Mamat Khalid |
CIK NORMAH terdiam seketika apabila seorang teman bercerita mengenai nasib kurang baik yang menimpa pengarah kreatif, Mamat Khalid. Bukanlah dia ditimpa kemalangan, jatuh sakit atau perkara sewaktu dengannya. Sebaliknya Cik Normah dengar, pengarah Kala Malam Bulan Mengambang ini gagal mendapatkan pinjaman daripada bank.
Khabarnya, Mamat mempunyai perancangan untuk menghasilkan filem baru, selepas mengarahkan filem Estet pada tahun lalu. Dengar cerita, filem terbarunya ini kembali bercerita mengenai mayat hidup atau zombi. Judulnya, kalau tak silap Cik Normah, Zombi Kilang Biskut. Dengar tajuknya saja Cik Normah sudah tergelak sakan. Itu belum tengok ceritanya lagi.
Sebelum ini, Mamat meletup dengan filem seram komedinya, Zombi Kampung Pisang pada 2007.
Lalu, dia pun berkunjunglah ke sebuah bank untuk memohon soal pinjaman. Malangnya, bank terbabit dikatakan menolak permohonan pembikin filem yang gigih ini. Bahkan, Cik Normah dengar cerita, pihak pengurusan bank itu sempat bertanya: "Siapa Mamat Khalid tu?"
Amboi! Takkan tak kenal pengarah yang beberapa mengangkat trofi pengarah terbaik dan filem terbaik pada pelbagai majlis anugerah negara ini?
Entahlah, Cik Normah pun tak reti nak komen dalam hal ini. Orang bank mungkin ada alasannya sendiri untuk tidak meluluskan permohonan pengarah ini. Tetapi kalau ikut Cik Normah, pengarah yang selalu hadir dengan idea bernas seperti Mamat inilah yang harus dibantu institusi kewangan kita. Apatah lagi tatkala filemnya kini mula mendapat perhatian masyarakat perfileman antarabangsa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: