Wednesday, April 29, 2009

Dengarnya... Peserta Pilih Kasih ditempeleng



Rosyam Nor

KELAKAR juga Cik Normah dengar cerita mengenai gelagat peserta uji bakat rancangan realiti Pilih Kasih, terbitan Suhan Movies. Setakat ini, sudah lima bandar sudah disinggahi pasukan Rosyam Nor untuk mencari pelakon baru.

Bandar itu ialah Johor Bahru, Seremban, Kota Bharu, Kuantan dan Kota Kinabalu. Pada 2 dan 3 Mei pula, mereka akan membuat sesi di Queensbay Mall, Pulau Pinang dan Plaza Alam Sentral, Shah Alam. Akhir sekali, pada 9 dan 10 Mei, uji bakat Pilih Kasih diadakan pula di The Spring, Kuching.

Khabarnya, pelbagai telatah dapat dirakam Rosyam dan pasukannya sewaktu sesi uji bakat terbabit. Antara yang perlu dilakukan peserta pada hari terbabit ialah menghasilkan babak lakonan berdasarkan situasi yang diberi. Maka, bermacam-macam ragam lakonan dapat disaksikan sewaktu mereka cuba menawan hati panel pemilih.

Antaranya, ada adegan tampar-menampar, serta babak yang memerlukan peserta uji bakat menunjukkan muka sedih. Rosyam khabarnya terbeliak biji mata apabila ada sebahagian peserta yang menampar betul-betul rakan lakonannya sewaktu uji bakat. Apabila sudah ditempeleng betul-betul, maka merah padam jugalah wajah si peserta yang satu lagi.

Ada pula peserta yang diminta menunjukkan emosi sedih, terus saja menangis teresak-esak. Wah! ‘gitu’! Kata Rosyam, dia sendiri pun tidak mampu berbuat demikian. Selalunya dia akan ambil masa untuk mendapatkan mood sedih. Tetapi lain ceritanya dengan peserta Pilih kasih yang boleh terus mengalirkan air mata, disertakan dengan raungan sekali. Itu belum kira peserta yang menangis sambil menyeka air mata, ala kanak-kanak ‘gitu’.

Cik Normah sendiri tidak sabar hendak menonton rancangan Pilih Kasih apabila ia dijadual menemui penonton secara langsung mulai 6 Jun ini, di TV2. Sebelum itu, rancangan berbentuk diari dikenali sebagai Kisah Pilih Kasih akan disiarkan di saluran sama, mulai 25 Mei. Ia disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat, jam 8 malam.

Siapakah agaknya di antara ramai-ramai peserta itu, yang akhirnya dipilih Rosyam untuk menjadi pelakon yang akan beraksi di sisinya dalam filem Kekasih? Nampaknya kita kenalah tunggu sampai rancangan berkenaan tamat beberapa bulan lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: