|
MENJADI penyampai radio bukan hanya bertanggungjawab menjalankan tugas diberikan produser semata-mata. Ketika bersiaran, penyampai radio memainkan peranan penting dalam mencetuskan mood pendengar. |
Walaupun penyampai radio hanya menggunakan suara sebagai medium menarik perhatian pendengar, program yang disampaikan perlu memenuhi kehendak semasa.
Bagi dua penyampai stesen Radio 24 iaitu Husna Afifi Mohd Yusoff dan Mat Yunus Sabri, mereka mengakui tugas yang dipikul bukan suatu yang mudah apabila memerlukan persiapan diri secukupnya sebelum bersedia ke udara.
Berbeza dengan stesen radio lain, tugas mereka lebih tertumpu pada perkembangan isu semasa sama ada politik, ekonomi dan sosial berbanding hiburan.
Mereka bergandingan mengendalikan program Suara Anda yang bersiaran dari 4 petang hingga 7 malam pada setiap Isnin hingga Jumaat.
Dalam program berkenaan, ia merangkumi segmen perbincangan bersama panel yang dihubungi dari studio termasuk segmen berita lain seperti bisnes dan sukan yang disiarkan secara berselang seli pada setiap jam.
Kata Husna, perbincangan topik mengenai isu semasa adalah berdasarkan senario yang berlaku pada negara mahupun masyarakat yang hangat diperkatakan. Menariknya, setiap topik yang dibincangkan dibuat secara langsung sama ada menemu bual panel mahupun menjawab panggilan daripada pendengar.
"Cabaran yang kami tempuh sebenarnya bermula sebelum program ini bersiaran. Kebiasaannya produser akan mencari topik yang sesuai dan ada ketika kami juga berbincang sama untuk menjadikan topik yang dibincangkan menarik perhatian pendengar.
"Ketika bertugas, kami bertanggungjawab mengawal emosi panel atau pendengar supaya apa dibincangkan memberikan manfaat pada semua dan program berkenaan berlangsung sempurna. Ia suatu yang mencabar apabila kami tidak menapis panggilan pendengar yang diberi peluang untuk menyatakan pandangan secara langsung.
"Tidak dinafikan, perbincangan isu semasa boleh mengundang perkara sensitif jika ia tidak dikawal dengan baik. Lalu, saya berasakan peranan penyampai radio seperti kami cukup penting dalam memastikan segala yang dirancang dari awal mencapai matlamat yang diharapkan," katanya.
Dalam mengatasi masalah yang berlaku ketika bersiaran, graduan Sarjana Pengurusan Maklumat dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor ini menyatakan persefahaman dan sikap membantu antara satu sama lain perlu dititikberatkan. Malah, mereka perlu bijak untuk menjawab pandangan pendengar jika wujud situasi tegang atau beremosi.
Bagi Yunus, konsep penyampaian Radio 24 sebagai saluran berita masih dianggap sesuai dengan skop pendengar yang mahu mendengar berita menerusi radio. Katanya, sambutan yang diterima daripada pendengar ketika ini adalah positif dan mereka turut mengambil bahagian dalam program dianjurkan.
"Pada mula stesen ini beroperasi, kami menyampaikan berita sepenuhnya, tetapi apabila perubahan dibuat dengan menyelit lagu dalam siaran kami, ada pendengar yang tidak suka cara sebegitu. Kami juga berpandangan radio masih menjadi medium yang sesuai untuk menyampaikan berita.
"Apa yang memberi kelebihan, laporan berita yang kami sampaikan sentiasa dikemas kini dari masa ke semasa. Hingga kini, pendengar setia kami boleh menerima konsep Radio 24 yang berbeza dengan stesen radio lain.
"Untuk program seperti Suara Anda, ada pendengar yang tunggu untuk membincangkan isu yang dibincangkan bersama. Dalam pada itu, kami berusaha meningkatkan kandungan program kami agar memberi kepuasan pada pendengar," katanya.
Radio 24 yang mula beroperasi pada 3 September 2007 adalah anak syarikat di bawah Pertubuhan Berita Nasional (Bernama). Menjadi siaran berita selama 24 jam dengan tagline Benar & Semasa, buat masa ini Radio 24 hanya dipancarkan di sekitar Lembah Klang menerusi frekuensi 93.9 mhz. Selain Husna dan Yunus, Radio 24 turut diperkuatkan dengan lima penyampai lain iaitu Ayu Roslan, Nazira Noran, Zaleha Khairene Ismail, Kam Kamaruddin dan Wan Syahrina Wan Abd Rahman.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: