Tuesday, April 28, 2009

Norish persoal bekas suami potong nafkah tiga anak

SHAH ALAM - Dramatis popular kelahiran Singapura Norish Karman mempersoalkan mengapa bekas suaminya Datuk Hashimuddin Abdul Kadir perlu memotong nafkah tiga anak mereka memandangkan permohonannya menuntut RM1,500 bagi seorang anak setiap bulan didakwa berpatutan.

Norish yang ditemui di luar Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam berkata, jumlah itu bagi mengekalkan taraf kehidupan yang dilalui anaknya Muhamad Haqiem Amany, 9, Muhamad Hady Amieran, 5, dan Nur Hanyz Amanda, 4, selain Hashimuddin dikatakan berkemampuan untuk membayar jumlah itu.

Norish yang lebih dikenali sebagai NK juga menjelaskan bayaran sebanyak RM700 dan RM5,000 yang diterima daripada Hashimuddin yang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti, Negeri Sembilan daripada tahun 1995 hingga 1999.

“Duit itu adalah duit poket (belanja) sekolah, iaitu RM300 untuk Muhamad Haqiem dan RM200 untuk dua lagi anak setiap seorang, RM5,000 pula adalah bayaran untuk nafkah edah bagi tiga bulan” katanya.

Bagaimanapun, semasa kes disebut di hadapan Hakim Syarie Abu Zaky Mohammad, peguam syarie Muhammad Buruk yang mewakili Hashimuddin, 60, selaku defendan menyatakan jumlah yang diberikan adalah lebih daripada mencukupi.

Norish dan Hashimuddin bernikah pada 11 Januari 1998 di Perlis sebelum bercerai pada 15 Julai 2008 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.

Selain nafkah anak, Norish atau nama sebenarnya Nor’asikin Karman hadir di mahkamah bagi menghadiri sebutan kes hadanah (hak jagaan anak) dan harta sepencarian.

Norish, 34, yang mendakwa dirinya tidak menerima sebarang nafkah lain diwakili peguam syarie Akbardin Abdul Kader. Selain nafkah anak, dia turut menuntut sewa bulanan rumah berjumlah RM5,000 dan juga bayaran gaji pembantu rumah RM900 sebulan.

Abu Zaky menetapkan 17 Jun depan untuk mendengar hujahan kedua belah pihak berhubung perintah inter-parte harta sepencarian dan nafkah anak.

Selain itu, Norish juga meluahkan rasa terkilan dengan tindakan Hashimuddin mengeluarkan kenyataan akhbar mendakwa dia mereka-reka cerita yang disiarkan sebuah akhbar tabloid Ahad lalu.

Norish yang akan muncul dengan album tidak lama lagi seterusnya menyangkal dakwaan dia mereka-reka cerita kereta Nissan Murano yang dipakainya ditarik sejak Januari lalu.

Sejak kereta itu ditarik, Norish berkata dia menggunakan teksi untuk bergerak atau meminjam kereta kawan seperti yang dilakukannya untuk ke mahkamah semalam.

Dia juga menyangkal dakwaan bahawa rumah tangganya runtuh disebabkan persahabatannya dengan abang penyanyi dan pelakon Farahdhiya, Mohd Luqman Mohd Amin yang dilihat semakin rapat dengannya.

“Masalah rumah tangga saya sudah bertahun-tahun, tetapi saya tidak mempunyai kekuatan untuk berjalan sendiri. Apabila tiada persefahaman, saya yang berani lepaskan perkahwinan ini,” katanya.

Menurutnya, dia dan Luqman telah lama berkawan dan hubungan mereka semakin intim selepas selalu berjumpa di penggambaran Spa-Q. Oleh itu, Norish meminta persahabatan itu tidak diperbesarkan kerana boleh menjejaskan nama keluarga Luqman.

Norish tidak menolak bahawa anak-anaknya selesa berkawan dengan Mohd Luqman yang dipanggil sebagai ‘uncle’ kerana sifat kelakarnya. Perkara ini turut disokong Muhamad Haqiem yang berada di sebelah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: