SEJAK berada di pentas Akademi Fantasia 4 dulu lagi, bakat gadis berkulit hitam manis ini begitu menyerlah. Siapa boleh lupa bagaimana dia mampu mendendangkan lagu Sepanyol yang sukar dengan begitu baik? Tidak hairanlah, survival Farhan masih berterusan biarpun kegawatan ekonomi membuatkan segelintir penyanyi terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada bidang seni.
“Betul ekonomi kurang baik sekarang tapi alhamdulillah, saya masih belum rasa tempiasnya. Sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu pasti ada persembahan yang perlu dijayakan,” ungkap Farhan sambil tersenyum.
Sudah tentu, ramai yang mengaitkan kemampuan bapanya dari segi material dengan keadaan ini namun ia sebenarnya bertitik tolak daripada kerja keras Farhan sendiri. Tatkala berbicara dengan gadis yang pernah merantau hingga ke benua Australia ini, keazaman kental yang dipunyainya dapat dihidu.
“Sebaik tersingkir daripada AF dahulu, saya terus merangka cara sendiri untuk kekal lama dalam bidang ini. Minggu pertama berjumpa dengan orang di luar akademi, saya titipkan kad nama pada semua pihak yang boleh menjalin kerjasama dengan saya pada masa depan. Antaranya wartawan, jurusolek, pereka pakaian dan sebagainya. Atas sebab itu ketika saya tidak lagi bersama Maestro sekalipun, saya masih mampu bernyawa dalam industri ini,” tuturnya penuh yakin.
Bukan Mimpi
Kepada mereka yang sudah jatuh cinta dengan lagu Kelmarin dan Moga, bergembiralah kerana album Farhan bakal menjadi realiti tahun ini. Diterbitkan oleh syarikat miliknya, Mezzo Forte Records, album itu dijanjikan berkonsep rhythmic soul yang diungkap Farhan, merangkumi segala muzik yang dekat di hatinya.
Memakai judul Bukan Mimpi, antara komposer yang terlibat ialah Sham Kamikaze, Sharon Paul dan Zul Mahat. Kata Farhan, kesemua karyawan yang dipilihnya bagi terlibat dalam album yang menelan belanja lebih RM80,000 ini terdiri daripada mereka yang boleh membaca apa yang dia mahukan.
Apabila ditawarkan nombor telefon genggamnya, penulis menolak kerana ia sudah ada dalam simpanan. Namun gesa Farhan, nombor yang mahu diberikan berbeza kerana dia baru menukarnya selama dua hari.
“Saya terpaksa tukar kerana diganggu. Ada seorang lelaki yang mengaku peminat; mulanya menghantar SMS tapi lama-kelamaan beralih kepada panggilan telefon tanpa mengira masa. Nadanya juga semakin lain hingga menakutkan saya. Setelah berbincang dengan bapa, kami sepakat untuk tidak membuat laporan (polis) namun saya beralah dengan menukar nombor telefon,” ujarnya. Mengulas soal hati, tanpa berselindung Farhan mengakui dirinya sedang rapat dengan seseorang. Biarpun tidak mengungkap secara jelas hubungannya dengan jejaka berkenaan, sinaran matanya tatkala membicarakan perkara ini bagai menjelaskan segala-galanya. “Dia tak jauh, di sini (Shah Alam) sahaja. Tapi kami mungkin akan terpisah sementara waktu memandangkan dia mahu melanjutkan pelajaran di luar negara tidak lama lagi,” tuturnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: