GEORGE TOWN - Sebuah padang yang terletak di Kampung Pisang, Air Itam di sini hanyalah padang ragut yang menjadi tempat penggembala menambat lembu mereka.
Namun tiada siapa menyangka, padang tersebut menyimpan rahsia besar iaitu tempat mayat seorang kanak-kanak perempuan ditanam kira-kira tiga tahun lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, penemuan mengejutkan itu adalah hasil maklumat tiga beradik perempuan yang membuat laporan polis mendakwa mereka menjadi mangsa penderaan fizikal dan seksual oleh bapa sendiri minggu lalu.
Menurutnya, tiga beradik yang berumur 10 hingga 14 tahun itu mendakwa mereka telah lama menjadi mangsa penderaan kepada bapa sendiri tetapi tidak tahu kepada siapa untuk mereka mengadu.
Bagaimanapun, kata beliau, kejadian itu berakhir minggu lalu apabila mereka diselamatkan oleh orang awam yang kemudiannya menghantar mereka ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Tiga beradik itu kemudian membuat laporan polis dan selain maklumat mengenai penderaan terhadap mereka, tiga beradik itu juga mendedahkan bahawa seorang adik perempuan mereka didakwa telah didera sampai mati.
"Mereka memberitahu mayat adik mereka yang cacat sejak dilahirkan ditanam di bawah pokok pisang di padang tersebut sejak tiga tahun lalu," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Berikutan itu, menurut beliau, polis telah menahan seorang lelaki berusia 40 tahun yang berasal dari Farlim di sini kelmarin.
Selepas itu, katanya, polis pada pukul 1 petang semalam telah pergi ke padang tersebut dan mengeluarkan satu rangka manusia dipercayai milik seorang budak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: