Tuesday, April 28, 2009

Sukar buat perbandingan


INDUSTRI perfileman Melayu tanah air berjaya menghasilkan bakat lakonan dan pengarah berkaliber. Nama-nama besar dalam dunia seni seperti Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee, AR Tompel, Datuk Aziz Sattar, Datuk Mustapha Maarof, Mariani Ismail, Datuk Sarimah Ahmad, Datin Rosnani Jamil, Tan Sri Jins Shamsuddin dan Kasma Booty antara barisan pelakon yang mencipta nama malah sering menjadi sebutan hingga hari ini.

Sejarah filem Melayu dilaporkan bermula di Singapura sekitar awal 40-an menerusi penghasilan filem percintaan, Laila Majnun lakonan M Suki dan arahan B S Rajhans pada 1933. Pada 1962, Cathay Keris Film menerbitkan Laila Majnun lakonan Nordin Ahmad dan Latifah Omar.

Industri filem ketika itu dipelopori dua studio terkenal, Shaw Brothers dan Keris Filem. Keris Filem kemudian menukar namanya kepada Cathay Keris pada 1948. Bagaimanapun pada 1963, Shaw Brothers dan Cathay Keris di Singapura menemui zaman kegelapan.

Kejatuhan zaman gemilang filem di Singapura menyebabkan pengusaha dan pelakon beralih arah ke Tanah Melayu (Malaysia) yang berpusat di Kuala Lumpur.

Kemunculan Studio Merdeka membuka lembaran baru dalam dunia seni tanah air. Filem pertama keluaran Merdeka Studio ialah Tun Teja arahan Datuk L Krishnan pada 1961.

Studio berkenaan turut dikenali dengan nama Merdeka Film Production Ltd dimiliki H M Shah dengan rakan kongsinya, Ho Ah Loke. Namun begitu, studio ini diambil alih Shaw Brothers pada 1966, berikutan Ho Ah Loke tidak mempunyai pawagam sendiri dan Shaw Brothers bertanggungjawab menayangkan semua filem dikeluarkan ketika itu.

Studio Merdeka akhirnya diserahkan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pada 7 Februari 1985 sesudah dipersetujui pemilik asal, Shaw Brothers. Peristiwa itu turut melakar sejarah dalam industri perfileman tanah air selepas sekian lama dimiliki syarikat asing, ia akhirnya dijual kepada Kerajaan Malaysia, membabitkan bayaran RM1.4 juta.

Justeru, satu forum khas mengenang Sejarah Filem Melayu - Kreativiti Tokoh-Tokoh Filem Zaman Studio Merdeka dianjurkan penuntut Fakulti Filem dan Video, Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara) di Dewan Kuliah Utama, Aswara pada 24 April lalu.

Forum berkenaan menampilkan panel terdiri daripada Presiden Persatuan Seniman, Datuk Mustapha Maarof; pelakon bangsawan, Seniman Negara Adiguru Abdul Rahman Abu Bakar; pengarah seni, Isa Ahmad dan A Wahab Hamzah sebagai moderator mengupas perjalanan dan pengalaman individu terbabit mengenai sejarah filem tanah air.

Mustapha yang juga pelakon, pengarah dan penerbit, memulakan pembabitan dalam dunia lakonan menerusi filem Bunga Cinta Merdeka. Katanya, minat dalam dunia lakonan bermula sejak di bangku sekolah lagi.



"Bagi saya karyawan seni sekarang berbeza dari segi kelengkapan dan kreativiti masing-masing. Kita tidak boleh membandingkan antara karyawan seni era zaman dulu berbanding sekarang. Ia ternyata dua zaman berbeza dari segi kelengkapan dan kreativiti.



"Begitupun, saya melihat karyawan zaman 40-an sehingga 70-an sudah memainkan peranan mereka dengan penuh berkesan. Karyawan dulu ternyata berjaya menggunakan kemudahan yang mereka ada dengan kreativiti tersendiri sehingga meninggalkan kesan besar dalam dunia seni tanah air.

"Karyawan sekarang masih bergantung kepada kreativiti tetapi mempunyai bantuan dari segi peralatan canggih seperti komputer dan imej janaan komputer (CGI).

"Memang sukar untuk membuat perbandingan antara filem dulu dan sekarang. Perkembangan filem tanah air juga berbeza antara dua era. Malah setiap mereka yang terbabit dalam bidang ini sudah membuktikan sumbangan dalam bidang masing-masing," katanya.

Mustapha atau nama sebenarnya, Mustapha Azahari mula membabitkan diri di Studio Merdeka pada Januari 1960 selepas dilamar H M Shah dan Ho Ah Loke. Dia turut menjayakan watak dalam filem Tun Teja arahan Datuk L Krishanan.

Pembabitannya dalam pementasan bangsawan turut memberi ruang kepada Seniman Negara Adiguru Abdul Rahman Abu Bakar atau lebih dikenali dengan gelaran Rahman B membabitkan diri dalam dunia perfileman.

Rahman B terbabit dalam pementasan bangsawan seperti Raja Laksamana Bentan, Haris Fadhillah, Taming Sari dan Saudagar Rafuddin. Selain terbabit dalam lakonan bangsawan, Rahman B turut terkenal menerusi filem Amuk Tok Nading, Harimau Berantai dan Semambu Kuning.

Pemenang Anugerah Seniman Negara 2004 mengakui nasib berpihak kepadanya apabila ketika itu memang menjadi tradisi pengurusan di studio untuk mengambil bakat lakonan daripada individu yang terbabit dalam bangsawan.

"Kalau ikutkan saya sebenarnya tidak begitu berminat berlakon filem. Cuma keinginan untuk merasai pengalaman berlakon filem membuatkan saya terbabit dalam bidang ini. Apatah lagi mendapat peluang selepas mengikuti bapa mengadakan persembahan di Singapura sekitar 50-an.

"Bezanya filem banyak cut (berhenti) sama ada disebabkan individu itu sendiri atau orang lain. Bangsawan pula perlu menghayati watak dengan penuh mendalam. Dari segi bentuk lakonan, kedua-dua bidang ini lebih kurang sama," katanya.

Bagi Isa Ahmad yang lebih dikenali dengan gelaran Isa Pendek, pembabitannya sebagai kru di belakang tabir ternyata meninggalkan pelbagai memori indah buatnya. Isa yang dilahirkan di Batu Pahat, Johor membabitkan diri lebih 50 tahun dalam industri perfileman Melayu dengan berkhidmat sebagai pelukis di belakang takbir syarikat Cathay Keris.

Menurut Isa, kreativiti tokoh filem pada waktu itu tidak bergantung sepenuhnya kepada kelengkapan yang ada di studio malah di kalangan kru di belakang tabir terpaksa mengambil inisiatif sendiri untuk menjadikan penggambaran filem lebih menarik dan kena dengan watak selain penceritaan yang berkesan.

"Bukan mudah bekerja di belakang tabir. Banyak pengalaman yang saya lalui ketika proses penggambaran di Studio Merdeka. Saya mula terbabit dalam filem Selendang Delima arahan L Krishanan.

"Disamping menggunakan kepakaran dalam aspek lukisan yang kebanyakan dihasilkan dari penggambaran di studio. Saya juga terbabit dalam pengarah pentas filem Bilut arahan Bade Azmi," kata Isa yang pernah memenangi Anugerah Oskar 2006.

Turut hadir, Sasterawan Negara Tan Sri A Samad Said di samping 50 penonton yang mengikuti forum julung kali diadakan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: