|
KUMPULAN rock legenda negara, Search, pernah terkilan apabila hasrat mengadakan konsert meraikan ulang tahun ke-25 mereka tiga tahun lalu, gagal dilaksanakan kerana ketiadaan penaja. Kali terakhir Search mengadakan konsert adalah Konsert Rock Search Revolusi di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 2004. |
Bagaimanapun, kekecewaan itu kini terubat apabila syarikat telekomunikasi, Celcom tampil sebagai penaja menerusi Konsert Penghargaan Search Di Awan Biru yang pada awalnya dijangka konsert terakhir kumpulan itu. Bagaimanapun, tetapi tidak semudah itu Search meninggalkan pentas seni tanah air.
Sama ada mereka mahu berundur atau tidak, konsert itu akan meninggalkan kenangan paling indah buat peminat di seluruh negara kerana ia tajaan terbesar Celcom untuk Search.
Dengan sejarah panjang dan kegemilangan yang pernah dikecapi Search sehingga berjaya membina nama di luar negara, kerjasama yang terjalin antara Search dengan Celcom amat berbaloi.
Pengarah Konsert Search, Radin Shamsulkamar Radin Shamsudin berkata, untuk merealisasikan segala yang menjadi cita-cita Amy dan rakan seperjuangan dalam kumpulan itu selama ini, sebaik saja termeterainya perjanjian Search dengan Celcom, mereka terus bekerja keras siang dan malam.
Katanya, seramai 22 kakitangan dipertanggungjawabkan menguruskan perjalanan konsert agar segalanya berjalan lancar.
"Konsert ini adalah inisiatif Amy menerusi syarikatnya, Art-Is At Work Sdn Bhd yang sebelum ini aktif menguruskan kerjaya Amy saja. Apabila tiba ulang tahun ke-25 Search dalam persada seni suara, Amy bercadang mengadakan konsert khusus untuk peminat, tetapi tiada penaja.
"Keinginan itu terpendam begitu saja sehingga Amy bertemu dan berbincang dengan pihak pengurusan Celcom. Asalnya hendak buat konsert kecil saja awal tahun ini, tetapi hasil perbincangan itu, Celcom ada idea lebih baik maka lahirlah Konsert Penghargaan Search Di Awan Biru.
"Kebetulan Search lahirkan hasrat berundur lalu Celcom mahu menjadikan konsert itu sesuatu yang dapat dikenang peminat sampai bila-bila.
"Persediaan untuk konsert itu hampir 100 peratus siap. Reka bentuk pentas juga sudah sempurna apabila kami akan membawa pentas sama di lokasi konsert seluruh negara. Cuma yang membezakannya ada atau tiada bumbung, ia bergantung kepada keadaan.
"Urusan produksi sudah beres dan urusan logistik juga hampir selesai. Bersekali dengan konsert gilang-gemilang ini, kami sudah berbincang dengan Kementerian Pelancongan memperkenalkan pakej pelancongan muzik merangkumi tiket penerbangan, hotel penginapan dan kemudahan ke konsert. Dengan syarat, mereka mesti tinggal semalam di negara ini.
"Search sudah dikenali di rantau Asean seperti Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei. Tentu mereka tidak akan melepaskan peluang keemasan ini. Mereka juga akan menerima layanan eksklusif seperti makan malam bersama Search dan menerima cendera hati eksklusif kumpulan rock itu.
"Nama Search sudah besar dan tentu peminat dari luar negara tertarik untuk datang ke sini bertemu mereka. Untuk tujuan itu, kami sudah menguar-uarkan pakej pelancongan muzik dalam laman web www.duniasearch.com.
"Konsert itu akan diadakan di 11 lokasi seluruh negara dan pada setiap konsert mereka akan menyanyikan 18 hingga 22 lagu terbaik dan popular dari semua album mereka. Konsert akan berlangsung selama dua jam.
"Sebagai menambah seri acara, Search turut menjemput Rabbani dan Raihan membuat persembahan. Pun begitu, mereka hanya muncul di tiga lokasi. Rabbani tampil di Kuala Terengganu dan Alor Setar manakala Raihan di Kota Bharu.
"Tiada masalah rock dan nasyid berganding di pentas sama kerana lagu Search juga ada yang berunsur kerohanian seperti Mentari Di Ufuk Timur," katanya.
Konsert jelajah bermula pada 2 Mei ini di Tapak Expo, Seberang Jaya, Pulau Pinang diikuti Stadium Tertutup MBJB, Johor Bahru (9 Mei), Stadium Mini Jengka, Pahang (16 Mei), Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu (22 Mei), Stadium Sultan Abdul Halim, Kedah (29 Mei) dan Stadium Sultan Mohamed ke-IV, Kelantan (5 Jun).
Kemudian Search menyeberang Laut China Selatan beraksi di Stadium Sarawak, Kuching (27 Jun), Stadium Tertutup Miri, Sarawak (4 Julai), Kompleks Sukan Sandakan, Sabah (11 Julai), Kompleks Sukan Tawau, Sabah (18 Julai) dan kembali ke Kuala Lumpur pada 1 Ogos.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: