Thursday, April 30, 2009

Tunggu masa bikin album...Aqasha


NAMANYA semakin rancak mengukir nama di pentas lakonan hinggakan terkadang peminat terlupa di manakah Firdee Akassya Rosli, 27, atau nama komersialnya, Aqasha, bermula.

Kehebatan lakonan bintang filem Embun ini juga melayakkan pemuda berbadan sasa membolosi pencalonan lima terbaik bagi kategori Pelakon TV Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008, baru-baru ini.

Biarpun mengakui semakin galak meneroka dunia lakonan, keinginannya untuk kembali menerbitkan album sentiasa menebal di hati kerana nyanyian yang memperkenalkannya di persada seni.

"Dalam kesungguhan membina nama sebagai pelakon, nyanyian tidak pernah saya lupakan. Malah, sentiasa berharap masih diberikan peluang merakamkan album.

"Namun, dengan keadaan penjualan album yang merosot kini dan syarikat rakaman tidak mahu lagi membiayai pembikinan album, penyanyi perlu ada usaha sendiri misalnya menampung kos penerbitan album seperti dilakukan kebanyakan artis sekarang.

"Kontrak rakaman saya dengan Suria Record (SRC) sudah lama tamat dan untuk menghasil album atau setidak-tidaknya single, saya perlu membiayai kos pembikinannya dan ini menuntut kewangan yang kukuh.

"Setakat ini saya sudah mempunyai beberapa koleksi lagu, tinggal lagi untuk melaksanakannya," katanya.

Baru saja menamatkan pengajian peringkat Sarjana Muda Kejuruteraan Bunyi di International College of Music (ICOM), tahun lalu, Aqasha berharap dengan ilmu yang diperoleh sepanjang empat tahun di ICOM dapat diaplikasikan sepenuhnya untuk pembikinan album baru nanti.

Berhubung projek terbaru, Aqasha memaklumkan banyak tawaran diterima, namun sudah pasti jalan cerita yang baik, watak menyerlahkan kemampuan serta mencabar kewibawaannya saja akan diterima.

Bagaimanapun, kemungkinan besar pertengahan tahun ini Aqasha yang membintangi filem Rempit V3 kembali bercanda di lokasi penggambaran musim baru siri Mertua vs Menantu.



"Saya dimaklumkan drama ini akan disambung dan penggambaran musim kedua dilakukan sebaik saja Erra Fazira yang menjadi pasangan saya selesai berpantang.



"Jujur saya katakan, berbangga dengan pencapaian drama ini yang mencatat rating tertinggi di saluran Astro Prima serta beberapa program utama di saluran TV lain.

"Kekuatan cerita ini terletak pada jalan cerita yang mengangkat isu kekeluargaan dan semestinya kerana adanya Erra Fazira sebagai tarikan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: