Wednesday, April 29, 2009

Mahsuri di tangan Fauziah Nawi


SAAT bahagia Mahsuri dan Wan Darus dalam babak penuh kemeriahan.

Teater singkap padah membuat, sebarkan fitnah

USAHA pengarah Fauziah Nawi dan kumpulan produksinya membawa teater Mahsuri ke Panggung Sari, Istana Budaya sememangnya harus dipuji. Bukan sekadar memartabatkan seni persembahan teater tempatan, ia turut mengangkat cerita legenda masyarakat Melayu ke tahap yang sepatutnya.

Lebih daripada itu, teater Mahsuri yang dipentaskan mulai 24 hingga 30 April ini mengajak penonton mengikuti semula kisah di sebalik sumpahan seorang wanita yang tidak bersalah, Mahsuri, apabila dia dihukum bunuh akibat fitnah yang dilemparkan kepadanya.

Menampilkan aktres Vanidah Imran sebagai Mahsuri, teater ini turut diperkuatkan Arja Lee (sebagai Wan Darus), Azliyuszaini Mohd Noor (Datuk Pekema Jaya), Sabera Shaik (Wan Mahura), Ard Omar (Pandak Mayah), Norsiah Mohd Yatim (Cik Alang), Azman Md Hassan (Deramang), Azizah Mahzan (Wan Endah) dan Cico Harahap (Aria).

Kisahnya berkisar pada hasad dengki seorang wanita, Wan Mahura, apabila adik iparnya yang juga pahlawan tempatan, Wan Darus, dijodohkan dengan gadis jelita kelahiran Pulau Langkawi, Mahsuri. Kejelitaan gadis berkenaan menjadi buah mulut dan kecemburuan ramai wanita, termasuk Wan Mahura.

Apabila Wan Darus dikehendaki mengetuai kumpulan pahlawan anak tempatan menentang tentera Siam, Mahsuri ditinggalkan bersama ibu bapanya. Wan Darus meminta sahabatnya, Deramang, menjaga keselamatan si isteri sepanjang ketiadaannya.

MAHSURI cuba diselamatkan keluarganya daripada hukuman mati.

Namun, Wan Mahura menggunakan kesempatan itu untuk memfitnah Mahsuri yang didakwa menduakan suaminya ketika Wan Darus keluar mempertahankan negeri. Akibatnya, pasangan berkenaan dihukum bunuh. Sebelum dirinya ditikam menggunakan keris warisan keluarga, Mahsuri sempat menuturkan sumpah - Langkawi akan menjadi padang jarak padang terkukur untuk tujuh keturunan lamanya!

Teater ini mempunyai beberapa tarikannya tersendiri. Cerita lama yang diwarisi turun-temurun memang seronok untuk didengar berkali-kali. Apatah lagi apabila ia dipentaskan dengan skala agak besar sebagaimana teater Mahsuri ini.

Ditambah dengan iringan muzik secara langsung yang menarik, set yang agak baik, serta rekaan visual yang membantu menghidupkan cerita, teater ini boleh dinikmati pelbagai peringkat penonton. Sedikit sebanyak, mereka dapat mengingati semula apa sebenarnya terjadi pada wanita legenda berkenaan, sehingga dirinya dibunuh dan sumpahan diluahkan.

Ia sebuah teater yang mengajak penonton melihat semula kesan perbuatan fitnah yang bukan hanya berleluasa pada zaman dulu kala. Sehingga ke hari ini, perbuatan itu dapat dikesan dalam masyarakat kita. Apa saja alasannya, fitnah ditabur untuk mengeruhkan suasana, sama ada demi kepentingan diri, untuk memusnahkan ‘lawan’, atau hanya kerana benci yang tidak dapat dibendung lagi.


Satu ketika dulu, fitnah dilempar menerusi kata-kata, kini dengan perubahan teknologi, e-mel dan internet tempat mencurah tipu daya. Jika Mahsuri dicabut nyawanya kerana fitnah, hari ini, pelbagai petaka lain mungkin menunggu mangsa.

Menggigil melihat kehadiran penonton

BENCI dan dengki yang kuat itu pula terserlah dalam watak Wan Mahura, yang dilakonkan Sabera Shaik dengan berkesan. Dia muncul satu-satunya pelakon yang nampak menonjol, dek kekuatan watak yang dipegang. Disokong bakat lakonan yang baik, Wan Mahura membangkit kebencian penonton, lebih-lebih lagi apabila wataknya tidak menerima pembalasan pada penghujung kisah.

Namun Fauziah mempunyai alasan tersendiri untuk tidak memaparkan adegan pembalasan dalam teaternya. Ringkasnya, pengarah ini tidak mahu menjadikan pementasan berkenaan dilihat begitu klise, seperti filem Melayu biasa. Atas alasan itu juga dia menamatkan cerita pada babak sebaik saja wanita itu dibunuh serta sumpahan dituturkan.

"Kalau disambung hingga kepada kepulangan Wan Darus yang meratapi kematian isteri, serta melarikan anaknya ke Siam, ia menjadi klise. Bagi saya, apa yang dipentaskan itulah cerita Mahsuri," katanya ketika ditemui selepas tamat persembahan hari pertama.

Katanya, dia sedar, ramai penonton serta mereka yang menyaksikan teater berkenaan mahukan watak Wan Mahura dihukum atas perbuatannya. Begitupun, dia enggan menambah babak kerana tidak meleret-leret. Mahsuri dipentaskan dengan durasi sejam 20 minit.

Fauziah juga kagum dengan keupayaan barisan produksi yang mementaskan Mahsuri, berikutan kesuntukan waktu latihan serta masalah teknikal yang banyak kali tidak menyebelahi mereka. Biarpun durasi pementasannya singkat berbanding teater lain, namun pertukaran set dilihat agak lemah, menyebabkan wujudnya ruang kosong yang sedikit merimaskan.

Beliau menyedari hakikat itu dan menurutnya, jika mampu, dia ingin menyambung terus babak ke babak, tanpa perlu melalui pertukaran set dalam keadaan gelap.

Mengenai tidak banyak watak yang menonjol, pengarah itu berasakan, perkara itu berlaku kerana sudah menjadi cap dagang kerjanya untuk memberikan tumpuan kepada semua watak utama.

Berhubung kehadiran Sabera, Fauziah menjelaskan selain menjadi rakan baiknya di luar pementasan, wanita itu seorang pelakon yang cukup berbakat.

"Saya seronok bekerja bersamanya. Dia umpama tunjang dalam pementasan ini. Tidak ada pelakon baru yang boleh menandinginya. Dia datang dengan ke sesi latihan cukup bersedia dan akan mengulangi babaknya selagi tidak berpuas hati dengannya," katanya.

Pada hari pertama pementasan, Fauziah ‘menggigil’ apabila melihat penonton yang membanjiri dewan pementasan. Maklum saja, katanya, dia tidak pernah menerima sambutan hangat sebegitu sepanjang karier pengarahan teater.

"Saya rasa, kisah sejarah itu sendiri banyak menarik minat orang ramai untuk datang menonton teater Mahsuri,” kata Fauziah yang nyata seronok dengan kejayaan pementasan berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: