman-teman yang lain berkumpul dan bergembira hujung minggu lalu, tiba-tiba Papa menerima panggilan daripada Dik Chu.
Bukan Dik Chu yang dalam pementasan teater Patung Kertas itu ya tetapi Dik Chu ini merupakan seorang yang terlibat secara tidak langsung dalam dunia hiburan.
Dia memberikan kisah yang agak panas jugalah, sampaikan telinga Papa naik merah mendengar ceritanya.
Kisahnya mengenai filem epik fantasi, Bunian: Mahkota Seri Helang yang menampilkan pelakon jelita, Nasha Aziz dan Rusdi Ramli yang khabarnya kini terbengkalai dan tidak jadi untuk dibuat.
Terkejut jugalah Papa mendengarnya kerana sebelum ini penerbit dan pengarahnya iaitu Adnan Abu Hassan dan Zaharil Izham Zainon begitu beria-ia mencanangkan kehebatan filem ini.
Sudahlah menelan belanja sebanyak RM 3.5 juta dan pihak penerbitnya siap menggambarkan kehebatan filem ini bakal setanding dengan filem trilogi Lord of the Rings.
Sehingga kini, kisah penggambaran filem itu juga senyap sahaja dan Dik Chu memberitahu, pelakon-pelakonnya juga kini sedang menanti jawapan daripada pihak produksi filem berkenaan.
Pengumuman sudah dilakukan dan orang pasti mahu menunggu hasil filem ini. Tup tup, tak jadi pula dibuat. Alasan sebenarnya, hanya pihak produksi sahaja yang tahu.
Dalam pada itu, Papa pun tertanya-tanya juga, apa sudah jadi dengan filem Mek Ani yang dikatakan akan menjadi sebuah filem yang gah dan akan dibawa ke Oscar?
Harap-harap menjadi kenyataanlah filem itu sebab Papa tidak sabar untuk melihat hasilnya, termasuk melihat filem Mek Ani mendapat sambutan di Hollywood apabila ditayangkan kelak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: