TEMPOH tiga tahun mengenali hati budi masing-masing nampaknya belum memadai untuk mengukuhkan cinta mereka.
Bukan tidak sayang pada hubungan cinta yang terjalin selama ini, namun badai yang melanda pasangan kekasih popular ini tidak dapat lagi dibendung oleh kedua-duanya.
Walaupun perasaan sayang masih menebal di dalam hati masing-masing, pelakon Intan Ladyana dan Kevin Zahri nampaknya terpaksa meletakkan titik noktah setelah menemui jalan buntu untuk menyelamatkan hubungan cinta mereka.
Dalam nada perlahan, pelakon dan model berusia 26 tahun ini akui perasaan kecewa memang tidak dapat disangkal dalam dirinya, apatah lagi keputusan untuk berpisah itu lahir daripada dirinya sendiri.
"Masa adalah faktor utama yang menjadi punca kami semakin renggang. Saya akui, salah saya juga kerana tidak mempunyai masa untuk diluang bersamanya memandangkan komitmen kerja yang tidak menentu.
"Bukan kami tidak pernah cuba untuk menyelamatkan hubungan ini, tetapi semakin kami cuba, semakin tidak jumpa arahnya. Ada juga punca lain yang timbul, tetapi biarlah kami saja yang tahu.
"Lebih kurang tiga bulan kami tidak bertemu sewaktu hubungan kami agak tegang tidak lama dulu. Entah lah...saya sendiri sukar jelaskan. Macam-macam benda berlaku; ada yang kata saya sudah ada kekasih baru dan ada juga yang kata Kevin turut mempunyai teman baru.
"Benda-benda macam ini menyukarkan kami untuk teruskan hubungan," kata Intan.
Namun begitu, di sebalik perpisahan mereka, timbul khabar angin yang mengatakan hubungannya dan Kevin retak disebabkan kehadiran orang ketiga iaitu seorang artis lelaki baru yang dikatakan semakin rapat dengan Intan sejak kebelakangan ini.
Menafikan tentang hal tersebut, tutur Intan, orang ketiga yang dimaksudkannya itu hanya dianggap sebagai sahabat.
"Dia bukan puncanya. Memang saya sudah mengenalinya sejak beberapa bulan lalu ketika sama-sama terlibat dalam sebuah drama dan ketika itu memang hubungan saya dan Kevin sedang dalam masalah.
"Tetapi saya dan dia hanya kawan. Sama seperti kawan-kawan artis lain yang saya kenal. Dia tidak ada kena-mengena dalam hal saya dan Kevin," kata anak jati Kuala Lumpur ini.
Ditanya tentang hubungannya dengan Kevin ketika ini setelah berpisah, kata Intan, dia seboleh mungkin ingin mengekalkan persahabatan dengan jejaka itu.
"Saya masih anggapnya sebagai kawan...tetapi saya tidak tahu bagaimana pula dengan penerimaan Kevin. Kali terakhir, dia SMS saya beberapa hari lalu sebaik cerita tentang hubungan kami disiarkan di sebuah akhbar.
"Saya akui, kami masing-masing sedih dengan hal ini. Malah, ibu saya juga kecewa bila dapat tahu kami ingin berpisah kerana dia memang cukup senang dengan Kevin," kata pelakon yang akan muncul di dalam filem terbarunya, Remp-It V3 ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: