NUyUUi bersama Ejump yang turut terbabit dalam penerbitan album sulungnya, Erti Cinta. |
MEMPERTARUHKAN dua lagu dalam bahasa Bajau - satu daripada etnik utama di Sabah - menerusi album sulungnya berjudul Erti Cinta, finalis Bintang Remaja RTM 2007, Nurul Ashikin Jamaldin, 19, berharap percubaan pertamanya itu akan mendapat tempat di hati peminat seni tanah air.
Dua lagu dalam bahasa Bajau itu bertajuk Ngintam yang bermaksud Rindu dan Rindu Pengingkot Kasih atau Ikatan Kasih.
Album sulung terbitan Ejump Production itu turut memuatkan lapan lagu Melayu dan antara yang dijangka menambat hati peminat ialah Lamaran Keikhlasan, Apa Kau Rasa dan Rahsia Cinta, ciptaan komposer dari Sabah yang dibarisi Norizam Abdullah (Ejump), Zulkiflee Manang dan Jeffry Nurdi atau lebih dikenali sebagai Buttak.
Menariknya, album itu turut mendapat sentuhan komposer yang juga ahli kumpulan Bumiputera Rockers (BPR), Norzaini Mohd atau lebih popular sebagai Awang BPR yang bertindak sebagai menyusun dan juru adun muzik.
Nurul Ashikin atau mesra disapa Nuyuui berharap percubaan sulungnya itu diberi ruang untuk menyemarakkan industri seni tanah air.
"Saya serius mahu melangkah jauh dalam bidang nyanyian. Oleh itu, saya sangat berharap supaya kehadiran saya diterima," katanya di Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Gadis berbakat itu menceburi bidang seni suara sejak berusia 11 tahun dan kerap dijemput menyanyi di majlis sekolah serta pernah menjadi juara pertandingan lagu patriotik peringkat daerah Kota Belud selama empat tahun berturut-turut.
Nuyuui yang pernah menjadi finalis carta lagu Bajau Sabah VFM pada 2007 sedang menunggu tawaran meneruskan pengajian ke institusi pengajian tinggi tetapi pada masa sama turut memberi perhatian serius terhadap kerjaya sebagai penyanyi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: