SEARCH bersedia untuk memulakan siri penjelajahan Konsert Penghargaan Search Di Awan Biru. |
BERSULAM rasa menanti kedatangan 2 Mei iaitu detik permulaan yang bakal mencetuskan langkah baru kepada legenda rock, Search menerusi Konsert Penghargaan Search Di Awan Biru.
Siri konsert penjelajahan di 11 lokasi yang menyelak lembaran sejarahnya di Tapak Ekspo, Seberang Jaya, Pulau Pinang pada tarikh itu memberi makna besar kepada Search.
Selepas lama menanti untuk merealisasikan kembali impian yang pernah terkubur lantaran kegagalan konsert ulang tahun mereka yang ke-25, tiga tahun lalu, Search mula diburu debaran kencang.
“Pelbagai rangkuman rasa dialami, debaran dan bahang menanti detik konsert itu juga sudah dirasai membuatkan kami tidak sabar memulakannya.
“Penantian itu juga membuatkan kami agak emosional kerana sememangnya sudah lama menantikan detik ini selepas konsert ulang tahun Search dulu tidak menjadi kenyataan,” kata vokalisnya, Suhaimi Abdul Rahman atau Amy.
Ditemui pada sesi pelepasan Search ke destinasi pertama Konsert Penghargaan Search Di Awan Biru di Menara Celcom, pagi Isnin lalu, Amy berkata, mereka akur perjalanan yang direntasi tidak seperti yang dirancangkan.
SEARCH bersedia untuk memulakan siri penjelajahan Konsert Penghargaan Search Di Awan Biru. |
Apatah lagi konsert itu berjalan selama empat bulan di 11 lokasi berbeza, membuatkan mereka begitu bersyukur apabila Celcom merealisasikan impian besar Search selama ini.
“Konsert penjelajahan ini memerlukan peruntukan besar. Sekiranya tiada penaja sukar untuk kami memenuhi impian ini biarpun di hati begitu ingin menghiburkan peminat. “Mengulanginya kembali mengingatkan kami kepada apa yang pernah Search lalui pada 1992 ketika konsert bergerak mendapat sambutan hangat penonton.
“Malangnya era kegemilangan konsert bergerak seperti itu sudah hampir lenyap dalam industri hiburan. Sedangkan ketika zaman kegemilangan Search, Wings dan Ella dulu, peminat sentiasa menanti saat untuk menyaksikan konsert hebat dan mantap.
“Kami berharap apa yang dinikmati Search ini akan memberi cetusan era baru kepada industri hiburan. Sudah cukuplah menyogok penonton dengan konsert percuma kerana itu membunuh pembangunan karier dan industri muzik,” katanya.
Menjelang detik bersejarah itu, Amy berkata, mereka berempat memilih untuk merehatkan diri dan tenang menanti ketibaan tarikh konsert selepas lebih sebulan setengah membuat persiapan.
Tradisi itu kata Amy, menjadi pegangan Search sejak dulu dan ketika ini, mereka cuma memantau pergerakan akhir sebelum konsert bermula.
“Semua perancangan dan rangka perjalanan konsert sudah siap, cuma menanti tarikh untuk memulakannya. Search selesa membuat persediaan awal supaya semuanya berjalan lancar kerana konsert ini membabitkan banyak pihak,” katanya.
Besar harapan Amy, semua peminat datang memberikan sokongan kerana konsert itu untuk mereka yang menantikan Search kembali beraksi dalam persembahan mega.
“Tiga tahun kami berusaha dan berbaloi penantian itu apabila ia bakal menjadi kenyataan bermula 2 Mei ini. Ia memberikan makna yang terlalu besar kepada Search dan meninggalkan kenangan manis yang tidak dapat dilupakan,” katanya.
Menyentuh mengenai stamina, Amy berkata, mereka tidak menghadapi sebarang masalah untuk beraksi dalam konsert yang berjalan selama lebih dua jam setengah itu.
Begitu juga dengan pemain dram Search, Yazid yang mengakui senaman banyak membantunya membina stamina apatah lagi posisinya itu menuntut tenaga yang bukan kepalang.
“Rasanya tiada masalah untuk beraksi dalam tempoh itu, cuma saya perlu bijak mencari teknik untuk tampil terbaik nanti,” katanya.
Dalam tempoh itu, mereka akan membawakan sekitar 20 lagu pilihan peminat dari awal Search melangkah dalam industri hingga album terakhir, Gothik Malam Edan yang dirakamkan pada 2006.
Perjalanan Search ke Pulau Pinang turut disertai empat trailer yang membawa segala kelengkapan manakala kumpulan itu menaiki koc istimewa dan selesa sepanjang penjelajahan.
Majlis pelepasan itu disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif, Celcom (Malaysia) Berhad, Datuk Shazalli Ramly dan Timbalan Presiden Kanan Pemasaran Celcom, Zalman Aefendy Zainal Abidin.
“Kerjasama Celcom dan Search akan memberi nafas baru kepada kumpulan itu, selain mengharapkan industri muzik akan kembali gemilang dengan kecemerlangan yang dicetuskan mereka,” kata Shazalli.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: