Wednesday, April 29, 2009

Interaksi: Wujudkan demokrasi!


TAHNIAH kepada Pengurus Besar (Penerbitan Filem) Primeworks Studios, Ahmad Puad Onah kerana sekali lagi dipilih sebagai Presiden Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM) untuk penggal 2009/2011 dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) persatuan itu, minggu lalu.

Ahmad Puad tidak menghadapi laluan sukar untuk mengekalkan kedudukan walaupun mendapat tentangan hebat daripada Pengarah Urusan Kuasatek Pictures Sdn Bhd, Mohd Noor Kadir.

Berbeza dengan AGM PFM ke-25 pada 17 Mac 2007, Ahmad Puad dipilih sebulat suara sebagai Presiden bagi penggal 2007/2009 manakala Pengarah Eksekutif Astro Shaw, Datuk Tengku Anuar Musaddad sebagai Naib Presiden.

Ia sekaligus memberi sinar baru kepada PFM selepas lebih setahun diterajui pemangku, Ruhanie Abdul Rahman (Nizarman Sdn Bhd) apabila Presiden PFM, Hafsham meletak jawatan kerana isu penyertaannya di Festival Filem Malaysia dipertikaikan. Jawatan setiausaha juga kosong apabila Mohd Mahyidin Mustakim dilantik Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

AGM PFM minggu lalu dianggap agak panas apabila peringkat awal dikatakan menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan dua calon lain, Tengku Anuar dan Penerbit Pesona Pictures Sdn Bhd, Datin Paduka Shuhaimi Baba. Pada saat akhir, Tengku Anuar menarik diri manakala Shuhaimi menukar pendirian untuk bertanding jawatan naib presiden.

Hanya jawatan presiden dipertandingkan manakala jawatan lain menang tanpa bertanding iaitu Shuhaimi (naib presiden), setiausaha (Norman Abdul Halim/KRU Films Sdn Bhd) dan penolong setiausaha (Gayatri Su-Lin Pillai/Astro Shaw).

Jawatan bendahari menyaksikan Raja Azmi Raja Sulaiman mencabar Panshah (kemenangan Panshah) manakala empat ahli jawatankuasa (AJK), Abdul Latiff Mohaideen (Lineclear Motion Pictures Sdn Bhd), Ruhanie, Nancie Foo (Produksi Seni 2020 Sdn Bhd) dan Hans Isac (Tall Order Productions Sdn Bhd).

Biarpun keputusan sudah diumumkan, persoalan dan cakap-cakap antara ahli masih ada apabila pemilihan Ahmad Puad dikatakan dirancang pihak tentu yang juga orang dalam PFM. Sejauh mana kebenaran dakwaan itu atau apakah perbuatan yang dilabel taktik kotor itu benar-benar berlaku?

Bagi mendapatkan penjelasan, wartawan Rap, ELRAFAEI SAPI (ahmadelrafaeihmetro.com.my) mendapatkan reaksi Mohd Noor untuk menjawab soalan di sebalik kontroversi yang berlaku dalam AGM PFM kali ini.



SOALAN (S): Apa komen anda apabila pemilihan jawatan dalam PFM dirancang pihak tertentu?



JAWAPAN (J): Sebenarnya, ahli dalam PFM sudah tahu perkara ini berlaku sejak sekian lama. Kebenaran itu memang ada apabila setiap kali pemilihan kepemimpinan baru menerusi AGM, apa yang berlaku keputusan ditetapkan sejak awal.

Saya melihat ada kelompok diterajui seseorang melakukan kerja dengan menagih proksi orang lain untuk memastikan calonnya menang. Apa yang mengejutkan, seolah-olah sesiapa yang ingin bertanding perlu mendapat restu daripada 'dia'. Saya hairan mengapa perkara yang sama terus berlaku setiap kali AGM untuk PFM diadakan.



S: Apa yang sebenarnya berlaku dalam AGM baru-baru ini?

J: Dari dulu hingga AGM yang lalu, saya melihat tiada siapa yang berani untuk bertanding jawatan utama iaitu presiden. Lalu, saya tawar diri untuk bertanding. Niat saya mahu pemilihan dibuat secara demokrasi dan kita perlu ingat jika perkara seperti perancangan pihak tertentu mengatur pemilihan terus berlaku, ia memberikan petanda yang tidak sihat pada perkembangan persatuan pada masa akan datang.

Memang pada mulanya apabila saya membuat keputusan untuk bertanding jawatan presiden pada saat akhir, ramai terkejut termasuk Ahmad Puad sendiri. Jika dilihat situasi ketika itu, ada calon tarik diri selepas berhasrat untuk bertanding. Jika diteliti, dalam PFM mempunyai dua kelompok berbeza iaitu orang lama yang berusaha mempertahankan kepentingan masing-masing manakala satu kelompok lagi adalah golongan muda yang mahu membawa pembaharuan dalam persatuan.



S: Komen anda mengenai pelantikan Ahmad Puad sekali lagi dipilih sebagai Presiden PFM?

J: Bagi saya, Ahmad Puad juga kawan baik saya dan saya sokong apabila dia terus bertanding dan menang. Sebelum keputusan presiden baru PFM diumumkan, saya bertemu dengannya dan berkata, dia tetap menang jawatan presiden, tetapi saya berharap kemenangannya biarlah atas persaingan adil dan bukan diatur pihak tertentu.

Ada kelompok mahu berpolitik dalam persatuan dan yang peliknya, kelompok yang mahu mencorakkan kepemimpinan ini adalah mereka yang tidak aktif membuat filem. Saya pula bebas dan tidak berpihak kepada mana-mana kelompok. Saya juga bukan gila jawatan, tetapi mahu menegakkan demokrasi dalam PFM sendiri.

Saya tahu, saya tidak boleh menang untuk jawatan presiden tetapi saya mahu kelompok terbabit dalam mengatur pemilihan ini 'sakit perut'. Ada yang berpesan pada saya agar tidak bertanding kerana 95 peratus keputusan pemilihan kali ini sudah ditetapkan.

Menariknya, ada kertas putih yang diedarkan kepada ahli ketika pendaftaran. Dalam kertas itu sebenarnya sudah tertulis nama calon yang dipilih untuk memegang jawatan. Bagaimanapun, saya hormat Ahmad Puad apabila dia dipilih memegang jawatan presiden.

Sama ada dia dipilih mengikut keputusan yang diatur atau tidak, keputusan sudah menetapkan dia presiden baru dan ahli patut hormat kepadanya.



S: Apakah kriteria untuk menjadi presiden PFM?

J: Saya percaya presiden perlu mempunyai ketokohan untuk menjalankan tugas sebagai pemimpin persatuan. Saya sedar saya tidak mempunyai ketokohan untuk menjadi presiden tetapi saya lihat pemilihan jawatan utama ini perlu mempunyai beberapa calon yang layak bertanding.

Orang lama seperti bekas pengerusi PFM, Tan Sri Kamarul Ariffin Mohamed Yasin, Datuk Yusof Haslam, Datin Paduka Shuhaimi Baba, Datuk Mustapha Maarof dan Datuk Tengku Anuar Mussaddad antara calon yang saya fikirkan layak untuk bertanding jawatan presiden PFM. Bagi Ahmad Puad pula, ketokohan dia ada apabila memegang jawatan presiden.



S: Bagaimana potensi golongan muda yang mahu bertanding dan menguruskan PFM?

J: Pada saya, tidak salah memberi peluang kepada golongan muda untuk bertanding dan memegang jawatan penting dalam PFM. Jika mereka percaya pada kebolehan diri untuk menggalas tanggungjawab dalam PFM, mereka boleh mencuba nasib. Kata orang, belum cuba, belum tahu dan mungkin mereka dapat membawa pembaharuan positif untuk perkembangan persatuan.

Sebaliknya, apa yang saya harapkan penyertaan mereka dengan golongan lama perlu seimbang. Namun, belum sempat peluang diberikan, ada yang berhasrat untuk bertanding kemudian menarik diri. Seperti mana pemilihan jawatan presiden, apabila ada calon yang tarik diri, ia akan menimbulkan tanda tanya ahli lain mengapa perkara itu berlaku dan ahli juga akan melemparkan tanggapan sama ada wujud konspirasi dalam PFM yang sudah membuat keputusan awal untuk memilih calon pilihan mereka.

Apa yang berlaku, bukan tiada calon layak bertanding, tetapi ada individu dalam PFM takut golongan muda atau baru dipilih menerajui PFM nanti akan salah guna seperti penyelewengan duit syarikat. Ada juga, golongan muda ini yang ingin melakukan pembaharuan dengan cara protes. Masalah berlaku pada golongan muda apabila mereka sibuk dengan kerja hingga tiada masa untuk berpersatuan. Sepatutnya mereka faham dengan perjalanan PFM sendiri dan apa jua cadangan perlu dilakukan dengan bijak.



S: Perkembangan aktiviti PFM sejak dulu hingga kini?

J: Saya berpendapat PFM tidak banyak menganjurkan aktiviti untuk ahli cuma apa yang selalu kita lihat, PFM hanya aktif apabila mahu menganjurkan Festival Filem Malaysia. Ketika itu, masing-masing berebut untuk menjadi penganjur hinggakan mereka tidak menjaga kepentingan ahli secara keseluruhan.

Saya sokong bila PFM berusaha mendapatkan wang untuk tabung PFM, tetapi jika wang itu tidak digunakan atau dilabur secara berhemah, ia tidak akan memberi apa-apa makna. Hakikatnya, apa yang boleh saya katakan PFM tidak mempunyai aktiviti untuk ahli mereka.



S: Apakah cadangan untuk masa depan PFM?

J: Sebenarnya banyak aktiviti dirancang ahli untuk PFM, tetapi bila diusul dalam mesyuarat seperti AGM, ia hanya senyap begitu saja hingga AGM akan datang menyusul. Seharusnya kepemimpinan yang dilantik untuk menguruskan PFM memikirkan apakah matlamat persatuan ini untuk menjaga kebajikan ahli mereka.

Hingga kini, saya berani katakan saya tidak nampak apa-apa manfaat daripada aktiviti PFM untuk ahli. Dalam pada itu, saya mahu mencadangkan agar perlembagaan persatuan dipinda iaitu cara paling baik untuk setiap kali pemilihan jawatan penting dalam PFM adalah satu ahli hanya mewakili satu proaksi.

Ini bermakna, ahli tidak boleh pegang hingga 10 proaksi bila tiba hari pemilihan jawatan dalam PFM. Untuk pemilihan pada AGM yang lalu, hanya 42 syarikat layak untuk mengundi. Dalam PFM, ahli adalah syarikat dan hanya ahli penuh layak mengundi.

Sebelum ini, ada ahli tahu siapa ahli tidak hadir pada AGM, dan mereka akan mengambil proaksi ahli tidak hadir untuk mewakili undi. Ini mendatangkan masalah kepada PFM dan akhirnya mereka secara tidak langsung menentukan kemenangan calon bertanding. Buat apa diadakan AGM dan melakukan pemilihan kepemimpinan baru jika keputusan sudah diatur?

Harapan saya agar PFM dapat lakukan apa yang lebih dari sekarang. Apa yang penting, PFM perlu jaga kepentingan ahli kerana itu matlamat utama persatuan. Saya juga berharap agar kepemimpinan baru fokus pada ahli dan menyelesaikan masalah dalaman. Saya sendiri akan terus bersuara dan saya bukan melenting bila kalah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: