|
|
LAPAN tahun dalam dunia lakonan, baru sekarang bakat dimiliki pelakon Mohd Fairuz Zainal Abidin atau Fizz Fairuz, 29, dipandang peminat. |
Segalanya bermula apabila dia dengan berani memainkan beberapa watak yang dianggap panas sehingga menimbulkan kontroversi, baru-baru ini.
Pertama, apabila adegan dengan Roslan Shah dalam drama Mabuk Estrogen terbitan JS Pictures Sdn Bhd (JSPSB) mengundang kontroversi kononnya mereka melakukan babak cium.
Sedangkan apa yang berlaku, pelakon yang kini menetap di Keramat, Kuala Lumpur ini cuba menyelamatkan Roslan yang lemas dengan memberikan bantuan pernafasan (CPR). Babak itu turut dilakukan menggunakan teknik kamera dan tidak berlaku sentuhan bibir.
Kedua, apabila drama Donut yang juga terbitan JSPSB menampilkan Fizz melakonkan watak disyaki menjalin hubungan dengan lelaki lembut. Turut membintangi drama itu, Norman Hakim, Sheila Rusly, Amyza Aznan dan Nadia Nisa.
Kata Fizz, sebagai anak seni dia sudah menjangkakan suatu hari nanti tempias kontroversi akan dihadapi sama ada membabitkan kerjaya mahupun peribadi.
"Sebaik melangkahkan kaki ke dunia lakonan, saya sudah bersedia berhadapan dengan perkara seperti ini. Saya tahu ia tidak mudah, tetapi inilah antara harga yang harus saya bayar.
"Saya tidak kisah kerana apa yang dilakukan ini atas dasar minat dalam dunia lakonan. Susah bagaimanapun saya akan harung. Lagipun ia bukan membabitkan perkara yang boleh menjatuhkan maruah.
"Ia timbul kerana tanggapan orang sedangkan kalau mereka menonton sendiri cerita yang dihasilkan Azman Yahya (Jinggo) ini, sebenarnya tiada apa yang boleh 'dikontroversikan'. Sekeping gambar belum cukup untuk menerangkan keseluruhan paparan drama dihasilkan," katanya.
Jelas Fizz lagi, sebagai pelakon dia perlu mengambil langkah berani untuk melakonkan pelbagai watak. Atas alasan itu apabila Sheila Rusly selaku penerbit menawarkannya membintangi Mabuk Estrogen dan Donut, dia tidak berfikir panjang dan menerimanya.
"Sebagai penggiat seni, bukan selalu kami diberikan watak mencabar seperti ini. Ia jarang diperoleh kerana itu apabila ada tawaran, kebanyakan daripada kami tidak berfikir panjang.
"Saya sendiri sebagai pelakon, sudah puas berlakon pelbagai watak sama ada jahat, baik, bercinta dan menjadi budak nakal sudah saya mainkan.
"Jadi sekarang apa lagi yang perlu saya lakukan sebagai pelakon kalau tidak mencari watak berbeza berbanding apa yang pernah saya lakonkan. Mabuk Estrogen dan Donut memberikan pilihan dicari selama ini.
"Saya tidak mahu menjadi pelakon stereotaip dan hanya mampu membawa satu-satu watak saja. Saya juga tidak gusar dengan kontroversi yang ditimbulkan kerana pada saya apa yang penting adalah membawakan watak dengan baik," katanya.
Sebagai pelakon yang pernah berhadapan zaman kesusahan dan pernah dipandang sepi kebanyakan penerbit dan pengarah, kata Fizz dia lebih rela penonton berpuas hati dengan apa yang dipersembahkan berbanding popular kerana kontroversi dan publisiti murahan.
"Bukan mudah untuk saya memberikan keyakinan kepada produksi besar membabitkan bakat dimiliki. Syukur apabila selepas lapan tahun, kebanyakan stesen televisyen dan produksi besar mula percaya dengan apa yang saya ada.
"Pada waktu sama, saya tidak nafikan apabila seseorang pelakon itu sudah mempunyai nama, mereka turut berhadapan masalah apabila ada produksi yang mula mengatakan saya sombong dan tidak mahu berkerja dengan mereka lagi.
"Ingin saya tegaskan di sini, bukan saya sombong apatah lagi mula letak harga. Bayaran saya tidaklah besar dan kebanyakan produksi tahu berapa harga untuk saya berlakon drama bersiri atau telefilem. Cuma kadang-kadang apabila tawaran datang, ia bertindih dengan drama yang sedang saya lakukan.
"Saya pula jenis pelakon yang lebih senang menumpukan perhatian pada satu-satu projek. Saya jarang mengambil dua atau tiga tawaran dalam satu masa kerana bimbang nanti penghayatan terhadap watak akan terganggu sekali gus boleh memberi kesan buruk pada hasil kerja," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: